Isnin, 5 Mei 2025

Dalil Talkin Di Kubur

Dalil Talkin

Al-Tabarani telah meriwayatkan dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Said bin Abdullah Al-Audi yang berkata: Aku menyaksikan Abu Umamah ketika dia dalam saat-saat terakhir kematiannya berkata:

“Apabila aku mati, lakukanlah kepadaku sebagaimana Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kami untuk melakukan kepada orang yang mati di kalangan kami. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kami, lalu bersabda:

Apabila salah seorang daripada saudara kamu meninggal dunia dan kamu telah meratakan tanah di atas kuburnya, hendaklah salah seorang daripada kamu berdiri di bahagian kepala kuburnya, kemudian berkata:

Wahai fulan bin fulanah (nama si mati dan nama ibunya). Sesungguhnya si mati itu mendengarnya tetapi dia tidak menjawabnya.

Kemudian dia berkata lagi: Wahai fulan bin fulanah, maka si mati akan duduk tegak.

Kemudian dia berkata lagi: Wahai fulan bin fulanah, maka si mati akan berkata: Bimbinglah kami, semoga Allah merahmatimu. Tetapi kamu tidak menyedarinya.

Maka hendaklah dia berkata: Ingatlah apa yang engkau tinggalkan (yakini) semasa di dunia, iaitu kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya dan bahawa engkau redha dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi dan Rasul-Nya dan engkau redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi dan al-Quran sebagai imam (panduan).

Maka sesungguhnya Munkar dan Nakir, setiap satu daripada mereka akan memegang tangan sahabatnya dan berkata: Marilah kita pergi, tidak ada gunanya kita duduk di sisi orang yang telah diajar hujahnya.

Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana jika dia tidak mengenali ibunya? Baginda menjawab: Nisbahkan dia kepada ibunya Hawa, katakan: Wahai fulan bin Hawa."

Perbincangan Status Hadis

Al-Haithami berkata dalam Majma' al-Zawaid: "Dalam sanadnya terdapat sekumpulan perawi yang tidak saya kenali."

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata dalam al-Talkhis al-Habir: "Sanadnya baik."

Al-'Aini berkata dalam al-Binayah: "Sanadnya sahih."

Di antara mereka yang menganggapnya daif ialah al-Nawawi dalam al-Majmu' dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam Amali al-Azkar.

Daif Sanad Tidak Menafikan Pengamalannya

Namun, tidak tersembunyi bagi orang yang bijaksana bahawa kelemahan sanad tidak semestinya menafikan hukum yang yang terhasil daripada hadis tersebut, terutamanya jika terdapat sesuatu yang menguatkan hadis itu seperti amalan (yang berterusan).

Al-Hafiz Ibnu al-Salah berkata: "Talkin adalah apa yang kami pilih dan kami amalkan. Beliau berkata: Kami meriwayatkan mengenainya sebuah hadis daripada Abu Umamah yang sanadnya tidak kuat, tetapi dikuatkan dengan syawahid (riwayat-riwayat sokongan) dan dengan amalan penduduk Syam sejak dahulu."

Begitulah juga disebutkan dalam al-Majmu'.

Ibnu al-Qayyim berkata dalam al-Ruh dalam menyokong talkin dan membuktikan kesyariatannya dengan kata-katanya: "Hadis ini walaupun tidak thabit, tetapi amalan dengannya telah berterusan di semua negeri dan zaman tanpa pengingkaran dan ini memadai untuk beramal dengannya."

Imam Ahmad, Ibnu Taimiyyah dan Ibnu al-Qayyim Menyokong Talkin

Ibnu Al-Qayyim berkata juga dalam kitab al-Ruh: "Ini juga ditunjukkan oleh amalan yang telah dilakukan oleh manusia sejak dahulu hingga sekarang iaitu talqin kepada si mati dalam kuburnya. Jika dia tidak mendengar dan tidak mendapat manfaat daripadanya, maka tidak ada faedahnya dan ia menjadi sia-sia. Imam Ahmad pernah ditanya mengenainya, lalu beliau menganggapnya baik dan berhujah dengannya berdasarkan amalan (yang berterusan)."

Ibnu Taimiyyah dalam Majmu' al-Fatawa ditanya tentang talkin kepada si mati di kuburnya selepas selesai pengebumiannya, lalu beliau menjawab:

"Talkin yang disebutkan ini telah diriwayatkan daripada sekumpulan sahabat bahawa mereka memerintahkannya seperti Abu Umamah al-Bahili dan lain-lain dan diriwayatkan mengenainya hadis daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, tetapi ia tidak boleh dihukumkan sebagai sahih, dan ramai sahabat tidak melakukannya. Oleh itu, Imam Ahmad dan ulama lain berkata: Talkin ini tidak mengapa. Maka mereka memberikan kelonggaran kepadanya tetapi tidak memerintahkannya. Ia dianggap sunat oleh sekumpulan ulama mazhab al-Syafi'i dan Ahmad."

Dapat difahami daripada ucapan Ibnu Taimiyyah bahawa ramai sahabat tidak melakukannya adalah bahawa ada juga sebilangan sahabat telah melakukannya. Dan kadar (bukti) ini sudah memadai untuk menguatkan hadis marfu' (hadis Abu Umamah). Oleh sebab itu, para fuqah dalam mazhab yang empat menganggapnya sunat atau mengharuskannya.

Maka sudah diketahui bahawa sebilangan sahabat telah diriwayatkan daripada mereka amalan talkin dan dalam bab ini terdapat hadis yang mempunyai bukti-bukti sokongan tanpa adanya pertentangan, kemudian amalan ini berterusan di kalangan jumhur ulama. Ini sudah cukup untuk membuktikan kesyariatan talkin di sisi orang yang memiliki kefahaman.

Orang Yang Telah Mati Boleh Mendengar

Sabit bahawa si mati mendengar bunyi kasut orang-orang yang mengiringinya. Ibnu Taimiyyah berkata dalam Majmu’ al-Fatawa: "Sabit bahawa orang yang dikuburkan ditanya dan diuji dan diperintahkan untuk berdoa untuknya. Oleh itu, dikatakan bahawa talkin memberi manfaat kepadanya kerana si mati mendengar doa sebagaimana sabit dalam hadis sahih daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda bersabda: "Sesungguhnya dia mendengar bunyi kasut mereka.”

Maka dengan dalalah al-khitab (petunjuk lafaz) dan dengan qiyas al-aula (qiyas yang lebih utama), dikatakan: Jika si mati mendengar bunyi kasut, maka pendengarannya terhadap talkin yang mengandungi zikir dan peringatan adalah lebih utama (tentu lebih didengarinya).

Dalil Lain Keharusan Talkin

Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Said dan Abu Hurairah yang berkata: Rasulullah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Talkinkan orang yang mati di kalangan kamu dengan La ilaha illallah."

Zahir hadis ini dan membawanya kepada hakikatnya adalah jelas menunjukkan keharusan talkin.

Daripada Damrah bin Habib (seorang tabi’in), beliau berkata: "Mereka menganggap sunat apabila kubur si mati telah diratakan dan orang ramai telah beredar daripadanya, untuk dikatakan di sisi kuburnya: Wahai fulan, katakanlah: Tiada Tuhan melainkan Allah. (Diulang sebanyak tiga kali). Wahai fulan, katakanlah: Tuhanku Allah, agamaku Islam dan nabiku Muhammad."

Athar ini diriwayatkan oleh Said bin Mansur sebagaimana dalam al-Talkhis al-Habir.

Perkataan tabi’in "mereka melakukannya" ditafsirkan bahawa yang dimaksudkan ialah sekumpulan sahabat.

Pandangan Empat Mazhab Mengenai Talkin

1 - Para ulama mazhab Hanafi menganggap talkin sebagai harus dan sebahagian mereka menganggapnya sunat. Rujuk: Al-Binayah 'ala al-Hidayah, Radd al-Mukhtar dan I'la' al-Sunan.

2 - Adapun mazhab Maliki, para ulama terkemudian mereka telah menyatakan keharusannya, dan Imam Abu Said bin Lubb berdalil dengannya berdasarkan hadis Abu Umamah yang diriwayatkan oleh al-Tabarani. Rujuk: Al-Mi'yar.

3 - Adapun mazhab al-Syafi'i, ia adalah sunat di sisi mereka. Dalam al-Majmu': "Sekumpulan daripada ulama kami berkata: Disunatkan talkin kepada si mati selepas pengebumiannya, maka seseorang duduk di sisi kepalanya dan berkata: Wahai fulan bin fulan. Wahai hamba Allah bin hamba perempuan Allah. Ingatlah perjanjian yang engkau tinggalkan (yakini) semasa di dunia iaitu kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa..."

Maka talkin ini adalah sunat di sisi mereka. Di antara mereka yang menyatakan kesunatan talkin ialah al-Qadi Husain, al-Mutawalli, Syeikh Nasr al-Maqdisi, al-Rafi'i dan lain-lain. Al-Qadi Husain menyebutkannya daripada ulama mazhab al-Syafi’i secara mutlak (keseluruhannya).

Imam al-Nawawi berkata: "Hadis Abu Umamah diriwayatkan oleh Abu al-Qasim al-Tabarani dalam Mu'jamnya dengan sanad yang lemah. Hadis ini walaupun lemah, boleh diambil sebagai sokongan dan para ulama hadis dan lain-lain telah bersepakat untuk bertolak ansur dalam hadis-hadis kelebihan amalan, galakan dan ancaman dan ia telah dikuatkan dengan sokongan-sokongan daripada hadis-hadis lain."

4 - Adapun mazhab Hanbali, pendapat yang dipegang oleh mereka ialah kesunatan talkin. Dalam al-Furu' oleh Ibnu Muflih: "Adapun mentalkinkannya selepas pengebumiannya, kebanyakan ulama menganggapnya sunat."

Dalam Kashaf al-Qina' 'an Matn al-Iqna': "Kebanyakan ulama menganggap sunat mentalkinkannya selepas pengebumiannya."

Ibnu Taimiyyah daripada ulama Hanbali terkemudian berpendapat bahawa ia adalah harus tetapi tidak sunat. Dalam Majmu’ al-Fatawa: "Beliau ditanya adakah disyariatkan talqin kepada si mati yang dewasa dan kanak-kanak? Beliau menjawab: Di antara sahabat ada yang melakukannya seperti Abu Umamah Al-Bahili, Wathilah bin al-Ashqa' dan selain mereka daripada kalangan sahabat. Di antara pengikut Ahmad ada yang menganggapnya sunat. Pendapat yang benar ialah ia harus tetapi bukan sunnah ratibah (sunnah yang diamalkan secara tetap). Allah lebih mengetahui."

Maka telah sabit bahawa talkin adalah disyariatkan dan ia berada antara harus dan sunat. Maka ia bukanlah bidaah sebagaimana yang didakwa oleh Muhammad bin Isma’il al-Amir al-San’ani, pengarang Subul al-Salam Syarah Bulugh al-Maram.

Rujukan:

Kashf al-Sutur 'Amma Usykila Min Ahkam al-Qubur karangan Syeikh Dr Mamud Sa'id Mamduh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan