Jumaat, 23 Mei 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (2) – Kategori Ahli Hadis yang Menilai Perawi dari Segi Jarh dan Ta'dil

Pakar di kalangan ahli hadis dan imam dalam ilmu jarh dan ta'dil, al-Hafiz Syamsuddin al-Zahabi berkata: 

"Sesungguhnya orang-orang yang diterima kata-katanya oleh ahli hadis dalam penilaian jarh dan ta'dil terbahagi kepada tiga golongan:

1 - Golongan yang banyak menilai mengenai  kebanyakan perawi, seperti Ibnu Ma'in dan Abu Hatim al-Razi. 

2 - Golongan yang menilai mengenai ramai perawi, seperti Malik dan Syu‘bah. 

3. Golongan yang hanya menilai mengenai seorang perawi demi seorang perawi (iaitu hanya sedikit), seperti Ibnu ‘Uyainah dan al-Syafi‘i.

Semuanya juga terbahagi kepada tiga jenis:

1 - Sebahagian daripada mereka bersikap sangat tegas dalam menilai perawi sebagai thiqah (dipercayai) dan amat berhati-hati dalam menilai sebagai ‘adil. Mereka akan mengkritik seorang perawi hanya disebabkan dua atau tiga kesalahan dan dengan itu melemahkan hadisnya.

Maka, apabila dia menilai thiqah seorang perawi, maka peganglah kata-katanya itu sekuat-kuatnya dan berpegang teguhlah dengan penilaiannya. Tetapi apabila dia mendaifkan seorang perawi, maka lihatlah adakah orang lain juga bersetuju dengannya dalam pendaifan itu? Jika ada yang bersetuju dan tidak ada seorang pun daripada para pakar yang menthiqahkannya, maka perawi itu memang lemah.

Namun, jika ada yang menthiqahkannya, maka inilah yang ahli hadis maksudkan dengan kata-kata: “Tidak diterima pendaifan melainkan yang dijelaskan sebabnya.” Maksudnya: Tidak cukup sekadar Ibnu Ma‘in (sebagai contoh), berkata: “Dia adalah lemah,” tanpa menjelaskan sebab kelemahannya sedangkan ahli hadis lain telah menthiqahkannya. Maka dalam kes seperti ini, penilaian terhadap hadisnya harus ditangguhkan (tidak diputuskan) dan hadis itu lebih dekat kepada hasan. 

Ibnu Ma‘in, Abu Hatim, dan al-Juzajani adalah golongan yang bersikap sangat tegas (mutaannit).

Kemudian al-Zahabi berkata: “Tidak pernah dua (kumpulan) orang alim dalam bidang ini sepakat dalam menthiqahkan seorang yang lemah dan tidak juga dalam melemahkan seorang yang thiqah.”

2 – Satu golongan yang berlawanan dengan golongan ini pula, seperti Abu ‘Isa al-Tirmizi, Abu ‘Abdillah al-Hakim dan Abu Bakr al-Bayhaqi: Mereka adalah golongan yang bersikap longgar (mutasahil).

3 – Satu golongan lagi seperti al-Bukhari, Ahmad bin Hanbal, Abu Zur‘ah, dan Ibn ‘Adi: Mereka adalah golongan yang bersikap sederhana dan adil. 

Al-Zahabi berkata: 

“Di antara mereka ada yang keras dalam mengkritik, ada pula yang bersikap sederhana, dan ada juga yang bersikap longgar. 

Maka, antara yang keras (mutashaddid) dalam kalangan mereka: Yahya bin Sa‘id, Ibnu Ma‘in, Abu Hatim, Ibn Khirash dan selain mereka. 

Yang sederhana (mu‘tadil) dalam kalangan mereka: Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari dan Abu Zur‘ah. 

Yang longgar (mutasahil): seperti al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Daraqutni pada sebahagian keadaan. 

Kadang-kadang, sikap seorang imam itu lebih lembut dalam perkara yang selari dengan mazhabnya atau dalam hal-hal yang melibatkan gurunya, berbanding keadaannya dalam hal yang berbeza daripada itu. 

Yang maksum hanyalah para nabi, orang-orang siddiqin dan para hakim yang berlaku adil.”

Berikut adalah senarai golongan yang bersikap tegas (mutashaddid), longgar (mutasahil) dan sederhana (mutadil), setiap satu dalam golongannya tersendiri:

(A) Golongan yang Bersikap Tegas (Mutashaddidin):

1 - Syu‘bah bin al-Hajjaj 

Abu Bistam, Syu‘bah bin al-Hajjaj bin al-Ward al-‘Ataki al-Azdi (meninggal tahun 160H). 

Syu‘bah terkenal dengan ketegasannya dalam menghukum perawi dan dalam mengambil ilmu daripada para guru.

Al-Sakhawi berkata tentangnya: "Sesungguhnya dia sangat tegas terhadap perawi dan tidak meriwayatkan hadis kecuali daripada yang benar-benar thabit (kuat dan dipercayai).”

2 - Yahya bin Sa‘id al-Qattan 

Abu Sa‘id, Yahya bin Sa‘id bin al-Qattan Farukh al-Tamimi al-Basri (meninggal tahun 198H). 

Ali bin al-Madini berkata: "Jika Yahya bin Sa‘id dan ‘Abd al-Rahman bin Mahdi sepakat meninggalkan (meriwayatkan daripada) seseorang, maka aku juga tidak meriwayatkan daripadanya. Tetapi jika mereka berdua berbeza pandangan, aku akan mengambil pendapat ‘Abd al-Rahman kerana dia lebih adil di antara keduanya dan Yahya bersikap tegas.” 

Ketegasan Yahya dalam banyak keadaan sebenarnya berpunca daripada sifat warak yang mendalam dan sikap berjaga-jaga yang menyeluruh.

3 - Malik bin Anas 

Abu ‘Abdillah, Malik bin Anas bin Malik bin Abi ‘Amir bin ‘Amr bin al-Harith al-Asbahi (meninggal tahun 179H). 

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Sufyan bin ‘Uyainah yang berkata: “Betapa tajamnya kritikan Malik terhadap perawi dan betapa dalamnya pengetahuannya mengenai keadaan mereka!”

4 - 'Affan bin Muslim bin Abdullah al-Saffar

Abu Uthman al-Basri (meninggal tahun 220H).

Al-Zahabi berkata dalam biografi Amru bin Marzuq al-Bahili: “Ahmad bin Hanbal berkata kepada anaknya, Salih, ketika dia kembali dari Basrah: Mengapa kamu (tidak) menulis dari Amru bin Marzuq? Dia menjawab: Saya dilarang. Ahmad berkata: Jika 'Affan telah meredhainya dan siapa yang 'Affan redhai?!.”

5 - Yahya bin Ma'in

Abu Zakariya, Yahya bin Ma'in bin 'Aun bin Ziyad al-Baghdadi (meninggal tahun 233H).

Beliau sangat teliti dalam menilai perawi, walaupun beliau banyak menilai tentang kebanyakan mereka dari segi jarh dan ta'dil.

Inilah yang mendorong Abdullah bin al-Rumi untuk berkata seperti yang diriwayatkan daripadanya dan didengar oleh Abdul Khaliq bin Mansur: “Saya tidak pernah melihat sesiapa pun yang berkata benar tentang para syeikh selain Yahya dan selain beliau cenderung berat sebelah dalam ucapannya.”

6 - Ali bin al-Madini

Abu al-Hasan, Ali bin Abdullah bin Ja'far bin Najih al-Sha'ri, yang dikenali sebagai Ibnu al-Madini (meninggal tahun 234H).

Ibnu Abi Hatim berkata dalam biografi Fudhail bin Sulaiman al-Numairi: “Abu Zur'ah ditanya tentang Fudhail bin Sulaiman, maka dia berkata: Lemah dalam hadis. Ali bin al-Madini meriwayatkan daripadanya dan dia adalah salah seorang yang bersikap tegas (mutashaddid).”

7 - Abu Hatim al-Razi

Muhammad bin Idris bin al-Munzir bin Daud bin Mihran al-Hanzali (meninggal tahun 277H).

Al-Hafiz al-Zahabi telah menyebutkan di banyak tempat dalam buku-bukunya tentang ketegasan Abu Hatim dalam menghukum perawi.

Beliau berkata dalam risalahnya tentang perawi-perawi yang thiqah: “Abbad bin Abbad al-Muhallabi: Mereka menganggapnya thiqah dan hadisnya terdapat dalam kitab-kitab, tetapi Abu Hatim berkata: Tidak boleh dijadikan hujah. Saya berkata: Abu Hatim terlalu keras terhadap lelaki ini.”

Al-Zahabi berkata tentangnya di tempat lain: “Saya sangat kagum dengan kata-kata Abu Zur'ah dalam jarh dan ta'dil. Nampak padanya sifat warak dan pengalaman, berbeza dengan rakannya Abu Hatim, kerana dia terlalu keras.”

8 - Al-Juzajani

Abu Ishaq, Ibrahim bin Ya'qub al-Sa'di al-Juzajani (meninggal tahun 259H).

Beliau adalah salah seorang yang tegas terutamanya terhadap mereka yang dikaitkan dengan Syiah atau Rafidah.

Al-Zahabi berkata tentangnya: “Dia termasuk orang yang berlebihan dalam jarh.”

Ibnu Hajar berkata: “Antara mereka yang perlu ditangguhkan penerimaan kata-katanya dalam jarh adalah orang yang mempunyai permusuhan dengan orang yang dikritiknya, yang sebabnya adalah perbezaan dalam akidah...”

9 - Al-Nasa'i

Abu Abd al-Rahman, Ahmad bin Shu'aib bin Sinan bin Bahr bin Dinar al-Khurasani (meninggal tahun 303H).

Al-Zahabi berkata dalam biografi Malik bin Dinar: “Al-Nasa'i telah menthiqahkannya dan dia tidak menthiqahkan seseorang melainkan setelah usaha keras (menyelidik tentangnya).”

10 - Ibnu Hibban

Abu Hatim, Muhammad bin Hibban bin Ahmad bin Hibban bin Mu'az bin Ma'bad al-Tamimi al-Busti (meninggal tahun 354H).

Abu Hatim Ibnu Hibban dianggap antara tegas dalam kritikan dan kitabnya mengenai perawi-perawi yang dikritik (al-majruhin) menjadi saksi kepada sikap tegasnya yang melampau.

11 - Al-Azdi

Abu al-Fath, Muhammad bin Husain bin Ahmad bin al-Husain bin Abdullah al-Azdi al-Mausili (meninggal dunia pada tahun 394H).

Al-Zahabi berkata dalam biografinya: “Dia sangat tegas dalam mengkritik.”

12 - Ibnu al-Qattan

Abu al-Hasan, Ali bin Muhammad bin Abdul Malik al-Qattan al-Kinani al-Himyari al-Fasi (meninggal tahun 628H).

Al-Zahabi berkata “Saya telah menelaah kitabnya yang dinamakan al-Wahm wa al-Iham yang dia susun (sebagai kritikan) ke atas al-Ahkam al-Kubra karya Abdul Haqq, yang menunjukkan kepakarannya dan kekuatan pemahamannya, tetapi dia bersikap keras terhadap keadaan beberapa perawi, sehingga tidak adil apabila dia mula melemahkan Hisham bin Urwah dan seumpamanya.”

13 - Ibnu Hazm

Abu Muhammad, Ali bin Ahmad bin Sa'id bin Hazm al-Zahiri (meninggal tahun 456H).

Ketegasan Ibnu Hazm terserlah dalam menilai majhul (tidak dikenali) sekumpulan imam-imam terkenal.

Al-Hafiz al-Sakhawi berkata di akhir kitabnya al-I'lan bi al-Tawbikh li man Zamma Ahl al-Tarikh: “Saya berkata: Dan seperti Ibn Hazm, kerana dia berkata tentang setiap daripada al-Tirmizi pemilik al-Jami' dan Abu al-Qasim al-Baghawi, Isma'il bin Muhammad al-Saffar dan Abu al-Abbas al-Asamm dan lain-lain daripada kalangan yang masyhur: Bahawa dia majhul).

Tindakan Ibnu Hazm ini dianggap ini dianggap sebagai sikap yang terlalu keras (mutasyaddid) dan melampau, bukan sikap yang longgar (tasahul) dan bertolak ansur.

14 - Ibnu Khirash

Abu Muhammad, Abd al-Rahman bin Yusuf bin Khirash (meninggal tahun 283 H).

Al-Zahabi berkata: “Tegas seperti Abu Hatim”, iaitu: bersikap keras (mutasyaddid) seperti Abu Hatim. Oleh itu al-Zahabi menggolongkannya dalam kalangan mutasyaddidin (orang-orang yang bersikap keras dalam mengkritik).

(B) Golongan yang Bersikap Longgar (Mutasahilin)

1 - Al-Tirmizi

Abu Isa, Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa bin al-Dahhak al-Sulami al-Bughi al-Tirmizi (meninggal tahun 279H).

Al-Hafiz al-Zahabi menganggapnya sebagai salah seorang yang mutasahil, lalu berkata dalam biografinya: "Dalam al-Jami' (al-Tirmizi) terdapat ilmu yang bermanfaat, faedah yang banyak dan pokok-pokok permasalahan. Ia adalah salah satu dasar Islam, jika tidak kerana ia dicemari dengan hadis-hadis yang sangat lemah (wahiyah), sebahagiannya palsu dan kebanyakannya berkaitan dengan kelebihan (fadhail). Saya berkata: Kitab Jami'nya membuktikan keimaman, kepakaran dan kefahamannya, tetapi dia bersikap longgar dalam menerima hadis, tidak ketat, dan sikapnya dalam menilai hadis sebagai lemah adalah longgar.”

Beliau juga berkata tentangnya dalam biografi al-Hajjaj bin Artah: "Al-Tirmizi kadang-kadang bersikap longgar dan mensahihkan (hadis) Ibnu Artah dan ini tidak bagus."

Beliau berkata dalam biografi Yahya bin Yaman al-'Ijli selepas menyebutkan sebuah hadis: "...dan al-Tirmizi menganggapnya hasan walaupun terdapat tiga (perawi) yang lemah di dalamnya. Maka jangan terpedaya dengan penilaian hasan oleh al-Tirmizi, kerana setelah penelitian mendalam, kebanyakannya adalah daif."

Namun, anggapan al-Hafiz al-Zahabi bahawa al-Tirmizi termasuk dalam golongan yang bersikap longgar adalah tidak benar. Syeikh Dr. Nuruddin 'Itr telah membincangkan topik ini dalam kitabnya yang berharga Al-Imam al-Tirmizi dan Perbandingan antara Jami'nya dengan Sahihain, maka rujuklah kepadanya.

2 - Ibnu Hibban

Abu Hatim, Muhammad bin Hibban bin Ahmad bin Hibban bin Mu'az bin Ma'bad al-Tamimi al-Busti (meninggal tahun 354H).

Dalam menilai perawi, Ibnu Hibban mengikuti metodogi yang mengandungi sikap berlebihan dan semberono.

Beliau berlebihan dalam mengkritik perawi (al-jarh) dan bersikap ketat, tetapi semberono dalam memberi penilaian thiqah kepada perawi (al-ta'dil) dan pensahihan hadis sehingga beliau dianggap sebagai salah seorang yang mutasahil. Aspek kedua ini menyebabkan al-Hafiz Ibnu Hajar berkata tentangnya: "Dia dikenali dengan sikap longgar dalam bab menilai perawi."

3 - Al-Hakim al-Naisaburi:

Abu Abdullah, Muhammad bin Abdullah bin Hamdawaih bin Nu'aim al-Dabbi al-Naisaburi (meninggal tahun 405H).

Al-Hakim telah semberono dalam mensahihkan hadis-hadis yang sangat daif (wahi), apatah lagi yang daif. Para imam telah mengeluarkan dari kitab al-Mustadraknya sejumlah besar hadis-hadis palsu dan rosak (talif), yang menurunkan kedudukan kitab ini dari kedudukan yang sepatutnya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar telah memberi alasan bagi apa yang dilakukan oleh al-Hakim dalam kitab al-Mustadraknya dengan berkata: "Al-Hakim terlalu tinggi kedudukannya, lebih agung martabatnya dan terlalu masyhur namanya untuk disebut dalam kalangan perawi yang lemah, tetapi dikatakan sebagai pembelaan untuknya bahawa ketika beliau menyusun al-Mustadrak, beliau berada di akhir hayatnya. Sebahagian ulama menyebut: bahawa beliau mengalami perubahan ingatan dan kelalaian pada akhir hayatnya. Buktinya ialah beliau menyebut sekumpulan perawi dalam kitab al-Du'afa' (Perawi Lemah) miliknya dan memutuskan untuk tidak meriwayatkan daripada mereka, serta melarang berhujah dengan mereka, kemudian beliau mengeluarkan hadis-hadis sebahagian daripada mereka dalam al-Mustadraknya dan mensahihkannya."

Al-Hafiz Ibnu Hajar juga memberi pembelaan bagi al-Hakim di tempat lain dengan berkata: "Sesungguhnya al-Hakim bersikap longgar kerana beliau menulis draf kitab tersebut untuk disemak semula, tetapi kematian mendahuluinya..." Kemudian Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: "Saya telah mendapati dalam hampir separuh juzuk kedua daripada enam bahagian al-Mustadrak: Setakat ini berakhirnya imla' (dikte) al-Hakim." Kemudian Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: "Dan selain daripada bahagian tersebut daripada kitab itu tidak diambil daripada al-Hakim kecuali melalui ijazah, daripada muridnya yang paling senior dan yang paling banyak mendampinginya iaitu al-Baihaqi. Apabila al-Baihaqi menyampaikan sesuatu daripada al-Hakim selain daripada bahagian yang diimla'kan, beliau tidak menyebutkannya kecuali secara ijazah...Dan sikap longgar dalam bahagian yang diimla'kan sangat sedikit berbanding dengan bahagian selepasnya."

(C) Golongan Yang Sederhana (Mu’tadilin)

Al-Hafiz al-Zahabi memberikan contoh untuk golongan yang sederhana iaitu Imam Ahmad, al-Bukhari, Abu Zur'ah al-Razi dan Ibn 'Adi, seperti dalam risalahnya Zikr man Yu'tamad Qauluhu fi al-Jarh wa al-Ta'dil (Menyebut Mereka yang Diterima Pendapatnya dalam Jarh dan Ta’dil).

Tetapi al-Zarkashi ketika menukilkan sebahagian daripada karya al-Zahabi ini dalam Nukatnya terhadap Ibnu al-Salah, beliau memberikan contoh iaitu Imam Ahmad, al-Daraqutni dan Ibn 'Adi. Begitu juga al-Sakhawi ketika menukilkan daripada al-Zahabi.

Al-Zahabi dalam al-Muqizah memberikan contoh untuk golongan sederhana iaitu Imam Ahmad, al-Bukhari dan Abu Zur'ah. Beliau menganggap al-Daraqutni dalam kitab tersebut sebagai salah seorang yang bersikap longgar pada sesetengah waktu.

Berikut adalah mereka yang dianggap oleh al-Zahabi sebagai golongan sederhana dalam dua kitabnya yang disebutkan sebelum ini:

1 - Ahmad bin Hanbal

Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal bin Hilal bin Asad al-Shaibani, berasal dari Marw, kemudian menetap di Baghdad (meninggal tahun 241H).

Al-Zahabi telah menyebutkannya dalam kitabnya Zikr man Yu'tamad Qauluhu fi al-Jarh wa al-Ta'dil dalam kalangan pengkritik yang adil dan sederhana.

2 - Al-Bukhari

Abu Abdullah, Muhammad bin al-Hasan Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah, al-Ju'fi mawlahum (meninggal tahun 256H).

Beliau dianggap sebagai salah seorang yang adil dan sederhana dalam perbincangan tentang perawi, sebagaimana yang disifatkan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam kitabnya Zikr man Yu'tamad Qauluhu fi al-Jarh wa al-Ta'dil.

3 - Abu Zur'ah

Ubaidullah bin Abdul Karim bin Yazid bin Fa'rukh al-Qurashi mawlahum, al-Razi (meninggal tahun 264H).

Al-Zahabi menyebutkannya dalam kitabnya Zikr man Yu'tamad Qauluhu fi al-Jarh wa al-Ta'dil dalam bahagian pengkritik perawi yang bersifat sederhana.

4 - Ibnu 'Adi

Abu Ahmad, Abdullah bin 'Adi bin Abdullah bin Muhammad bin Mubarak al-Jurjani (meninggal tahun 365H).

Al-Hafiz al-Zahabi menganggapnya sebagai salah seorang yang sederhana dan adil seperti al-Bukhari.

5 - Al-Daraqutni

Abu al-Hasan, Ali bin Umar bin Ahmad bin Mahdi al-Daraqutni al-Baghdadi (meninggal tahun 385H).

Beliau kadang-kadang bersikap ketat dan kadang-kadang bersikap longgar. Al-Dhahabi berkata: "Sesungguhnya beliau bersikap longgar pada sesetengah waktu...”

Peringatan:

Perlu diperhatikan di sini bahawa sifat sederhana tidak bermaksud semua kritikan dan penilaian seseorang pengkritik itu sentiasa adil dan sederhana, tetapi yang dimaksudkan adalah kebanyakannya kerana ramai daripada golongan sederhana kadang-kadang bersikap ketat atau longgar, sebagaimana sebahagian daripada golongan yang bersikap longgar kadang-kadang bersikap keras dan sebahagian daripada golongan yang ketat kadang-kadang bersikap longgar.

Ibnu 'Adi dan Imam Ahmad disifatkan dengan kesederhanaan dan adil walaupun Ibnu ‘Adi bersikap keras terhadap mazhab Hanafi dan Imam Ahmad bersikap ketat terhadap mereka yang berpendapat bahawa lafaz al-Quran adalah makhluk. Al-Daraqutni pula disifatkan dengan kesederhanaan dan sikap longgar, namun beliau juga bersikap keras dalam mengkritik sebahagian perawi.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan