Sabtu, 7 Jun 2025

Hukum Ziarah Kubur Pada Hari Raya

Soalan:

Hukum ziarah kubur pada hari raya.

Jawapan al-Sayyid Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (m. 1996M):

Sesungguhnya ziarah kubur adalah sunnah qauliyyah (ucapan) dan fi'liyyah (perbuatan) yang diperintahkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan dilakukan oleh baginda. Maka celakalah bagi sesiapa yang mengatakan: Sesungguhnya ziarah kubur itu syirik atau bid'ah!! Sesungguhnya dia menentang Allah dan Rasul-Nya.

Adapun mengkhususkannya pada hari raya, maka tiada apa yang menghalangnya. Sesungguhnya kerana kami merasakan bahawa dalam kegembiraan dan kebahagiaan hari raya, sepatutnya kita tidak melupakan orang-orang (kesayangan) kita yang telah meninggal dunia, maka kita hadiahkan ziarah dan doa untuk mereka, serta menghadiahkan pahala bacaan (al-Quran atau zikir) yang dibacakan kepada mereka supaya kita memasukkan kegembiraan kepada mereka.

Tidak ada halangan dari sudut syarak mahupun akal yang menghalang pengkhususan itu melainkan semata-mata keberanian melampau terhadap Allah dengan mengatakan apa yang tidak Dia katakan, bahkan mengada-adakan terhadap Allah dengan apa yang tidak Dia izinkan. Ini kerana semua ibadat yang umum seperti zikir-zikir, tilawah al-Quran, selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, ziarah kubur dan lain-lain... keizinan untuk melakukannya adalah umum dan tuntutan melakukannya berterusan, tidak terhalang oleh pengkhususan pada sesuatu masa atau tempat.

Sesiapa yang berkata selain daripada itu, maka sesungguhnya dia berkata menurut pendapat dan hawa nafsunya, dan telah menyalahi tujuan syarak dan nasnya. Sungguhnya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam apabila melakukan sesuatu amalan, baginda berterusan melakukannya dan baginda menyukai amalan yang berterusan sama ada secara harian, bulanan, atau tahunan. Penyusunan (amalan) ini menghidupkan sunnah-sunnah ini dan mengingatkan orang yang berakal dan mendorong kepada amalan yang berterusan walaupun sekali setahun. Maka semua itu dianggap sebahagian daripada amalan berterusan yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya sallahu ‘alaihi wasallam.

Sumber:

Fatawa Ramadhan oleh al-Sayyid Abdullah bin Mahfuz al-Haddad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan