Selasa, 25 November 2025

Kefahaman Sahih Tentang Wali dan Karamah

Definisi Wali dari Segi Bahasa dan Syarak

Wali dari segi bahasa ialah lawan bagi ‘musuh’.

Para wali Allah adalah penolong-penolong agama-Nya dan musuh-musuh bagi orang-orang yang kafir kepada-Nya.

Dua Jenis Kewalian: Umum dan Khusus

Kewalian itu ada dua jenis: kewalian umum dan kewalian khusus.

Kewalian Umum

Adapun kewalian umum, ia adalah untuk setiap orang mukmin.

Firman Allah Taala:

ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ

“Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.”

Kewalian Khusus

Adapun kewalian khusus, ia adalah bagi orang yang mengenal Allah Taala dan sifat-sifat-Nya sekadar kemampuan, yang sentiasa mengerjakan ketaatan, menjauhi maksiat, dan berpaling daripada tenggelam dalam kelazatan dan syahwat yang harus.

Sifat Wali dari Sudut Ketergantungannya kepada Allah

Maka wali itu ialah orang yang Allah Subhanahu wa Taala menguruskan urusannya, dia tidak menyerahkannya kepada dirinya sendiri dan tidak juga kepada selainnya walau sekelip mata.

Istiqamah Ibadah Seorang Wali

Wali itu ialah orang yang tekun mengerjakan ibadah kepada Allah Taala dan ketaatan kepada-Nya, maka ibadahnya berjalan secara berterusan tanpa diselangi oleh kemaksiatan.

Maka jika terlanjur daripadanya satu kesilapan, dia akan menyusulinya dengan taubat, kerana sifat maksum hanyalah bagi para Nabi.

Firman Allah Taala:

أَلَآ إِنَّ أَوْلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Iaitu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.”

Tidak syak lagi bahawa orang-orang Islam berbeza-beza tingkatannya dalam ketakwaan, kesolehan, dan kepatuhan kepada syariat Islam. Maka para wali adalah mereka yang mendahului selain mereka dalam bidang ini. Allah lebih mengetahui segala yang tersembunyi di dalam hati.

Definisi Karamah

Adapun karamah, dari segi bahasa ialah: apa yang digunakan untuk memuliakan tetamu dan selainnya.

Yang dimaksudkan dengannya di sini ialah: suatu perkara luar biasa yang dizahirkan oleh Allah Taala atas tangan seorang wali daripada wali-wali-Nya.

Para ulama telah mentakrifkannya sebagai: suatu perkara luar biasa, yang tidak disertakan dengan dakwaan sebagai nabi, dan bukan pula mukadimah baginya, yang dizahirkan oleh Allah Taala atas tangan seorang hamba yang zahir kesolehannya, yang berpegang teguh mengikuti seorang nabi yang dipertanggungjawabkan dengan syariatnya, diiringi dengan akidah yang benar dan amalan yang soleh, sama ada dia (wali itu) mengetahuinya ataupun tidak.

Jenis-Jenis Perkara Luar Biasa

Maka perkara-perkara luar biasa itu ada beberapa jenis:

1 - Jika ia berlaku atas tangan seorang nabi, maka ia adalah: mukjizat.

2 - Jika ia berlaku atas tangan seseorang yang akan menjadi nabi, maka ia adalah: irhas, seperti peristiwa terbelahnya dada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda seorang bayi di perkampungan Bani Sa'd (diriwayatkan oleh Ahmad), dan batu-batu memberi salam kepada baginda sebelum kenabian (diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim dan al-Tirmizi).

3 - Jika ia berlaku atas tangan seorang hamba yang zahir kesolehannya, maka ia adalah: karamah.

4 - Kika ia berlaku atas tangan salah seorang Muslim yang awam, maka ia adalah: ma'unah.

5 - Jika ia berlaku atas tangan seorang yang berdusta dalam mendakwa kenabian, sebagai untuk mendustakannya, maka ia adalah: ihanah, sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Musailamah meludah ke dalam sebuah perigi supaya airnya melimpah, tetapi airnya malah surut.

6 - Jika ia berlaku atas tangan seorang yang fasik atau kafir, maka ia adalah: istidraj, seperti yang disaksikan daripada sebahagian orang-orang kafir, fasik dan zindiq.

Dalil Karamah dalam al-Quran

Karamah itu adalah sabit dengan al-Quran dan Sunnah.

Adapun al-Quran, ia adalah apa yang telah Allah khabarkan tentang kisah Maryam dan rezeki yang datang kepadanya bukan pada waktunya, serta melahirkan Isa alaihis salam tanpa suami, dan firman-Nya Taala:

وَهُزِّىٓ إِلَيْكِ بِجِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ تُسَٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا

“Dan gegarlah ke arahmu pangkal pohon kurma itu, nescaya ia akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.”

Ini adalah antara perkara yang tidak berlaku mengikut kebiasaan, kerana seorang wanita tidak mampu menggegarkan pangkal pohon kurma, dan kurma masak tidak akan gugur dengan menggegarkan pangkalnya.

Begitu juga kisah Ashabul Kahfi, mereka telah tinggal bertahun-tahun tanpa makanan dan minuman, dan kisah Asif yang mempunyai ilmu daripada Kitab, dia telah mendatangkan singgahsana Balqis dari Saba’ ke Palestin sebelum mata Sulaiman alaihis salam berkelip.

Dalil Karamah dalam Sunnah

Adapun Sunnah, telah sabit padanya beberapa karamah para Sahabat, antaranya: apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kisah kesyahidan Khubaib radhiyallahu 'anhu, bahawa terdapat anggur di sisinya ketika beliau menjadi tawanan di Makkah dalam keadaan diikat dengan besi, sedangkan pada hari itu tiada anggur atau buah-buahan di Makkah.

Dan antaranya: apa yang diriwayatkan juga oleh al-Bukhari bahawa Usaid bin Hudhair dan seorang lelaki lain dari kalangan Ansar berada di sisi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sedang berbual tentang urusan mereka pada suatu malam yang sangat gelap. Apabila mereka berdua keluar, tongkat salah seorang daripada mereka menyala untuk mereka berdua, dan apabila mereka berpisah, tongkat seorang lagi pula yang menyala.

Selain daripada ini banyak lagi terdapat dalam kitab-kitab Sunnah yang sahih.

Setelah sabitnya karamah dengan Kitab (al-Quran) dan Sunnah, tidaklah perlu dipedulikan akan perkataan orang yang menafikannya walau siapa pun dia.

Jawapan kepada Golongan yang Menafikan Karamah

Sesungguhnya sebahagian kaum Mu'tazilah telah mengingkarinya dengan hujah-hujah akal, antaranya: bahawa sekiranya seorang wali diberi karamah yang luar biasa, nescaya keadaannya akan menjadi kabur dan bercampur aduk dengan keadaan seorang nabi.

Hujah ini adalah batil, kerana seorang wali tidak mendakwa kenabian, dan tiada hujah lagi (untuk menafikan karamah) selepas (ada) Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya sallahu ‘alaihi wasallam.

Perkara-Perkara Penting Berkaitan Karamah

Adalah wajar untuk diingatkan di sini akan beberapa perkara:

1 - Tidak disyaratkan pada setiap wali untuk dizahirkan karamah atas tangannya, kerana boleh jadi dia seorang wali walaupun tidak berlaku perkara luar biasa padanya.

2 - Kemunculan perkara luar biasa atas tangan seseorang tidak bermakna dia seorang wali, sebaliknya amalannya perlu diperhatikan kerana telah dijelaskan sebelum ini bahawa perkara luar biasa juga boleh berlaku pada orang kafir.

3 - Para ulama berkata: Istiqamah adalah karamah yang sebenar. Iaitu, apabila Allah memelihara seorang hamba daripada maksiat, maka sesungguhnya Dia telah memuliakannya dan memeliharanya daripada bercampur dengan kotoran-kotoran bersifat maknawi. Apabila Dia memberinya taufik untuk berpegang teguh dengan syariat, maka sesungguhnya Dia telah memuliakannya dengan tingkah laku yang terbaik dan paling bermanfaat di dunia dan akhirat.

4 - Telah menjadi kebiasaan para wali untuk menyembunyikan karamah mereka dan tidak berbangga-bangga dengannya. Kadang-kadang mereka menzahirkannya kerana sesuatu hikmah syarie.

5 - Walau apa pun karamahnya, pemiliknya tidak menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal kerana neracanya adalah Syariat Islamiah, dan Syariat adalah hujah ke atas semua manusia.

Bukanlah perbuatan atau perkataan sesiapa pun menjadi hujah ke atas Syariat melainkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, kerana sesungguhnya perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda adalah hujah, sebagaimana yang sedia maklum.

Sumber:

Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Syarh Jauharah Al-Tauhid – Syeikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudhah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan