![]() |
Kubur yang didakwa kubur Nabi Nuh |
Baginda disebut dalam al-Quran sebanyak 43 tempat dan baginda adalah Rasul pertama dan salah seorang daripada Ulul Azmi.
Allah berfirman: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus
Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka selama seribu tahun
kurang lima puluh tahun (yakni 950 tahun). Kemudian mereka ditimpa banjir
besar, sedang mereka adalah orang-orang yang zalim." [Al-Ankabut: 14]
Nasabnya: Baginda adalah Nuh bin Lamek bin Methuselah
bin Idris bin Yard bin Mahalaleel bin Kenan bin Enosh bin Seth bin Adam.
Kelahirannya: Baginda dilahirkan di Iraq dan
kelahirannya adalah 126 tahun selepas kewafatan Adam.
Kaumnya: Penyembahan berhala tersebar luas di
kalangan kaumnya dan mereka adalah golongan pertama yang menyembah berhala
selain daripada Allah.
Dakwahnya: Baginda diutus selepas umur 50 tahun dan
berusaha untuk menasihati dan membimbing kaumnya untuk menyembah Allah sahaja
dan meninggalkan penyembahan berhala.
Baginda terus berdakwah selama 900 tahun tetapi hanya
sedikit yang menyahut seruannya. Lalu dia berdoa ke atas kaumnya.
Allah berfirman: "Dan Nuh berkata: Ya Tuhanku,
janganlah Engkau biarkan seorangpun di antara orang-orang kafir itu tinggal di
atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan
menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang
berbuat maksiat lagi sangat kafir." [Nuh: 26,27]
Maka Allah memerintahkannya untuk membina bahtera. Baginda menanam
pokok kurma untuk mendapatkan kayu dan membinanya sendiri dengan wahyu daripada
Allah. Setiap kali kaumnya melaluinya, mereka mengejeknya kerana mereka tinggal
jauh dari laut.
Apabila tiba hari yang dijanjikan, Nuh dan orang-orang yang
beriman menaiki bahtera dan membawa sepasang dari setiap makhluk, jantan dan
betina. Bumi mengeluarkan airnya dan langit menurunkan hujan sehingga
menenggelamkan bumi dan semua yang ada di dalamnya. Berlakulah banjir besar dan
bahtera itu selamat.
Tempoh pelayaran bahtera adalah 150 hari sebelum berlabuh di
sebuah gunung bernama Judi. Selepas itu, Nuh dan kaumnya hidup menyembah Allah
sahaja dan semua yang ada di bumi beriman kepada Allah.
Faedah: Ibnu Abbas meriwayatkan: "Burung pertama yang masuk
ke dalam bahtera ialah durrah (burung bayan kecil) dan haiwan terakhir yang
masuk ialah keldai. Iblis masuk (ke dalam bahtera) dengan berpaut pada ekor
keldai."
Nuh turun dari bahtera pada hari kesepuluh bulan Muharram.
Anak-anaknya:
1 - Sam: Bapa kepada bangsa Arab.
2 - Ham: Bapa kepada bangsa Habsyah.
3 - Yafeth: Bapa kepada bangsa Rom.
Baginda mempunyai seorang anak bernama Kan’an yang baginda panggil
semasa berlaku taufan untuk naik bersama mereka tetapi dia menolak dan mendaki
gunung, maka dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang ditenggelamkan.
Begitu juga dengan isteri Nuh yang menolak dakwahnya dan tetap kafir terhadap dakwah
suaminya.
Kewafatannya: Nuh adalah Nabi yang paling panjang
umurnya di bumi. Baginda hidup selama 950 tahun, ada yang mengatakan 1000
tahun, ada yang mengatakan 1350 tahun dan ada yang mengatakan 1780 tahun.
Faedah: Ibnu Jarir dan al-Azraqi meriwayatkan bahawa
kubur Nuh terletak di Masjidil Haram (dan pendapat lain mengatakan) di sebuah
tempat di Biqaa' (Lubnan) yang kini dikenali sebagai Karak Nuh.
Faedah: Para ahli arkeologi telah menemui bahtera Nuh
di Gunung Judi di Turki.
Sumber:
Khulasah al-Anba’ Fi Qasas al-Anbiya’ karangan Syeikh Dr Hisyam al-Kamil Hamid al-Syafi’e al-Azhari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan