Isnin, 9 Jun 2025

Orang Murtad Dibunuh: Islam Larang Kebebasan Beragama?

Soalan:

Sesetengah pihak mendakwa bahawa Islam telah menghapuskan kebebasan kepercayaan kerana membenarkan pembunuhan orang murtad. Jadi apakah kebenaran tentang perkara ini?

Jawapan Syeikh Dr Ali Juma’ah:

Isu ‘membunuh orang murtad’ dalam pemikiran Barat merupakan masalah besar, kerana mereka menyangka Islam memaksa orang untuk mengikutinya dan mereka mengabaikan perlembagaan umat Islam dalam isu kebebasan kepercayaan yang diwakili oleh firman Allah: "Tidak ada paksaan dalam agama; sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan" (Surah al-Baqarah: 256).

Isu ‘membunuh orang murtad’ boleh dilihat dari dua sudut:

Sudut pertama: Teks syariat secara teori yang menghalalkan darah seorang Muslim jika dia meninggalkan agamanya dan memisahkan diri dari jemaah.

Sudut kedua: Aplikasi perundangan dan pendekatan dalam menangani isu murtad pada zaman Nabi, serta para khalifahnya, semoga Allah meredhai mereka.

Adapun pada zaman Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, beliau tidak membunuh Abdullah bin Ubai, walaupun dia berkata: "Jika kita kembali ke Madinah, yang mulia akan mengusir yang hina (merujuk kepada Nabi) daripada Madinah", dan tidak membunuh Zul-Khuwaisirah al-Tamimi yang berkata kepada baginda: "Berlaku adillah kerana kamu tidak berlaku adil" dan tidak membunuh orang yang berkata kepada baginda: "Mereka berkata kamu melarang kejahatan tetapi engkau sendiri melakukannya" dan tidak membunuh orang yang berkata kepada baginda: "Pembahagian ini tidak diniatkan untuk mencari keredhaan Allah" dan tidak membunuh orang yang berkata kepada baginda ketika baginda memberi keutamaan kepada Zubair dalam pengairan: "Kerana dia anak ibu saudaramu" dan lain-lain yang sampai kepadanya tentang gangguan dan penghinaan daripada mereka terhadap baginda, yang merupakan kata-kata yang pasti menjadikan penuturnya murtad kerana ia adalah tuduhan terhadap Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang termasuk dalam mendustakan kejujuran dan keadilan baginda.

Dalam meninggalkan pembunuhan orang-orang yang telah saya sebutkan dan orang lain selain mereka, terdapat maslahat (kepentingan) yang besar semasa hidup baginda dan masih berterusan selepas kematiannya dalam menyatukan manusia dan tidak menjauhkan mereka daripada baginda kerana jika sampai kepada mereka bahawa baginda membunuh para sahabatnya, mereka akan lari. Baginda telah menyatakan perkara ini secara khusus dan berkata kepada Umar ketika dia mencadangkan untuk membunuh Abdullah bin Ubai: "Jangan sampai orang-orang mengatakan bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.”

Baginda tidak menggunakan apa yang Allah halalkan baginya bagi membalas dendam terhadap orang-orang munafik dan menghukum mereka seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Ahzab, Allah berfirman: "Sesungguhnya jika orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan berita bohong di Madinah tidak berhenti (dari menyakitimu), niscaya Kami akan perintahkan kamu untuk menguasai mereka, kemudian mereka tidak menjadi tetanggamu di Madinah kecuali dalam waktu yang sebentar. Mereka dalam keadaan terlaknat. Di mana sahaja mereka dijumpai, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.”

Begitu juga apa yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah bahawa seorang Arab Badwi telah memberi baiah kepada Rasulullah, kemudian Arab Badwi itu ditimpa demam di Madinah, lalu dia datang kepada Nabi dan berkata: "Wahai Muhammad, batalkan baiah saya," tetapi Rasulullah menolak, kemudian dia datang lagi dan berkata: "Batalkan baiah saya," dan baginda menolak, kemudian dia datang lagi dan berkata: "Batalkan baiah saya," dan baginda tetap menolak, lalu Arab Badwi itu keluar, maka Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Madinah itu seperti relau besi, ia menyingkirkan kotorannya dan memurnikan yang baiknya daripadanya." Baginda tidak membunuhnya, jadi mengapa baginda tidak membunuh semua orang itu yang termasuk dalam firman Tuhan kita: "Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kufur dan telah menjadi kufur selepas Islam mereka." (Surah al-Taubah:74)

Adapun pada zaman para khalifah, khususnya pada zaman Umar al-Faruq, telah diriwayatkan bahawa Anas telah kembali dari Tustar, lalu dia datang kepada Umar. Maka Umar bertanya: "Apa yang berlaku kepada enam orang dari Bani Bakr bin Wa'il yang murtad dari Islam, lalu menyertai orang-orang musyrik?" Anas berkata: “Wahai Amirul Mukminin, mereka adalah kaum yang murtad dari Islam dan menyertai orang-orang musyrik, mereka terbunuh dalam pertempuran.” Maka Umar beristirja' - iaitu mengucapkan: Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Anas berkata: “Adakah jalan lain bagi mereka selain daripada dibunuh? Umar berkata: "Ya, aku akan tawarkan Islam kepada mereka, jika mereka enggan, aku akan masukkan mereka ke dalam penjara."

Maka Umar tidak berpendapat untuk membunuh mereka pada mulanya, walaupun mereka telah murtad dan memerangi orang-orang Islam, tetapi dia berpendapat untuk menyuruh mereka bertaubat terlebih dahulu, jika tidak, mereka dipenjarakan.

Semua peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman pensyariatan telah menjadikan fuqaha Islam memahami persoalan ‘membunuh orang murtad’ bukanlah persoalan yang berkaitan dengan kebebasan akidah dan pemikiran dan tidak berkaitan dengan penindasan. Nas-nas yang keras dalam hal ini tidaklah merujuk kepada tindakan ‘keluar daripada Islam’, sebaliknya merujuk kepada ‘penentangan terhadap Islam’ yang dianggap sebagai satu jenayah terhadap ketenteraman awam negara. Ia juga merupakan satu penentangan terhadap hukum-hakam agama yang dianuti oleh umat dan pada ketika itu dianggap setara dengan jenayah ‘pengkhianatan besar’ yang diharamkan oleh semua syariat, perlembagaan dan undang-undang.

Syeikh Syaltut, bekas Syeikhul Azhar rahimahullah berpendapat bahawa membunuh orang murtad bukanlah satu hukuman hudud. Beliau berkata: "Pandangan dalam persoalan ini mungkin berubah apabila diperhatikan bahawa ramai ulama berpendapat bahawa hukuman hudud tidak dapat ditetapkan dengan hadis ahad dan bahawa kekufuran itu sendiri bukanlah sesuatu yang menghalalkan darah. Sebaliknya, yang menghalalkannya ialah tindakan memerangi kaum Muslimin dan menyerang mereka serta cubaan memesongkan mereka dari agama mereka dan bahawa zahir al-Quran al-Karim dalam banyak ayat menolak paksaan dalam beragama."

Maka membunuh orang murtad bukanlah semata-mata kerana kemurtadan, tetapi kerana melakukan perkara tambahan yang memecah belahkan jemaah muslimin, di mana mereka menggunakan kemurtadan untuk memalingkan orang Islam daripada agama mereka, maka ia adalah peperangan terhadap agama sebagaimana firman Allah Ta'ala: “Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula."

Ini juga disokong oleh apa yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah: "Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pernah menerima taubat sekumpulan orang murtad dan memerintahkan pembunuhan sekumpulan yang lain, yang mencampur kemurtadan mereka dengan perkara-perkara lain yang mengandungi kemudaratan dan kerugian kepada Islam dan orang Islam, seperti perintah baginda untuk membunuh Miqyas bin Hubabah pada hari pembukaan Makkah, ketika dia mencampurkan kemurtadannya dengan pembunuhan orang Islam dan mengambil harta serta dia tidak bertaubat sebelum ditangkap.

Baginda memerintahkan pembunuhan al-Quraniyyin ketika mereka mencampurkan dengan kemurtadan mereka dengan perkara yang serupa dan begitu juga memerintahkan pembunuhan Ibnu Khatal ketika dia mencampurkan kemurtadannya dengan mencaci maki dan membunuh orang Islam dan memerintahkan pembunuhan Ibnu Abi al-Sarh ketika dia mencampurkan kemurtadannya dengan mencela dan memfitnah.”

Daripada apa yang telah disebutkan, jelaslah kepada kita bahawa ‘isu membunuh orang murtad’ tidak dilaksanakan dalam realiti kehidupan dan kewujudannya dalam sumber-sumber pensyariatan bukanlah hukuman terhadap kebebasan pemikiran dan akidah, tetapi ia tertakluk kepada undang-undang pentadbiran.

Allah Ta'ala Maha Tinggi dan lebih mengetahui.

Sumber:

Al-Bayan Li Ma Yashghal al-Azhan oleh Syeikh Dr Ali Juma’ah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan