Jumaat, 6 Jun 2025

Ulama dan Penjagaan Masa

1 - Musa bin Ismail al-Tabudzaki berkata: "Jika saya katakan kepada kamu bahawa saya tidak pernah melihat Hammad bin Salamah ketawa, maka saya berkata benar. Beliau sentiasa sibuk, sama ada menyampaikan hadis, membaca, bertasbih, atau solat. Beliau telah membahagikan waktu siangnya untuk semua itu."

2 - Ahmad bin Abdullah Al-'Ijli berkata: “Ayah saya memberitahu saya: Hammad bin Salamah tidak akan menyampaikan hadis sehingga beliau membaca seratus ayat Al-Quran dengan melihat mushaf."

3 - Al-Hakim berkata: "Saya telah melakukan perjalanan ke Tus sebanyak dua kali dan saya bertanya kepada Abu al-Nadhr al-Tusi: Bilakah tuan ada masa untuk menulis karya sedangkan tuan turut mengeluarkan fatwa yang begitu banyak? Beliau menjawab: Saya membahagikan malam kepada tiga bahagian: Satu bahagian untuk menulis, satu bahagian untuk tidur dan satu bahagian untuk membaca al-Quran."

4 - Abu al-Qasim Ibnu Asakir berkata: "Saya telah membaca tulisan Ghaith al-Armanazi: Sulaim al-Faqih telah tenggelam di Laut Merah, di pesisir Jeddah, selepas menunaikan haji pada bulan Safar tahun 447H. Usianya telah melebihi 80 tahun. Beliaulah orang pertama yang menyebarkan ilmu ini di Sur (Syria) dan ramai yang mendapat manfaat daripadanya. Saya diberitahu bahawa beliau sentiasa menghisab dirinya pada setiap hembusan nafas, tidak membiarkan waktu berlalu tanpa faedah, sama ada menyalin, mengajar, atau membaca. Saya juga diberitahu bahawa beliau sentiasa menggerakkan bibirnya (untuk membaca al-Quran atau berzikir) ketika meraut penanya."

5 - Ibnu Aqil berkata: "Allah telah memelihara saya semasa muda dengan pelbagai cara dan menjadikan kecintaan saya hanya pada ilmu. Saya tidak pernah bergaul dengan orang yang lalai sama sekali dan tidak bergaul melainkan dengan orang-orang seperti saya daripada kalangan penuntut ilmu. Kini saya berusia 80-an tahun dan saya mendapati semangat saya terhadap ilmu lebih kuat berbanding ketika saya berusia 20 tahun. Saya telah mencapai usia 82 tahun dan hari ini saya tidak melihat pengurangan dari segi pemikiran, ingatan, dan ketajaman penglihatan untuk melihat anak bulan yang samar, melainkan kekuatan fizikalku yang lemah."

Ibnu al-Jauzi berkata: "Ibnu Aqil adalah seorang yang kuat beragama dan menjaga batasan syariat. Dua orang anaknya meninggal dunia dan beliau menunjukkan kesabaran yang mengagumkan. Beliau sangat pemurah, membelanjakan apa yang ada padanya. Beliau tidak meninggalkan apa-apa selain buku-bukunya dan pakaian yang dipakainya. Beliau meninggal pada tahun 513H dan jumlah orang yang hadir pada pengebumiannya tidak terhitung. Guru kami Ibnu Nasir berkata: Saya menganggarkan mereka berjumlah 300,000 orang."

6 - Abu Musa al-Madini berkata: “Abu Bakar Qadhi al-Maristan adalah seorang imam dalam pelbagai bidang. Beliau pernah berkata: Saya telah menghafal Al-Quran ketika saya berumur tujuh tahun. Tiada suatu ilmu melainkan saya telah menelitinya dan saya telah memperoleh kesemuanya atau sebahagiannya, kecuali ilmu Nahu ini, kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan tentangnya. Saya tidak pernah tahu bahawa saya telah membuang satu waktu pun dari umur saya untuk hiburan atau permainan.”

7 - Dalam biografi Ibnu al-Tallayah, al-Sam'ani berkata: “Seorang syeikh hebat yang telah menghabiskan umurnya dalam ibadah, solat dan berpuasa. Mungkin beliau tidak menggunakan satu waktu pun dari umurnya melainkan untuk ibadah. Beliau sudah membongkok sehingga tidak dapat dibezakan antara berdirinya dengan rukuknya kecuali sedikit. Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran. Beliau tidak menerima apa-apa dari sesiapa dan beliau mempunyai memiliki rezeki yang mencukupi yang beliau merasa puas dengannya.”

8 - Al-Qasim bin al-Hafiz Ibnu ‘Asakir berkata: “Ayah saya sentiasa menjaga solat berjemaah dan membaca al-Quran. Beliau mengkhatamkan al-Quran setiap Jumaat dan mengkhatamkannya setiap hari di bulan Ramadan. Beliau beriktikaf di Menara Timur (Masjid Umawi) dan beliau banyak melakukan solat sunat dan zikir. Beliau menghidupkan malam nisfu Syaaban dan dua hari raya dengan solat dan tasbih. Beliau sentiasa menghisab dirinya atas setiap detik yang berlalu tanpa melakukan ketaatan.

Beliau pernah berkata kepada saya: Ketika ibu saya mengandungkan saya, dia melihat dalam mimpinya seseorang berkata: Kamu akan melahirkan seorang anak lelaki yang akan mempunyai kedudukan dan beliau memberitahu saya bahawa ayahnya melihat mimpi yang bermaksud akan dilahirkan kepada kamu seorang anak yang Allah akan menghidupkan Sunnah dengannya.”

9 - Imam al-Zahabi berkata dalam biografi Imam al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi: “Beliau tidak mensia-siakan sedikit pun dari masanya tanpa faedah, kerana beliau solat Subuh, mengajar al-Quran dan kadang-kadang mengajar beberapa buah hadis, kemudian beliau bangun, berwuduk dan solat 300 rakaat dengan membaca Surah al-Fatihah dan al-Mu'awwidzatain sehingga sebelum Zohor.

Beliau tidur sebentar kemudian solat Zohor dan sibuk sama ada dengan memperdengarkan (hadis) atau menulis sehingga Maghrib. Jika beliau berpuasa, beliau berbuka dan jika tidak, beliau solat (sunat) dari Maghrib hingga Isyak dan solat Isyak.

Beliau tidur hingga tengah malam atau selepasnya, kemudian bangun seolah-olah ada seseorang yang membangunkannya, lalu beliau solat sebentar kemudian berwuduk dan solat lagi hingga hampir Subuh. Kadang-kadang beliau berwuduk tujuh atau lapan kali pada waktu malam dan beliau berkata: Solat tidak terasa nikmat bagi saya kecuali selagi anggota badan saya basah (dengan air wuduk). Kemudian beliau tidur sebentar hingga Subuh. Inilah kebiasaannya.”

Mahmud bin Salamah al-Tajir al-Harrani berkata: “Al-Hafiz Abdul Ghani tinggal bersama saya di Asbahan dan dia tidak tidur pada waktu malam kecuali sedikit, bahkan dia solat, membaca dan menangis.

Nasr bin Radwan al-Muqri' berkata: “Saya tidak pernah melihat sesiapa pun yang mengikuti jalan hidup al-Hafiz (Abdul Ghani al-Maqdisi), beliau sentiasa sibuk sepanjang masanya.”

10 - Al-Sarri bin al-Mughallis berkata: "Aku terlepas sebahagian daripada wirid harianku dan aku tidak dapat menggantinya - iaitu kerana seluruh waktunya telah terisi."

11 - Al-Husain bin Muhammad al-Samarqandi berkata: "Muhammad bin Ismail Al-Bukhari mempunyai tiga sifat khusus selain daripada sifat-sifat terpuji lain yang ada padanya: Beliau sedikit bercakap, beliau tidak tamak dengan apa yang ada pada orang lain dan beliau tidak sibuk dengan urusan orang lain, semua kesibukannya adalah untuk ilmu."

12 - Ibnu al-Abnusi berkata: "Al-Hafiz al-Khatib (al-Baghdadi) berjalan sambil memegang juzuk (kitab) di tangannya untuk dibacanya."

13 - Yahya bin al-Qasim, pengajar di Madrasah Nizamiyah, berkata tentang guru-gurunya: "Ibnu Sukainah adalah seorang alim yang mengamalkan ilmunya, sentiasa mengulang-ulang kitab al-Tanbih dalam bidang fiqh, banyak mendalami kitab al-Muhazzab dan al-Wasit. Beliau tidak mensia-siakan sedikit pun daripada waktunya. Apabila kami masuk menemuinya, beliau berkata: Jangan tambah apa-apa selepas ucapan Salam Alaikum kecuali berkaitan permasalahan ilmu, kerana beliau sangat bersungguh-sungguh dalam perbahasan dan penetapan hukum-hakam."

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan