Ahad, 11 Mei 2025

Kenapa Ada Sahabat Yang Banyak Meriwayatkan Hadis dan Ada yang Sedikit?

Para sahabat dari segi periwayatan hadis terbahagi kepada yang banyak meriwayatkan (mukthirun) dan yang sedikit meriwayatkan (muqillun):

Adapun yang banyak meriwayatkan, para ulama hadis biasanya menyebut tujuh orang sahabat yang meriwayatkan ribuan hadis dan mereka mengikut riwayat dalam Musnad Baqi bin Makhlad adalah:

1 - Abu Hurairah – 5364 buah hadis.

2 - Ibnu Umar - 2630 buah hadis.

3 – Anas bin Malik - 2286 buah hadis.

4 - Saidatina Aisyah – 2210 buah hadis.

5 - Ibnu Abbas - 1660 buah hadis.

6 - Jabir – 1540 buah hadis.

7 - Abu Said al-Khudri – 1170 buah hadis.

Kemudian selepas itu Ibnu Mas'ud, yang mempunyai 848 buah hadis dalam Musnad Baqi bin Makhlad. Kemudian Abdullah bin Amr bin al-'As yang mempunyai 700 buah hadis.

Antara sahabat yang sedikit meriwayatkan hadis ialah Abu Bakar dan Khalid bin al-Walid.

Perbezaan ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor:

Pertama: Masa

Jika kita meneliti tarikh kematian para sahabat yang banyak meriwayatkan hadis, jelas bahawa kebanyakan mereka meninggal dunia pada masa yang lewat dan orang ramai memerlukan ilmu mereka.

Abu Hurairah meninggal pada tahun 57 Hijrah, Ibnu Umar pada tahun 74 Hijrah, Anas 93 Hijrah, Saidatina Aisyah 57 Hijrah, Ibnu Abbas pada tahun 68 Hijrah, Jabir 78 Hijrah, dan Abu Said 74 Hijrah.

Adapun Ibnu Mas'ud, beliau meninggal pada tahun 32 Hijrah dan Abdullah bin Amr bin al-'As pada tahun 63 Hijrah.

Ini berbeza dengan sahabat-sahabat besar yang meninggal lebih awal.

Oleh itu, adalah wajar bahawa riwayat Saidatina Aisyah (meninggal 57 Hijrah) lebih banyak daripada riwayat Saidatina Fatimah (meninggal 11 Hijrah) dan riwayat Anas bin Malik (meninggal 93 Hijrah) lebih banyak daripada riwayat Abu Bakar (meninggal 13 Hijrah) kerana orang ramai sangat memerlukan ilmunya selepas kematian kebanyakan sahabat dan minat terhadap pembelajaran semakin meningkat.

Kedua: Tempat

Tempat kediaman sahabat selepas kematian Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mempengaruhi banyaknya riwayat mereka.

Mereka yang berada di Madinah mempunyai lebih banyak riwayat daripada yang lain kerana ramai orang yang datang ke Madinah dan kerana ia merupakan pusat ilmu pada zaman itu.

Hampir sama dengan keadaan Madinah al-Munawwarah adalah keadaan kota Kufah, yang merupakan kota ilmu yang kuat, diikuti oleh Mekah dan Basrah, manakala kita tidak melihat pengaruh besar dari Syam atau Mesir pada zaman itu.

Ketiga: Keadaan Peribadi

Para sahabat berbeza dalam pendekatan mereka terhadap hadis dan menyebarkan ilmu. Keadaan mereka dalam hal ini berbeza-beza, yang boleh diringkaskan kepada beberapa perkara:

1 - Kesibukan dengan pengajaran dan penumpuan kepada pengajian:

Terdapat perbezaan antara sahabat-sahabat besar dari generasi pertama yang sibuk dengan penaklukan dan hidup pada masa pergolakan politik, dengan mereka yang menumpukan diri kepada pengajaran pada zaman Muawiyah kerana keadaan politik sedang menuju kestabilan, dan negara-negara yang ditakluki menjadi stabil sedikit demi sedikit, juga harta bertambah dan kemakmuran meningkat, yang menyebabkan ramai orang berminat dan menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan pengajian.

Contoh untuk ini ialah Abu Musa al-Ash'ari (meninggal 44 Hijrah). Walaupun beliau termasuk dalam kalangan ulama daripada kalangan sahabat, kesibukannya dengan penaklukan mempengaruhi penyebaran ilmunya dan periwayatan hadisnya di Basrah ketika beliau menjadi gabenor di sana, tetapi apabila beliau berpindah ke Kufah selepas tahun 30 Hijrah, beliau menyebarkan banyak ilmu di sana.

Terdapat juga perbezaan antara sahabat yang sibuk dengan ibadah dan mereka yang sibuk dengan pengajaran. Abdullah bin Amr bin al-'As (meninggal 63 Hijrah) lebih sibuk dengan ibadah daripada mengajar. Maka adalah wajar bahawa riwayatnya lebih sedikit daripada Abu Hurairah, walaupun beliau ada menulis hadis yang tidak ditulis oleh Abu Hurairah.

2 - Banyak sahabat besar yang berhati-hati dalam meriwayatkan hadis:

Pendekatan kebanyakan sahabat besar yang meninggal pada zaman Khulafa' Rasyidin adalah menjawab soalan atau membimbing pelajar yang memerlukan atau mengajar fiqh tanpa menyebut hadis, malah Umar (meninggal 23 Hijrah) melarang sebahagian sahabat daripada meriwayatkan hadis kerana sebab-sebab yang beliau anggap wajar, berbeza dengan sahabat-sahabat selepas mereka yang banyak meriwayatkan hadis, seperti Abu Hurairah.

3 - Banyaknya masa bersama Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:

Terdapat perbezaan antara Saidatina Aisyah (meninggal 57 Hijrah) isteri Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Hurairah (meninggal 57 Hijrah) yang banyak bersama Nabi sebagaimana yang terkenal dan diketahui, dan Anas bin Malik (meninggal 33 Hijrah) yang berkhidmat kepada baginda selama sepuluh tahun sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain, dengan sahabat yang memeluk Islam lewat atau datang bersama rombongan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam atau sibuk dengan jihad seperti Khalid bin al-Walid.

4 - Kaedah periwayatan hadis:

Mungkin Abu Hurairah adalah sahabat paling terkenal yang mengadakan majlis-majlis khas untuk meriwayatkan hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Ini menimbulkan kehairanan kepada Saidatina Aisyah, lalu beliau menyatakan kehairanannya, tetapi beliau tidak menafikan hadisnya, sebaliknya hanya hairan dengan kaedahnya, lalu berkata: "Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak menyampaikan hadis secara berterusan seperti penyampaian kamu ini."

Ini bermakna Abu Hurairah duduk dalam majlis periwayatan hadis, lalu mula menyampaikan hadis-hadis secara berturutan dan berterusan dan para tabiin mula menghafalnya. Tidak ramai sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang meriwayatkan dengan cara ini. Maka adalah wajar bahawa riwayat beliau sangat banyak.

5 - Keyakinan terhadap hafalan:

Sahabat yang paling terkenal dalam hal ini adalah Abu Hurairah kerana doa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam untuknya. Maka beliau tidak takut akan lupa, sehingga majlis-majlisnya banyak dan riwayatnya banyak.

Sumber:

Min al-Nabi Ila al-Bukhari oleh Dr Ahmad Sanubar.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan