Dalil al-Quran tentang Ketetapan Ajal
Firman Allah Taala:
فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَـْٔخِرُونَ
سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
“Maka apabila sampai tempohnya, tidak dapat mereka
melambatkannya sesaat pun, dan tidak dapat mereka mempercepatkannya.”
Dan firman Allah Taala:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَآءَ
أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan),
maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaat pun,
dan tidak dapat mereka mempercepatkannya.”
Hadis tentang Penentuan Ajal dan Rezeki dalam Kandungan
Dan Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَّلَ بِالرَّحِمِ مَلَكًا يَقُولُ: يَا رَبِّ نُطْفَةٌ، يَا رَبِّ عَلَقَةٌ، يَا رَبِّ مُضْغَةٌ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَقْضِيَ خَلْقَهُ قَالَ: يَا رَبِّ، أَذَكَرٌ أَمْ أُنْثَىٰ؟ أَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ؟ فَمَا الرِّزْقُ؟ وَمَا الْأَجَلُ؟ فَيُكْتَبُ كَذَٰلِكَ فِي بَطْنِ أُمِّهِ
"Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah mewakilkan seorang malaikat pada rahim yang berkata: Wahai Tuhanku, setitis mani. Wahai Tuhanku, segumpal darah. Wahai Tuhanku, segumpal daging.
Maka apabila Allah hendak menetapkan penciptaannya, malaikat
itu berkata: Wahai Tuhanku, lelaki atau perempuan? Celaka atau bahagia? Maka
apakah rezekinya? Apakah ajalnya?
Maka dituliskanlah semua itu di dalam perut ibunya."
Diriwayatkan oleh al-Bukhari (318) dan Muslim (2646).
Ini menunjukkan bahawa bagi setiap manusia ada ajal yang
tidak dapat dipercepatkan dan tidak dapat dilambatkan, dan umur yang tidak
bertambah dan tidak berkurang.
Dua Persoalan Berkaitan Ajal yang Telah Ditentukan
Di sini timbul dua persoalan:
1 - Jika umur telah ditentukan, maka mengapa pembunuh
berdosa dan dihukum?
2 - Jika umur telah ditentukan, maka apakah maksud apa yang
telah diriwayatkan bahawa silaturahim (menyambung hubungan kekeluargaan)
menambah umur?
Jawapan Persoalan Pertama: Mengapa Pembunuh Tetap Berdosa?
Jawapan bagi persoalan pertama memerlukan kita untuk
mengingatkan kembali tentang persoalan al-Kasb (usaha ikhtiar).
Seorang hamba akan dihisab atas pilihannya dan bukan atas
qada dan qadar. Allah Taala mengetahui sesuatu sebelum ia berlaku dan ia pasti
akan berlaku seperti yang Dia ketahui. Allah Taala adalah pencipta segala
perbuatan hamba.
Di sini kita katakan: Sesungguhnya pembunuh itu tidak
mengetahui tentang ajal yang telah Allah Taala tetapkan untuk orang yang
dibunuh, dan dia tidak membunuhnya kerana dia tahu ajalnya telah tamat.
Maka ajal-ajal itu tidak ada yang mengetahuinya melainkan
Allah Taala. Sebaliknya, dia memilih untuk membunuhnya kerana sesuatu hajat
dalam dirinya, sama ada yang dibenarkan syarak seperti pembunuhan qisas, atau
yang tidak dibenarkan syarak seperti membunuh untuk merampas hartanya.
Inilah paksi kepada taklif (pembebanan syariat) dan hisab
(perhitungan). Oleh itu, Baginda sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا
فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ
"Apabila bertemu dua orang Muslim dengan pedang
masing-masing, maka si pembunuh dan si mati (yang dibunuh) kedua-duanya di
dalam neraka."
Mereka (sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah, itu si
pembunuh, bagaimana pula dengan si mati?
Baginda bersabda:
إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ
"Sesungguhnya dia (si mati) juga berhasrat untuk
membunuh temannya."
Diriwayatkan oleh al-Bukhari (31) dan Muslim (2888).
Jadi, umur itu telah ditentukan dan pembunuh yang zalim itu
berdosa kerana pilihannya untuk membunuh.
Jawapan Persoalan Kedua: Maksud Silaturahim Memanjangkan Umur
Adapun persoalan kedua, ia merujuk kepada hadis:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ،
وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
"Sesiapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan
dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim."
Muttafaq 'alaih, diriwayatkan oleh al-Bukhari (1961)
dan Muslim (2557).
Dua Makna “Dipanjangkan Umur” Menurut Ulama
Ini juga dijawab seumpama jawapan mengenai faedah berdoa.
Maka kita katakan: Sesungguhnya silaturahim adalah sebab kepada panjang umur,
sebagaimana makanan, minuman, dan ubat-ubatan adalah sebab-sebab untuk
kelangsungan hidup.
Allah Taala adalah pencipta sebab dan musabab (akibat
daripada sebab). Maka apabila Dia menghendaki kelangsungan hidup seorang
hamba-Nya, Dia akan mengilhamkannya untuk makan, minum, dan berubat.
Apabila Dia menghendaki untuk memanjangkan umur seorang
hamba lebih daripada rakan sebayanya, Dia akan mengilhamkannya untuk menyambung
silaturahimnya.
Maksud hadis ini adalah galakan untuk menyambung
silaturahim.
Para ulama berkata: Mungkin maksud pertambahan umur itu
adalah keberkatan padanya, sehingga dia dapat melakukan amalan-amalan yang
bermanfaat di dunia dan akhirat lebih banyak daripada apa yang dilakukan oleh
mereka yang hidup dalam tempoh yang sama.
Sumber:
Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Syarh Jauharah Al-Tauhid –
Syeikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudhah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan