Jumaat, 2 Mei 2025

Kitab al-Sifat oleh al-Daraqutni

Beliau ialah al-Hafiz Abu al-Hasan Ali bin Umar yang padanya kemuncak penguasaan ilmu athar, pengetahuan tentang 'ilal (kecacatan hadis) dan nama-nama perawi, berserta sifat jujur dan akidah yang sahih.

Keadaan hadis dalam kitab ini menjadi bukti bahawa al-Daraqutni yang merupakan seorang pakar dalam 'ilal hadis dan perawinya berlepas diri daripadanya.

Sebenarnya kitab ini lebih sesuai dinisbahkan kepada orang yang meriwayatkannya daripada beliau. Maka tidak sah penisbahan kitab ini kepada al-Daraqutni sebagaimana yang diperingatkan oleh al-Kauthari, kerana dalam sanad kitab ini kepada al-Daraqutni terdapat Abu al-'Izz bin Kadish Ahmad bin Ubaidillah (meninggal 526 Hijrah).

Al-Zahabi berkata dalam biografinya: "Beliau mengaku memalsukan hadis dan telah bertaubat dan kembali [kepada kebenaran]."

Tidak tersembunyi bahawa taubat ini tidak bermakna penerimaan riwayatnya kerana dua sebab:

Pertama: Antara kaedah ahli hadis ialah bahawa orang yang bertaubat daripada berdusta terhadap Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak diterima riwayatnya selama-lamanya, walaupun baik keadaannya (selepas itu), sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Suyuti daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan ahli hadis yang lain.

Kedua: Walaupun mengikut mazhab yang menerima taubatnya, tidak semestinya riwayatnya diterima kerana beliau adalah lemah periwayatannya sama ada sebelum atau selepas pendustaannya. Ibn Hajar menukilkan dalam biografinya bahawa dia adalah seorang pendusta yang orang sepertinya tidak boleh dijadikan hujah dan para imam mempunyai kritikan terhadapnya.

Kitab ini diriwayatkan oleh Ibnu Kadish daripada Muhammad bin Ali Abu Talib al-'Ushari.

Al-Zahabi berkata dalam biografinya: "Seorang syeikh yang jujur dan dikenali, tetapi telah dimasukkan kepadanya beberapa perkara lalu beliau meriwayatkannya dengan kelurusan hatinya. Antaranya ialah hadis palsu tentang kelebihan malam 'Asyura dan antaranya ialah akidah (yang dinisbahkan) kepada al-Syafi'i.”

Al-Zahabi menyebutkan beberapa kebatilan daripadanya kemudian berkata: "Maka semoga Allah memburukkan orang yang memalsunya dan celaan itu sebenarnya ditujukan kepada ahli hadis Baghdad. Bagaimana mereka membiarkan al-'Usyari meriwayatkan kebatilan-kebatilan ini."

Dalam kitab ini terdapat bab tentang:

1 -  Menetapkan dua kaki bagi Allah.

2 - Kursi adalah tempat dua kaki Allah.

3 – ‘Arasy mengeluarkan bunyi disebabkan Allah duduk di atasnya.

4 - Adam diciptakan mengikut rupa Allah dan seumpamanya.

Sumber:

Al-Tajsim Fi al-Fikr al-Islami oleh Dr Suhaib al-Saqqar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan