Isnin, 3 November 2025

Kisah Ulama dan Kerenah Isteri

1 - Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah Ta'ala berkata dalam Ihya’ Ulum al-Din:

“Sabar di atas (keburukan) lidah wanita adalah antara perkara yang para wali diuji dengannya.”

2 - Imam 'Abd al-Wahhab al-Sya'rani rahmatullah 'alaih berkata:

“Aku telah mendengar Sayyidi 'Ali al-Khawwas rahimahullah berkata: Jarang sekali ada seorang wali melainkan dia berada di bawah (penindasan) isterinya, yang menyakitinya dengan lidahnya dan dengan perbuatannya.”

3 – Syeikh 'Abdul Ghani al-Nabulsi rahimahullah berkata di dalam Syarh al-Tariqah al-Muhammadiyyah:

“Dahulu, sebahagian orang-orang hebat telah bersabar di atas keburukan akhlak isterinya. Lalu ditanyakan kepadanya mengenai hal itu, maka beliau menjawab: Aku bimbang jika aku menceraikannya, dia akan dikahwini oleh orang yang tidak sabar dengan gangguannya, lalu dia menyakitinya.

Diceritakan tentang Syaqiq al-Balkhi bahawa beliau mempunyai seorang isteri yang buruk akhlaknya. Lalu ditanyakan kepadanya: Mengapakah engkau tidak menceraikannya sedangkan dia menyakitimu dengan keburukan akhlaknya?!

Maka beliau menjawab: Jika dia seorang yang buruk akhlaknya, maka aku seorang yang baik akhlaknya. Kalaulah aku menceraikannya, nescaya aku tetap akan bersabar. Namun, aku bimbang tiada siapa yang akan menerimanya (sebagai isteri) kerana keburukan akhlaknya.”

4 - Imam Abu Bakar bin al-'Arabi al-Ma'afiri rahimahullah Ta'ala berkata di dalam Ahkam al-Qur'an: Daripada Abu Bakar bin 'Abd al-Rahman, beliau berkata:

“Syeikh Abu Muhammad bin Abi Zaid (al-Qairawani) berada pada kedudukan yang sedia maklum dari segi ilmu dan agama.

Beliau mempunyai seorang isteri yang buruk pergaulannya. Dia sering mengabaikan hak-haknya dan menyakitinya dengan lidahnya. Lalu dikatakan kepada beliau mengenai perihal isterinya itu, dan beliau dinasihati agar bersabar dengannya.

Beliau berkata: Aku adalah seorang lelaki yang telah Allah sempurnakan nikmat-Nya ke atasku pada kesihatan tubuh badanku, pengetahuanku, dan apa yang dimiliki oleh tanganku. Mungkin sahaja dia diutuskan sebagai balasan atas dosaku. Maka aku bimbang, jika aku menceraikannya, akan turun kepadaku satu balasan yang lebih dahsyat daripadanya.”

5 - Imam al-Zahabi berkata di dalam Tarikh al-Islam ketika menulis biografi Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi:

“Beliau mempunyai seorang hamba perempuan yang menyakitinya dengan akhlaknya, namun beliau tidak pernah berkata apa-apa pun kepadanya. Begitu juga dengan isteri-isterinya yang lain.”

Al-Zahabi berkata: Aku telah mendengar al-Baha' 'Abd al-Rahman berkata:

“Aku tidak pernah melihat di kalangan orang yang pernah aku bergaul dengannya, seorang yang lebih indah (akhlaknya) dan lebih banyak menanggung sabar daripadanya.”

6 - Imam al-Sya'rani  berkata di dalam al-Tabaqat al-Kubra ketika menulis biografi Syeikh al-'Arif Billah 'Uthman al-Khattab rahimahullah:

“Telah mengkhabarkan kepadaku Sayyidi Syeikh Nuruddin al-Syauni radhiyallahu 'anhu, bahawa beliau telah tinggal berjiran dengannya ('Uthman al-Khattab) untuk suatu tempoh.

Lalu pada suatu malam, beliau keluar untuk berwuduk, lalu beliau mendapati seorang lelaki sedang berbalut di dalam sebuah tikar di laluan ke tempat wuduk. Lalu beliau berkata kepadanya: Bangun, ini bukan tempat tidur!

Maka lelaki itu pun membuka selimutnya dan berkata: Wahai saudaraku, aku 'Uthman. Isteriku telah menghalauku, dan dia telah bersumpah bahawa dia tidak akan membiarkanku tidur di dalam rumah malam ini.

Isterinya) seorang yang suka menindasnya, dan begitu juga isteri sahabatnya, 'Uthman al-Dimi.”

Imam al-Munawi dalam biografinya di dalam al-Kawakib al-Durriyyah menyebutkan:

“Ibunya sering memukulnya di kepala dan bahunya, serta meninggikan suara ke atasnya, namun beliau tidak terkesan.

Beliau telah diuji dengan isterinya, dia sering menyakitinya, dan kadangkala menghalaunya keluar pada waktu malam sambil berkata: Aku tidak izinkan engkau tidur di atas katilku. Maka beliau pun tidur di jalanan. Beliau berkata: Aku bimbang jika aku tidur di zawiyah, akan keluar angin daripadaku (kentut) semasa aku sedang tidur.”

7 - Imam al-Sya'rani berkata dalam biografi Syeikh al-'Abid (ahli ibadah) Muhammad al-Sarawi rahimahullah di dalam al-Tabaqat al-Kubra:

“Beliau telah diuji dengan isterinya, beliau sangat takut kepadanya, sehinggakan beliau pernah meletakkan seorang fakir (murid) di dalam khalwat (tempat beruzlah), lalu isterinya menghalau murid itu keluar dari tempat khalwat tanpa izin daripada Syeikh, dan beliau tidak mampu untuk berkata apa-apa.”

Imam al-Sya'rani berkata dalam Lawaqih al-Anwar al-Qudsiyyah:

“Dan begitu juga aku telah melihat isteri Sayyidi Syeikh Muhammad bin Abi al-Hamail al-Sarawi mencelanya dan menghalaunya keluar dari jalan kefakiran (jalan sufi), dan beliau takut kepadanya.”

Imam al-Munawi rahimahullah menyebutkan dalam biografinya di dalam al-Kawakib al-Durriyyah:

“Beliau telah diuji dengan gangguan daripada isterinya, sedangkan beliau mampu untuk membinasakannya. Kadangkala beliau memasukkan seorang fakir (murid) ke dalam tempat khalwat, lalu isterinya menghalaunya keluar sebelum tamat tempoh, sambil berkata: Si fulan (yakni Syeikh Muhammad al-Sarawi) telah berkata kepadamu: Aku tidak akan menjadi syeikh (kepada kamu).

Maka beliau tidak berkata apa-apa.”

8 - Imam al-Sya'rani rahimahullah Ta'ala berkata di dalam al-'Uhud al-Muhammadiyyah tentang gurunya, 'Ali al-Khawwas:

“Isteri Sayyidi 'Ali al-Khawwas sering memulaukannya selama tiga bulan atau lebih. Dia pernah memulaukannya selama sebulan kerana beliau telah memberi minum ayam-ayamnya dengan air yang tidak bertutup.

Suatu kali beliau tersilap, lalu minum daripada bekas air isterinya itu, maka isterinya mengikis bekas mulutnya itu dengan serpihan tembikar supaya dia tidak meletakkan mulutnya di tempat mulut beliau.

Beliau bermusafir bersamanya ke Hijaz dalam keadaan isterinya sedang memulaukannya. Maka beliau bermusafir bersamanya dari Mesir dan kembali (ke Mesir) tanpa sepatah kata pun terucap di antara mereka berdua.

Kemudian, apabila isterinya meninggal dunia, beliau mengiringi (jenazahnya) dengan bendera putih di hadapan kerandanya. Padahal beliau telah memberitahuku ketika sakit yang membawa kepada kewafatannya, bahawa sudah 57 tahun sejak beliau mula hidup bersamanya, tidak pernah beliau tidur bersamanya walau satu malam pun dalam keadaan mereka berdamai.

Beliau sering menjawab orang yang menyuruhnya menceraikannya: Kezaliman itu adalah daripada diriku, bukan daripadanya, kerana dia adalah cerminan amalanku.”

Sumber:

صفحات من أخبار الأنبياء والعلماء والأولياء والحكماء في الصبر على الزوجات والحلم عليهن - يوسف أبجيك السوسي

Tiada ulasan:

Catat Ulasan