Khamis, 15 Mei 2025

Hadis Palsu: Kebaikan Paling Baik Adalah Akhlak Baik

 إِنَّ أَحْسَنَ الْحُسْنِ الْخُلُقُ الْحَسَنُ

“Sesungguhnya kebaikan yang paling baik adalah berakhlak yang baik.”

Sumber Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Qudha’i dalam Musnad al-Syihab, Abu Bakar al-Turaithithi dalam Ahadith al-Musalsalat, Abu Musa al-Madini dalam Nuzhah al-Huffaz, Ibnu al-Jauzi dalam Kitab al-Musalsalat dan lain-lain melalui jalur sanad:

Al-Hasan bin Dinar daripada al-Hasan bin al-Basri daripada al-Hasan bin Abi Talib daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Hadis ini dikenali sebagai Musalsal Bil Hasan (Musalsal perawi bernama Hasan kerana sanad hadis ini berpaksi pada perawi-perawi bernama Hasan) dan diriwayatkan oleh para ulama zaman-berzaman secara musalsal dalam kitab musalsal mereka.

Saya temui hadis ini di sini.

Pandangan Ahli Hadis Tentang Hadis Ini:

1 – Ibnu al-Jauzi berkata: “Ini adalah hadis yang tiada asal usulnya secara mauquf. Abu Zur’ah bin Muhammad telah memberitahu kami, daripada ayahnya: Ini adalah hadis yang direka-reka dan tiada asal usulnya. Al-Hasan bin Dinar telah didustakan oleh Ahmad dan Yahya dan dia hanyalah menginginkan kesinambungan (tasalsul) dan telah menyusahkan diri orang yang menetapkan kaedah ini.”

2 – Al-Sakhawi dalam al-Jawahir al-Mukallalah berkata: “Paksi (sanad)nya adalah pada al-Hasan bin Dinar dan dia termasuk orang yang telah dituduh berdusta oleh Ahmad, Ibnu Ma'in dan selain mereka berdua dan (riwayatnya) telah ditinggalkan oleh Ibnu Mahdi, Ibnu Al-Mubarak dan Waki'. Lebih-lebih lagi apabila sebahagian mereka meriwayatkannya daripadanya lalu menjadikannya mauquf (sebagai ucapan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib).”

3 – Syeikh al-Syarif Hatim al-‘Auni menghukumkan hadis ini sebagai palsu dalam kitab al-Takhrij Wa Dirasah al-Asanid.

Kesimpulan:

Hadis ini adalah palsu dan tidak boleh disebarkan melainkan disertai penjelasan tentang kepalsuannya. Para ulama yang meriwayatkan hadis ini dalam kitab musalsal mereka akan menyebutkan kritikan para ulama kepada al-Hasan bin Dinar, perawi hadis ini.

Terdapat beberapa hadis lain yang menceritakan kelebihan kelebihan akhlak yang baik namun bukan secara musalsal, contohnya:

خَيْرُ مَا أُعْطِيَ الْعَبْدُ الْخُلُقُ الْحَسَنُ

“Sebaik-baik apa yang diberikan kepada hamba (manusia) adalah akhlak yang baik.”

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Usamah bin Syarik dengan sanad yang sahih. 

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

“Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”

Hadis sahih riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi daripada hadis Abu Hurairah.

Dan banyak hadis lain yang seumpamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan