Khamis, 15 Mei 2025

Tiada Guru, Maka Syaitan Gurunya?

 


Soalan:

Adakah benar bahawa sesiapa yang tiada guru pembimbing (mursyid) maka syaitanlah menjadi gurunya?

Jawapan Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti:

Tidak syak lagi bahawa hubungan seorang pemuda yang sedang menuju kepada Allah dengan seorang mursyid yang alim dan ikhlas kerana Allah adalah sesuatu yang sangat bermanfaat dalam bidang pengajaran dan pembentukan akhlak (suluk).

Namun, ini tidak bererti bahawa setiap orang yang tidak mempunyai guru yang membimbingnya, maka syaitannya menjadi gurunya.

Kata-kata yang berlebih-lebihan ini bukanlah hadis dan bukan juga kata-kata daripada mana-mana tokoh salafussoleh.

Seseorang pemuda yang tidak berkesempatan untuk menemui seorang mursyid yang alim dan ikhlas kerana Allah, masih boleh mempelajari asas-asas Islam dan hukum-hakam pembentukan akhlaknya daripada mana-mana saudara seagama yang jujur menasihatinya. Setelah itu, dia hanya perlu berusaha sedaya upaya untuk mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Saya sendiri tidak pernah terikat dengan mana-mana tarekat sufi sama ada Syaziliyyah mahupun yang lain.

Berkumpul untuk berzikir kepada Allah melalui majlis maulid yang disebutkan padanya sirah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, sifat-sifatnya serta pujian ke atas baginda adalah amalan yang baik dan diberi pahala jika dilakukan kerana mengharap keredaan Allah dan majlis itu bebas daripada perkara-perkara yang haram.

Sumber:

Ma’a al-Nas oleh Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan