Definisi Tasawuf
Menurut Ahli Sunnah
Ilmu Tasawuf di sisi Ahli Sunnah ialah:
1 - Ilmu yang dengannya diketahui akan keelokan hati dan
seluruh pancaindera.
2 - Mengkhususkan hati untuk Allah Taala dan berpaling
daripada apa yang selain-Nya.
3 - Mengosongkan diri daripada akhlak yang tercela dan
menghiasi diri dengan akhlak yang terpuji.
Takrif-takrif ini serta yang lainnya, kesemuanya berkisar
pada satu makna.
Maksudnya adalah menyelidiki tentang apa yang Allah bukakan
ke atas hati berupa pengetahuan-pengetahuan (makrifat) dan keadaan-keadaan
(ahwal) yang menjadikan iman lebih kukuh dan keyakinan lebih teguh, sehinggalah
seorang mukmin itu menyembah Tuhannya seolah-olah dia melihat-Nya, atau
sekurang-kurangnya dia merasakan pemerhatian Allah terhadapnya dan
pengetahuan-Nya atas segala keadaannya.
Tasawuf Tidak
Keluar Daripada Ajaran al-Quran dan Sunnah
Takrif ini, sebagaimana yang boleh dilihat, tidak keluar
daripada lingkungan al-Quran dan Sunnah, bahkan ia adalah sebahagian daripada
apa yang terkandung di dalam kedua-duanya.
Firman Allah Taala:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ
ءَامَنُوٓاْ إِن تَتَّقُواْ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada
Allah, nescaya Dia akan mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara
yang benar dengan yang salah.”
Iaitu: cahaya di dalam hati yang dengannya dapat dibezakan
antara yang hak dan yang batil. (lihat Tafsir Ibn Juzayy).
Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
ذَاقَ طَعْمَ الْإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللهِ
رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا
“Telah merasai kelazatan iman, sesiapa yang reda Allah
sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Rasul.”
Diriwayatkan oleh Muslim (34) dan selainnya.
Penyelewengan
Dinisbahkan kepada Tasawuf
Adapun apa yang menyalahi al-Quran dan Sunnah, maka ia
ditolak walau siapa pun yang mengatakannya. Sesungguhnya sebahagian manusia
telah membuat-buat dusta ke atas kaum Sufi, dan sebahagian orang-orang jahil
telah menisbahkan diri mereka kepada mereka. Sesiapa yang mencari kebenaran,
dia akan menemuinya, insya-Allah.
Pandangan Ulama
yang Benar: Tasawuf Mengikuti Manhaj Salaf
Adapun orang-orang yang benar lagi ahli ilmu, maka mereka
memandang Tasawuf sebagai mengikuti manhaj Salaf dan berakhlak dengan akhlak
mereka. Antara akhlak mereka ialah:
1 - Mencontohi Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam dan para Sahabatnya yang mulia kerana
sesungguhnya akhlak baginda sallahu
‘alaihi wasallam adalah sebaik-baik dan seafdal-afdal akhlak.
Firman Allah Taala:
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ
خُلُقٍ عَظِيمٍ
“Bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”
Para Sahabat yang mulia adalah murid-muridnya, mereka
dididik di bawah didikan baginda. Tidak tersembunyi kelebihan mereka bagi orang
yang insaf. Sesungguhnya Allah Taala telah berfirman tentang mereka:
أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلْكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيْنَهُمْۖ تَرَىٰهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنًاۖ سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ ٱلسُّجُودِۚ
“Mereka bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya. Tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.”
Telah dipelihara sirah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan sirah para sahabatnya untuk
menjadi contoh bagi akhlak yang mulia dan perjalanan hidup yang terpuji.
2 - Al-Hilm: iaitu sabar dan menanggung kesukaran
dalam mentaati Allah Taala dan beribadah kepada-Nya, merangkumi (menuntut)
ilmu, beramal, berjihad, dan menentang hawa nafsu dan syaitan, berserta memiliki
kewibawaan dan tidak bertindak melulu atas sebarang sebab.
3 - Berpegang teguh pada kebenaran: Kebenaran itu adalah apa
yang ditunjukkan oleh Kitab Allah atau Sunnah Nabi-Nya sallahu ‘alaihi wasallam.
Firman Allah Taala:
وَقُلِ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْۖ
“Dan katakanlah: Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan
kamu.”
Dan firman Allah Taala:
ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْمُمْتَرِينَ
“Kebeneran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu jangan
sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.”
Dan firman Allah Taala:
وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا
نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُواْۚ
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasul kepada kamu
maka terimalah ia, dan apa jua yang dilarangnya kamu maka jauhilah ia.”
Maka apa yang diperoleh oleh kaum Salaf berupa kebaikan di
dunia dan akhirat adalah disebabkan oleh pegangan mereka kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
Apa yang menimpa kaum Khalaf (generasi terkemudian) berupa
keburukan-keburukan, maka puncanya adalah bidaah-bidaah yang muncul dan
diikuti.
Firman Allah Taala:
وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن
ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًا
“Dan janganlah engkau menurut orang yang Kami telah lalaikan
hatinya daripada mengingati Kami, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah
lakunya pula adalah melampaui batas.”
Maka sesiapa yang menghendaki kebaikan, hendaklah dia
berpegang dengan manhaj Salafus Soleh dalam ikutan mereka akan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
Sumber:
Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Syarh Jauharah Al-Tauhid –
Syeikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudhah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan