Ahad, 23 November 2025

Adakah Iman Bertambah dan Berkurang?

Iman adalah pembenaran yang putus (tidak ragu-ragu) terhadap segala sesuatu yang masyhur di kalangan umat Islam bahawa Rasulullah Muhammad sallallahu alaihi wa alihi wasallam telah datang membawanya.

Maka, adakah iman ini bertambah dan berkurang? Para ulama mempunyai beberapa pendapat mengenai hal ini:

1 - Majoriti ulama Asya'irah berpendapat bahawa iman itu bertambah dengan sebab bertambahnya ketaatan dan berkurang dengan sebab berkurangnya ketaatan. Ketaatan itu ialah melakukan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang.

2 - Abu Hanifah rahimahullah serta para ulama yang sependapat dengannya berpendapat bahawa iman tidak bertambah dan tidak berkurang.

3 - Sebahagian ulama berkata: Iman itu bertambah dan tidak berkurang.

4 – Ulama yang lain berkata: Sesungguhnya perselisihan ini hanyalah pada lafaz (lafzi).

Dalil-dalil:

A - Golongan yang berpendapat bahawa iman itu bertambah dan berkurang berdalilkan dengan perkara-perkara berikut:

1 - Firman Allah Taala:

وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَٰنًا

“Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan iman mereka bertambah.”

Ayat ini telah menyatakan dengan jelas tentang pertambahan iman disebabkan mendengar al-Quran al-Karim, dan ia adalah antara ketaatan yang paling agung.

Seumpama ayat ini ialah firman Allah Taala:

لِيَزْدَادُوٓاْ إِيمَٰنًا مَّعَ إِيمَٰنِهِمْ

“Supaya iman mereka bertambah, berserta dengan iman yang sedia ada pada mereka.”

Dan firman-Nya Taala:

وَيَزْدَادَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِيمَٰنًا

“Dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya.”

Dan firman-Nya Azza wa Jalla:

 فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَزَادَتْهُمْ إِيمَٰنًا

“Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka.”

Dan firman-Nya Taala:

وَمَا زَادَهُمْ إِلَّآ إِيمَٰنًا وَتَسْلِيمًا

“Dan ia tidak menambahkan mereka melainkan iman dan penyerahan diri.”

Kesemua ayat ini menyatakan dengan jelas tentang pertambahan iman, dan sesuatu yang boleh menerima pertambahan, maka ia juga boleh menerima pengurangan.

2 - Sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ketika ditanya siapakah orang mukmin yang paling sempurna imannya:

رَجُلٌ يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، وَرَجُلٌ يَعْبُدُ اللَّهَ فِي شِعْبٍ مِنَ الشِّعَابِ قَدْ كَفَى النَّاسَ شَرَّهُ

"Seorang lelaki yang berjihad di jalan Allah dengan jiwa dan hartanya, dan seorang lelaki yang beribadah kepada Allah di salah satu lembah (tempat terpencil) dan telah menghindarkan manusia daripada kejahatannya."

Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, dan Abu Daud.

Dan sabda Baginda:

يَدْخُلُ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ، وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ، ثُمَّ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ...

"Ahli syurga akan masuk ke dalam syurga dan ahli neraka akan masuk ke dalam neraka, kemudian Allah Taala berfirman: Keluarkanlah dari neraka sesiapa yang di dalam hatinya terdapat iman seberat biji sawi..."

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Kedua-dua hadis ini menunjukkan perbezaan iman orang-orang yang beriman.

3 - Umar bin al-Khattab radiallahuanhu berkata:

لَوْ وُزِنَ إِيمَانُ أَبِي بَكْرٍ بِإِيمَانِ أَهْلِ الْأَرْضِ لَرَجَحَ بِهِمْ

"Sekiranya iman Abu Bakar ditimbang dengan iman seluruh penduduk bumi, nescaya iman Abu Bakar lebih berat." Lihat Fadhail al-Sahabah oleh Imam Ahmad.

4 - Imam al-Bukhari berkata: "Aku telah bertemu lebih daripada seribu orang ulama di pelbagai negeri, maka aku tidak melihat seorang pun daripada mereka yang berselisih pendapat bahawa iman itu adalah perkataan dan perbuatan, serta ia bertambah dan berkurang."

Pendapat para Salaf adalah hujah dalam perkara ini.

5 - Kalaulah hakikat iman itu tidak berbeza-beza, nescaya iman orang-orang mukmin secara umum, bahkan orang-orang fasik di kalangan mereka, adalah sama dengan iman para Nabi dan Malaikat alaihimus solatu wassalam. Ini adalah suatu kebatilan yang tidak dikatakan oleh sesiapapun. Maka ini menunjukkan perbezaan (tahap) iman.

B - Adapun para penganut mazhab kedua yang mengatakan bahawa iman tidak bertambah dan tidak berkurang, maka mereka berhujah dengan akal dan berkata: Iman adalah pembenaran yang putus yang telah sampai ke tahap kepatuhan dan penerimaan, dan manusia itu sama ada membenarkan atau tidak membenarkan. Oleh itu iman tidak menerima pertambahan dan pengurangan.

Adapun firman Allah Taala:

وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَٰنًا

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan iman mereka bertambah.”

Maka yang dimaksudkan ialah: bertambah apa yang mereka imani, iaitu ayat-ayat baru yang turun, maka pertambahan di sini adalah disebabkan pertambahan apa yang mereka imani daripada ayat-ayat Allah Taala.

C - Adapun mereka yang berkata: Iman bertambah dan tidak berkurang, maka hujah mereka ialah bahawa iman itu: perkataan, iaitu pengucapan dua kalimah syahadah, dan ini tidak bertambah dan tidak berkurang; dan amalan soleh, dan ini bertambah dan berkurang; dan iktikad (kepercayaan), dan ia bertambah dan tidak berkurang.

Maka jika ia berkurang, ia akan hilang; yakni: jika berlaku keraguan pada apa yang diiktikadkan, maka hilanglah keyakinan dan hilanglah iman, kerana iman adalah pembenaran yang putus yang tidak bercampur dengannya sebarang keraguan.

Akan tetapi, ini bercanggah dengan apa yang dinukilkan daripada Salafus Soleh dan menyalahi dalil-dalil yang telah disebutkan sebelumnya, maka berpegang dengan dalil-dalil tersebut lebih utama.

D - Adapun mereka yang berkata perselisihan ini hanyalah pada lafaz (lafzi), maka hujah mereka ialah bahawa iman itu adalah pembenaran, dan kesempurnaannya adalah dengan amalan soleh.

Maka mereka yang berkata iman tidak bertambah dan tidak berkurang, melihat kepada asal iman iaitu pembenaran. Manusia itu sama ada membenarkan atau tidak membenarkan, dan pembenaran itu tidak bertambah dan tidak berkurang. Atas dasar inilah dalil-dalil mereka difahami.

Manakala mereka yang berkata iman itu bertambah dan berkurang, melihat kepada apa yang menyempurnakan iman, iaitu amalan soleh, dan ini bertambah dan berkurang tanpa syak lagi. Ini adalah satu bentuk penyelarasan antara dua pendapat yang masyhur.

Pendapat yang rajih (lebih kuat) ialah bahawa iman itu bertambah dan berkurang, berdalilkan apa yang telah dikemukakan daripada ayat-ayat, hadis-hadis dan perkataan Salafus Soleh, dan juga dalil akal.

Jika seseorang merenung pada dirinya, nescaya dia akan mendapati bahawa pembenarannya terhadap sebahagian perkara lebih kuat daripada pembenarannya terhadap sebahagian yang lain. Bahkan pembenarannya terhadap satu perkara yang sama pun berbeza-beza mengikut keadaan.

Maka setiap Muslim membenarkan kewujudan Makkah al-Mukarramah, Madinah al-Munawwarah, Kaabah al-Musyarrafah, Makam (Nabi) yang mulia dan Hajar al-Aswad... tetapi keimanan terhadapnya bagi orang yang telah melihatnya tidak sama dengan keimanan terhadapnya bagi orang yang belum melihatnya.

Para ulama telah mengumpamakan iman itu seperti anak pokok yang kecil, jika engkau menyiramnya dengan air dan menjaganya, ia akan membesar dan subur. Jika engkau membiarkannya tanpa air dan penjagaan, ia akan menjadi lemah, kering dan mati.

Begitu jugalah iman, ia wujud secara fitrah, tetapi ia menjadi kuat dengan amalan soleh dan menjadi lemah dengan maksiat. Oleh sebab itu, anda dapati al-Quran al-Karim sering menggandingkan antara iman dan amal soleh, dengan berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh.”

Bukanlah iman orang-orang yang soleh itu sama seperti iman orang-orang Muslim yang fasik, sehinggakan para ulama berkata: Maksiat itu adalah ‘utusan’ kekufuran, yakni ia boleh membawa kepada kekufuran, dan itu adalah apabila pelakunya menghalalkannya. Kita memohon kepada Allah akan kesejahteraan.

Sumber:

Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Syarh Jauharah Al-Tauhid – Syeikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudhah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan