1 - Daripada Yazid bin Abi Habib, beliau berkata: “Ketika Abdullah ibn Abi Sarh sedang nazak di Ramlah – beliau telah pergi ke sana untuk lari daripada fitnah – beliau sering bertanya pada waktu malam: Sudah subuhkah?
Mereka menjawab: Belum.
Apabila tiba waktu subuh, beliau berkata: Wahai Hisham, sesungguhnya aku dapat merasakan kesejukan subuh, maka lihatlah.
Kemudian beliau berdoa: Ya Allah, jadikanlah penutup amalanku solat Subuh.
Lalu beliau berwuduk, kemudian solat.
Pada rakaat pertama beliau membaca Ummul Kitab dan surah al-'Adiyat dan pada rakaat yang kedua beliau membaca Ummul Quran dan satu surah. Beliau memberi salam ke kanannya dan ketika hendak memberi salam ke kirinya, rohnya pun diambil. Semoga Allah meredhainya.”
2 - Daripada Ummu Hasyim al-Ta'iyyah, beliau berkata: “Aku melihat Abdullah bin Busr sedang berwuduk, lalu rohnya keluar. Semoga Allah meredhainya.”
3 - Daripada al-Harith al-Ghanawi, beliau berkata: “Rib'i bin Hirash telah bersumpah untuk tidak ketawa sehingga menampakkan giginya sehinggalah beliau mengetahui ke mana kesudahannya.”
Al-Harith berkata: “Maka orang yang memandikan jenazahnya memberitahu bahawa beliau sentiasa tersenyum di atas pembaringannya ketika kami memandikannya, sehinggalah kami selesai. Semoga Allah merahmatinya.”
4 - Al-Mughirah bin Hakim berkata: “Aku berkata kepada Fatimah binti Abdul Malik: Aku pernah mendengar Umar bin Abdul Aziz berkata semasa sakitnya: Ya Allah, sembunyikanlah perihalku daripada mereka walaupun untuk seketika.”
Beliau (Fatimah) berkata: “Aku berkata kepadanya: Mahukah aku keluar meninggalkanmu kerana engkau belum tidur.
Maka aku pun keluar, lalu aku mendengarnya mengulang-ulang bacaan ayat: Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Al-Qasas: 83). Kemudian beliau terdiam.
Aku menunggu lama dan tidak kedengaran sebarang suara daripadanya, maka aku berkata kepada seorang khadam: Pergilah lihat! Apabila dia masuk, dia menjerit. Lalu aku masuk dan mendapati beliau telah meninggal dunia, dalam keadaan wajahnya menghadap ke arah kiblat, dan meletakkan salah satu tangannya pada mulutnya dan yang satu lagi pada matanya.”
5 - Yahya al-Qattan berkata: “Humaid (al-Tawil) meninggal dunia ketika sedang berdiri solat.”
6 - Daripada Khairan bin al-'Ala' – dan beliau adalah antara murid al-Auza'i yang terbaik – beliau berkata: “Al-Auza'i masuk ke dalam bilik mandi dan penjaga bilik mandi itu ada urusan, lalu dia mengunci pintu dan pergi. Kemudian dia datang dan membuka pintu, lalu mendapati al-Auza'i telah meninggal dunia dalam keadaan menghadap kiblat.”
7 - Yunus bin Muhammad al-Mu'addib berkata: “Hammad bin Salamah meninggal dunia ketika sedang solat di dalam masjid.”
8 - Dikatakan: “Sesungguhnya Zakaria bin 'Adi ketika sedang nazak, beliau berkata: Ya Allah, sesungguhnya aku rindu kepada-Mu.”
9 - As-Siraj berkata: “Aku mendengar Khalaf bin Salim berkata selepas Ibnu Nasr dibunuh dan dikatakan kepadanya: Tidakkah engkau mendengar apa yang diperkatakan orang ramai bahawa kepala Ahmad bin Nasr bercakap?!! Lalu beliau menjawab: Dahulu kepala (Nabi) Yahya juga bercakap."
Ja'far bin Muhammad al-Sa'igh berkata: "Aku melihat Ahmad bin Nasr ketika beliau dibunuh, kepalanya berkata: La ilaha illa Allah."
Dan dikatakan: Beliau dilihat dalam mimpi, lalu ditanya: "Apa yang Allah telah lakukan kepadamu?" Beliau menjawab: (Kematian itu) tidak lain hanyalah tidur sejenak sehinggalah aku bertemu Allah, lalu Dia reda kepadaku.
Dan dikatakan: Bahawa beliau berkata: "Aku marah kerana-Nya, maka Dia membenarkan aku untuk melihat zat-Nya."
11 - Dihikayatkan daripada al-'Imad al-Maqdisi bahawa ketika kematian datang kepadanya, beliau mula berkata: "Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berdiri Sendiri, tiada Tuhan melainkan Engkau, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan."
Beliau menghadap kiblat serta mengucap syahadah.
12 - ‘Ali bin Abi Umayyah: “Ketika berlaku peristiwa masuknya kaum Zanj ke Basrah dan pembunuhan yang mereka lakukan di sana, iaitu pada bulan Syawwal tahun ketujuh, kami diberitahu bahawa mereka masuk ke masjid tempat al-Riyashi berada sambil membawa pedang-pedang mereka dan al-Riyashi sedang mendirikan solat Dhuha.
Mereka memukulnya dengan pedang-pedang mereka sambil berkata: Serahkan harta! Maka dia pun berkata: Harta apa? Harta apa? – sehinggalah dia meninggal dunia.
Apabila kaum Zanj keluar dari Basrah, kami pun memasukinya. Kami melewati kawasan Bani Mazin, kaum yang berkerja sebagai penggiling gandum – di situ jugalah tempat tinggal al-Riyashi – lalu kami masuk ke masjidnya. Ternyata jenazahnya masih terbaring menghadap kiblat, seolah-olah wajahnya ditujukan ke arah itu. Ada sehelai kain kecil (pada tubuhnya) yang ditiup angin dan telah koyak. Tubuhnya masih sempurna dan elok. Perutnya tidak terbelah dan keadaannya tidak berubah, melainkan kulitnya yang melekat pada tulangnya dan telah kering. Itu berlaku dua tahun selepas kematiannya. Semoga Allah merahmatinya.”
12 – Abu Bakar al-‘Atawi berkata: “Aku berada di sisi al-Junaid ketika beliau dalam keadaan nazak. Beliau mengkhatamkan al-Qur’an, kemudian memulakan surah al-Baqarah, membaca sebanyak tujuh puluh ayat, lalu meninggal dunia.”
13 - Muhammad bin Abi Hatim berkata: "Aku mendengar Abu Mansur Ghalib bin Jibril, iaitu orang yang ditumpangi oleh Abu Abdullah al-Bukhari, berkata: Beliau (al-Bukhari) tinggal bersama kami selama beberapa hari, lalu beliau jatuh sakit dan sakitnya bertambah parah sehinggalah seorang utusan dihantar ke kota Samarqand untuk membawa Muhammad (al-Bukhari) keluar.
Maka apabila utusan itu tiba, beliau pun bersiap sedia untuk menunggang, lalu memakai khuf dan serbannya. Setelah beliau berjalan kira-kira dua puluh langkah atau seumpamanya – sedang aku memegang lengannya dan seorang lelaki lain bersamaku memimpinnya ke arah haiwan tunggangan untuk dinaikinya – beliau berkata: Lepaskan aku, sesungguhnya aku sudah lemah. Lalu beliau berdoa dengan beberapa doa, kemudian berbaring, lalu wafat. Maka mengalirlah peluh daripadanya sesuatu yang tidak dapat digambarkan. Peluh itu tidak berhenti mengalir sehinggalah kami meletakkan beliau di dalam kain kafannya.
Antara pesanan dan wasiat beliau kepada kami ialah: Kafankanlah aku dengan tiga helai kain putih, tanpa qamis mahupun serban. Maka kami pun melakukannya.
Apabila kami mengebumikannya, terpancarlah dari tanah kuburnya bau haruman yang lebih wangi daripada kasturi. Keadaan itu berterusan selama beberapa hari.
Kemudian, kelihatan tiang-tiang putih yang memanjang naik tinggi di langit, sejajar dengan kuburnya. Orang ramai pun mula datang berulang-alik dan merasa takjub. Adapun tanahnya, orang ramai terus mengambilnya sehingga menampakkan kuburnya. Kami tidak mampu mengawal kubur itu dengan pengawal dan kami tidak berdaya lagi. Maka, kami memasang binaan kayu berjejaring di atas kubur itu, yang menyebabkan tiada sesiapa pun dapat mencapainya. Maka mereka hanya mengambil tanah di sekeliling kubur dan tidak dapat sampai kepada kubur itu sendiri.
Adapun bau wangi itu, ia kekal selama berhari-hari lamanya, sehinggakan penduduk negeri itu memperkatakannya dan merasa takjub akannya. Terbuktilah kebenaran beliau di sisi para penentangnya selepas kewafatannya. Sebahagian daripada penentangnya datang ke kubur beliau dan menzahirkan taubat serta penyesalan atas apa yang telah mereka lakukan padanya disebabkan fahaman mereka yang tercela itu."
14 - Abu Bakar bin Ziyad berkata: "Aku bertemu dengan Ibrahim bin Hani' ketika kematiannya. Beliau berkata: Aku dahaga. Maka anaknya datang membawa air. Beliau bertanya: Adakah matahari telah terbenam? Anaknya menjawab: Belum. Lalu beliau menolaknya dan berkata: Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia). (Al-Saffat: 61). Kemudian beliau meninggal dunia."
15 - Abu al-Syaikh berkata: "Abu Ja'far al-Khayyat menceritakan kepada kami, katanya: Aku menghadiri (saat) kematian Abdullah bin Ja'far dan kami sedang duduk di sisinya. Lalu beliau berkata: Ini malaikat maut telah datang. Beliau lalu berkata dalam bahasa Parsi: Cabutlah rohku sebagaimana Engkau mencabut roh seorang lelaki yang selama sembilan puluh tahun berkata: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya."
16 - Ibnu al-Fadhl al-Qattan berkata: "Aku bertemu dengan al-Naqqasy ketika beliau sedang nazak pada 3 Syawal tahun 351 Hijrah. Lalu beliau menyeru dengan suaranya yang paling kuat: Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia). (Al-Saffat: 61). Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian rohnya pun keluar, semoga Allah merahmatinya."
17 - Bisyr bin al-Mughaffali berkata: "Perkataan terakhir yang diucapkan oleh ayahku - sambil beliau memegang janggutnya dan mengangkat tangan kanannya ke langit - ialah: Kasihanilah seorang tua yang datang kepada-Mu dengan taufik-Mu di atas fitrah."
18 – Nasrullah al-Masisi menceritakan daripada gurunya, al-Faqih Nasr, bahawa sejurus sebelum kewafatannya, dia mendengar gurunya berkata: "Wahai tuanku (mungkin merujuk kepada malaikat maut), berilah aku masa! Aku diperintah dan kamu juga diperintah.
Kemudian aku (Nasrullah al-Masisi) terdengar muazin melaungkan azan Asar, lalu aku berkata: Wahai tuanku, muazin sedang azan!
Beliau berkata: Dudukkan aku.
Maka aku pun mendudukkannya. Lalu beliau mengangkat takbir untuk solat, meletakkan sebelah tangannya di atas tangan yang satu lagi dan bersolat. Kemudian beliau wafat pada saat itu juga. Semoga Allah merahmatinya.”
19 - Ibnu al-Najjar berkata: “Aku mendengar Ibn Sukainah berkata: Aku hadir ketika Isma'il bin Abi Sa'd al-Naisaburi sedang nazak, lalu ibuku bertanya kepadanya: Wahai tuanku, apa yang tuan rasakan?
Beliau tidak mampu untuk berkata-kata, lalu dia menulis di atas tangan ibuku: Maka dia akan beroleh kerehatan, dan kesenangan, serta syurga yang penuh kenikmatan. (Al-Waqi’ah: 89)
Kemudian beliau meninggal dunia.”
20 - Abu Shamah berkata: Telah memberitahuku orang yang hadir bersamanya – iaitu Fakhruddin bin ‘Asakir – bahawa dia berkata: “Beliau (Fakhruddin bin ‘Asakir) telah solat Zohor dan berterusan bertanya tentang waktu Asar. Lalu beliau berwuduk kemudian mengucapkan syahadah sambil duduk dan berkata: Aku reda Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Nabi. Semoga Allah mengajarkan aku hujjahku, mengampunkan ketergelinciranku dan merahmati ketelanjuranku.
Kemudian beliau berkata: Wa ‘alaikumussalam.
Maka kami pun tahu bahawa para malaikat telah hadir, kemudian beliau rebah meninggal dunia.”
21 - Abu Ja’far Muhammad bin Ali, jurutulis kepada Abu Zur’ah, berkata: Kami berada di sisi Abu Zur’ah di Mashahran (Iran) ketika beliau sedang nazak. Bersamanya ketika itu ialah Abu Hatim, Ibnu Warah, al-Munzir bin Shazan dan lain-lain.
Mereka teringat akan hadis tentang talkin: “Ajarilah orang yang sedang nazak dalam kalangan kamu: La ilaha illallah.” Namun, mereka berasa segan terhadap Abu Zur’ah untuk mentalkinkannya. Lalu mereka berkata: “Marilah kita muzakarah tentang hadis.”
Maka Ibnu Warah pun memulakan: “Telah menceritakan kepada kami Abu ‘Asim, telah menceritakan kepada kami Abdul Hamid bin Ja’far, daripada Salih…”, lalu beliau menyebut, “Ibn Abi…”, namun tidak dapat meneruskannya.
Abu Hatim pula berkata: “Telah menceritakan kepada kami Bundar, telah menceritakan kepada kami Abu ‘Asim, daripada ‘Abd al-Hamid bin Ja’far daripada Salih…”, dan beliau juga tidak meneruskannya. Manakala yang lain hanya diam.
Lalu Abu Zur’ah, yang ketika itu sedang nazak, berkata: “Telah menceritakan kepada kami Bundar, telah menceritakan kepada kami Abu ‘Asim, telah menceritakan kepada kami Abdul Hamid, daripada Salih bin Abi ‘Arib, daripada Kathir bin Murrah, daripada Mu’az bin Jabal, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang akhir kalamnya adalah: La ilaha illallah, dia akan masuk syurga.”
Sejurus itu, beliau pun meninggal dunia, semoga Allah merahmatinya.
22 - Anak kepada Ibnu al-Sunni (pengarang kitab Amal al-Yaum wa al-Lailah) yang bernama ‘Ali berkata: “Bapaku sedang menulis hadis, kemudian beliau meletakkan pena beliau pada botol dakwat lalu mengangkat tangannya berdoa kepada Allah dan beliau pun meninggal dunia.”
Anaknya ditanya tentang tarikh peristiwa kematian bapanya, maka beliau menjawab : “Pada akhir tahun 364 Hijrah.”
23 – Saudara Imam al-Ghazali bernama Ahmad menceritakan: “Pada waktu subuh hari Isnin, saudaraku, Abu Hamid berwuduk dan solat. Beliau berkata: Bawakan aku kain kafan. Lalu beliau mengambilnya, menciumnya, dan meletakkannya di atas matanya, sambil berkata: Aku dengar dan aku taat untuk menghadap Sang Raja. Kemudian, beliau meluruskan kakinya, menghadap kiblat dan wafat sebelum fajar menyingsing.”
Sumber:
- Al-Thabat ‘Inda al-Mamat oleh Imam Ibnu al-Jauzi.
- Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan