Beliau ialah Abu Bakr Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah al-Naisaburi (meninggal 311 Hijrah).
Beliau adalah penulis kitab Sahih Ibnu Khuzaimah yang
diakui kepakarannya dalam fiqh dan periwayatan hadis. Namun para ulama
mengkritiknya kerana menceburi ilmu kalam.
Mungkin beliau terpengaruh dengan ketua kumpulan Karamiyyah,
kerana Ibnu al-Subki dalam Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra telah menukilkan
daripada al-Hakim bahawa beliau menyebut dalam Tarikh Naisabur tentang
Muhammad bin Karam dengan berkata:
"...dan telah sampai kepadaku (berita) bahawa Ibnu
Khuzaimah memujinya dan telah bertemu dengannya lebih dari sekali."
Beberapa ahli hadis telah mengkritiknya kerana menceburi
perkara yang tidak dikuasainya dengan baik.
Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Asma’
Wa al-Sifat dengan sanadnya daripada Abdul Rahman bin Abi Hatim al-Razi
bahawa beliau berkata: "Apa kena mengena Abu Bakr dengan ilmu kalam?
Sesungguhnya yang lebih utama bagi kami dan baginya adalah tidak bercakap
tentang apa yang tidak kita pelajari...”
Kemudian al-Baihaqi berkata: “Kisahnya panjang dan
Muhammad bin Ishaq (Ibnu Khuzaimah) telah kembali kepada jalan salaf dan
menyesal atas apa yang telah dikatakannya. Allah Maha Mengetahui."
Ibnu Khuzaimah mengakui tentang dirinya bahawa beliau tidak
menguasai ilmu kalam. Al-Baihaqi telah menukilkan daripadanya bahawa beliau
berkata: "Apa yang kamu ingkari terhadap seorang faqih dan perawi hadis
yang tidak menguasai ilmu kalam?"
Kitab al-Tauhid adalah sebahagian daripada kitab Sahih
Ibnu Khuzaimah berdasarkan pendapat yang tepat kerana beliau mengisyaratkan
kepadanya di lebih daripada satu tempat kepada bab-bab solat dan bab-bab lain
dalam kitab Sahih Ibnu Khuzaimah.
Di dalamnya terdapat bab bertajuk ‘Menetapkan jari-jari bagi
Allah Azza wa Jalla, bab tentang ‘Menetapkan kaki bagi Allah’ dan seumpamanya.
Walaupun beliau mensyaratkan kesahihan bagi hadis yang
disebutkannya, namun beliau tidak berpegang dengan syarat itu, lalu beliau
meriwayatkan matan-matan yang mungkar dan sanad-sanad yang lemah.
Antaranya apa yang disebutkan bahawa:
1 - Kursi adalah tempat kedua kaki-Nya.
2 - Arasy mengeluarkan bunyi disebabkan-Nya (duduk di
atasnya).
3 - Allah menzahirkan diri sebahagian daripada-Nya sebesar
jari kelingking.
4 - Allah turun kemudian naik.
5 - Allah turun ke langit dunia bersama roh-Nya (Jibril) dan
para malaikat-Nya lalu Allah bergegar.
6 - Syurga 'Adn adalah tempat tinggal Allah.
7 – Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam melihat
Allah di taman hijau.
8 - Di bawah Allah terdapat hamparan daripada emas yang
dipikul oleh empat malaikat.
Sumber:
Al-Tajsim Fi al-Fikr al-Islami oleh Dr Suhaib
al-Saqqar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan