Ahad, 1 Jun 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (5) – Syarat-Syarat yang Tidak Diambil Kira Bagi Pengkritik dan Pemuji Perawi:

Terdapat beberapa sifat yang diperselisihkan tentang syarat-syaratnya bagi pengkritik dan pemuji perawi. Majoriti ahli hadis menguatkan pendapat bahawa syarat-syarat ini tidak perlu, iaitu:

1 & 2 - Tidak disyaratkan pengkritik atau pemberi pujian itu lelaki atau merdeka:

Perkara ini tidak disyaratkan. Malah yang diterima pakai ialah: Diterima pujian dan kritikan daripada setiap orang yang adil, sama ada lelaki atau perempuan, merdeka atau hamba.

Asas dalam bab ini ialah soalan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kepada Barirah dalam kisah al-Ifk tentang keadaan Ummul Mukminin Aisyah dan jawapannya kepada baginda.

Wajib juga menerima pengiktirafan (tazkiyah) seorang hamba terhadap pembawa khabar tetapi bukan terhadap saksi kerana khabar seorang hamba diterima, manakala kesaksiannya ditolak.

Adapun pengiktirafan daripada kanak-kanak yang hampir baligh dan budak yang dapat mengingati apa yang didengarnya, maka ia tidak diterima. Ini kerana walaupun budak itu dapat mengingati apa yang didengar dan menyampaikannya dengan tepat, dia tidak memahami hukum-hukum perbuatan orang mukallaf dan tidak tahu bagaimana seseorang itu boleh dianggap adil atau fasik. Pemahaman ini hanya sempurna bagi orang yang mukalaf, maka tidak boleh menerima pujiannya.

Tambahan pula, dia tidak dipertanggungjawabkan dari segi agama dalam memberi pujian kepada orang fasik atau mengatakan orang adil itu fasik, kerana dia tidak takut kepada dosa dan hukuman. Oleh itu, tidak ada jaminan dia tidak akan mengatakan orang adil itu fasik atau orang fasik itu adil.

3 - Berbilang jumlah pengkritik atau pemuji perawi:

Iaitu tidak diterima dan tidak sah kritikan atau pujian melainkan dengan kata-kata dua orang yang adil.

Ini bukanlah syarat bagi pengkritik atau pemuji perawi untuk diterima kritikan dan pujian mereka. Yang benar ialah kritikan dan pujian diterima daripada seorang sahaja seperti yang dipegang oleh majoriti ulama kerana pengkritik dan pemuji perawi adalah hakim, bukan saksi. Maka tidak disyaratkan berbilang jumlah mereka, sebagaimana tidak disyaratkan berbilang jumlah hakim.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan