Jumaat, 6 Jun 2025

Hadis Tidak Ada Asal: Orang Banyak Selawat Banyak Isterinya Di Syurga

أَكْثَرَكُم عَليّ صَلَاة أَكْثَرَكُم أَزْوَاجًا فِي الْجنَّة

"Orang yang paling banyak berselawat kepadaku di antara kamu adalah orang yang paling banyak isteri di syurga."

Ulasan:

Antara yang terawal menyebutkan hadis ini adalah Ibnu al-Jauzi (m. 597H) dalam kitab Bustan al-Wa’izin, itupun beliau hanya menyebutkannya tanpa sanad dan dengan menggunakan sighah tamridh (رُوِيَ) yang menunjukkan ketidaksahihannya.

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi (m. 902H) dalam al-Qaul al-Badi’, ia disebutkan oleh pengarang kitab al-Durr al-Munazzam tetapi beliau belum menemui sumbernya sehingga sekarang. Pengarang al-Durr al-Munazzam ialah Abu al-Qasim al-Busti (m. 723H).

Apabila seorang ahli hadis bertaraf al-Hafiz berkata bahawa dia tidak menemui sanad bagi sesuatu hadis itu maka sudah memadai untuk dinafikan kewujudan hadis tersebut. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuti (m. 911H) dalam Tadrib al-Rawi:

“Jika seorang al-Hafiz al-Mutthali’ (yang luas telaahnya), al-Naqid (pakar hadis) berkata pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya (yakni dinafikan kewujudan hadis tersebut), sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam (al-Hafiz Ibnu Hajar).”

Oleh itu, hadis ini tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan