Telah diriwayatkan daripada Imam al-Syafi'i kata-kata yang zahirnya mencela tasawuf.
Al-Baihaqi
meriwayatkan dalam kitabnya Manaqib al-Syafi'i, dengan sanadnya daripada
Imam al-Syafi'i, beliau berkata:
"Sekiranya
seorang lelaki itu bertasawuf pada permulaan siang, tidak akan datang kepadanya
waktu Zohor melainkan engkau akan mendapatinya seorang yang bodoh."
Al-Baihaqi juga
meriwayatkan dengan sanadnya kepada Imam al-Syafi'i, beliau berkata:
"Aku tidak pernah
melihat seorang sufi yang berakal sama sekali melainkan Muslim
al-Khawwas."
Al-Baihaqi
Menjelaskan Maksud Sebenar Imam al-Syafi’i
Al-Baihaqi berkata selepas
meriwayatkannya: "Sesungguhnya beliau (al-Syafi'i) bermaksud orang yang
masuk ke dalam golongan sufi dan berpada dengan nama tanpa makna, dan dengan
rupa bentuk tanpa hakikat, dan duduk daripada bekerja (tidak berusaha mencari
rezeki), dan meletakkan beban tanggungannya ke atas kaum Muslimin, dan tidak
mempedulikan mereka, dan tidak menjaga hak-hak mereka, dan tidak menyibukkan
diri dengan ilmu mahupun ibadat sebagaimana yang disifatkannya di tempat yang
lain.”
Imam al-Syafi'i
berkata: Seorang sufi tidak menjadi sufi sehinggalah ada padanya empat sifat:
pemalas, kuat makan, kuat tidur, dan banyak menyibuk (fudul)."
Imam al-Baihaqi
berkata: "Sesungguhnya beliau bermaksud dengan (kata-kata) itu adalah
celaan terhadap mereka yang bersifat dengan sifat ini, [bukan mereka yang] suci
(jiwanya) dalam (jalan) tasawuf dengan benar-benar bertawakal kepada Allah
'Azza wa Jalla, dan mengamalkan adab-adab syariah dalam muamalahnya dengan
Allah 'Azza wa Jalla dalam ibadat, dan muamalahnya dengan manusia dalam
pergaulan. Sesungguhnya telah diriwayatkan daripadanya bahawa beliau bergaul
dengan mereka dan mengambil ilmu daripada mereka... Dan beliau berkata: Aku
bersahabat dengan golongan sufi selama sepuluh tahun..."
Al-Baihaqi berkata:
"Telah sampai kepadaku (khabar) bahawa beliau melihat daripada sebahagian
mereka yang menamakan diri dengan nama sufi perkara yang dibencinya, maka
keluarlah kata-katanya itu dalam mencela orang-orang yang seumpamanya."
Imam al-Syafi’i Memuji
Ahli Sufi
Ibn al-Qayyim dalam Madarij
al-Salikin menyebutkan:
“Al-Syafi'i radhiyallahu
'anhu berkata: Aku bersahabat dengan golongan sufi, maka aku tidak mendapat
manfaat daripada mereka melainkan dengan dua kalimah, aku mendengar mereka
berkata: ‘Masa adalah pedang, jika engkau tidak memotongnya, nescaya ia akan
memotongmu’, dan 'Nafsu, jika engkau tidak menyibukkannya dengan kebenaran,
nescaya ia akan menyibukkanmu dengan kebatilan'."
Ibn al-Qayyim berkata:
"Alangkah hebatnya dua kalimah itu, betapa besar manfaatnya dan betapa
padat maknanya, serta betapa ia menunjukkan kepada tingginya cita-cita
pengucapnya dan kewaspadaannya. Memadailah dalam hal ini pujian al-Syafi'i ke
atas satu golongan yang mana inilah kadar (nilai) kata-kata mereka."
Al-Suyuti berkata dalam
Ta'yid al-Haqiqah al-'Aliyyah:
“Imam al-Syafi'i rahimahullah
Taala berkata: "Aku bersahabat dengan golongan sufi, maka aku tidak
mendapat faedah daripada mereka kecuali dua huruf, dan dalam satu riwayat,
kecuali tiga kalimah: Kata-kata mereka: 'Masa adalah pedang, jika engkau tidak
memotongnya, nescaya ia akan memotongmu', dan kata-kata mereka: 'Nafsu kamu,
jika engkau tidak menyibukkannya dengan kebenaran, nescaya ia akan
menyibukkanmu dengan kebatilan', dan kata-kata mereka: 'Ketiadaan (harta/dunia)
adalah pelindung (daripada maksiat/kelalaian)'."
Dalam Kasyf
al-Khafa' wa Muzil al-Ilbas oleh al-'Ajluni: “Al-Syafi'i berkata: Dijadikan
aku mencintai tiga perkara daripada dunia kamu: Meninggalkan takalluf (memberat-beratkan
diri), bergaul dengan makhluk dengan lemah lembut, dan menuruti jalan ahli
tasawuf."
Sumber:
Masail Fi
al-Tasawwuf - Abdul Fatah bin
Soleh al-Yafi'i.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan