Rabu, 5 November 2025

Ringkasan Fahaman Mu'tazilah

1 - Kemunculan Mu'tazilah:

Mu'tazilah muncul pada awal kurun kedua Hijrah pada zaman Bani Umayyah di kota Basrah. Golongan ini telah memenuhi pemikiran Islam pada zaman Bani Abbasiyyah untuk tempoh yang lama. Asas kemunculannya ialah perselisihan Wasil bin 'Ata' dengan gurunya, al-Hasan al-Basri mengenai hukum pelaku dosa besar. Al-Syahrastani menceritakan kepada kita di dalam kitab al-Milal wa al-Nihal tentang perkara ini:

Seorang lelaki telah masuk bertemu al-Hasan al-Basri lalu berkata: 

"Wahai Imam agama, telah muncul pada zaman kami satu kumpulan yang mengkafirkan para pelaku dosa besar. Dosa besar di sisi mereka adalah kekufuran yang mengeluarkan seseorang dari agama. Mereka ialah golongan Khawarij. 

Satu kumpulan lagi menangguhkan hukuman bagi para pelaku dosa besar. Dosa besar di sisi mereka tidak memudaratkan selagi ada iman. Bahkan, amalan menurut mazhab mereka bukanlah satu rukun agama. Tidak memudaratkan sebarang maksiat selagi ada iman, sepertimana tidak bermanfaat sebarang ketaatan selagi ada kekufuran. Mereka ialah golongan Murji'ah umat ini. 

Maka bagaimana engkau menghukumkan bagi kami dalam hal itu dari sudut akidah?"

Maka al-Hasan pun berfikir tentang perkara itu. Sebelum sempat beliau menjawab, Wasil bin 'Ata' – beliau adalah antara peserta utama majlis al-Hasan – berkata: 

"Aku berpendapat: sesungguhnya pelaku dosa besar bukanlah seorang mukmin secara mutlak dan bukan juga seorang kafir secara mutlak. Sebaliknya, dia berada pada satu kedudukan di antara dua kedudukan (al-manzilah bayna al-manzilatayn), bukan mukmin dan bukan juga kafir."

Lalu beliau mengasingkan diri ke sebuah tiang masjid dan mula menegaskan hukum ini, lalu berkata:

"Sesungguhnya pelaku dosa besar adalah seorang fasik, kerana dia tidak menghimpunkan ciri-ciri kebaikan sehingga boleh dinamakan seorang mukmin. 

Dia bukanlah seorang kafir, kerana syahadah dan amalan-amalan kebaikan yang lain masih ada padanya. Akan tetapi, jika dia meninggal dunia dalam keadaan melakukan dosa besar tanpa bertaubat, maka dia akan kekal di dalam neraka. 

Namun, akan diringankan azab ke atasnya, dan harus untuk menggunakan nama Muslim ke atasnya sebagai pembeza antara dia dengan orang bukan Islam."

Al-Hasan al-Basri berkata ketika Wasil bangun meninggalkan majlisnya: 

"Wasil telah mengasingkan diri daripada kita (i'tazalana Wasil)". Maka inilah yang menjadi sebab penamaan mereka sebagai Mu'tazilah."

Peristiwa ini berlaku di Basrah. Fahaman Mu'tazilah telah tersebar di Iraq dan dianut oleh sebahagian khalifah Bani Umayyah. Pada zaman Bani Abbasiyyah, Mu'tazilah mempunyai dua aliran pemikiran: Satu di Basrah dan satu lagi di Baghdad. Telah berlaku perdebatan serta perselisihan yang besar di antara kedua-dua aliran ini.

Sebahagian khalifah Bani Abbasiyyah seperti al-Ma'mun bukan sahaja sekadar menganut mazhab Mu'tazilah, bahkan mereka berusaha untuk memaksa orang ramai untuk mengikutinya. 

Terjadilah satu kekacauan yang telah mencemarkan nama baik Mu'tazilah dan menghapuskan kedudukan mereka di kalangan umat Islam, iaitu apabila kekuasaan para penyokong mereka dari kalangan Bani Abbasiyyah telah berakhir.

2 - Metodologi Mu'tazilah dalam Perbahasan:

Mereka bergantung kepada premis-premis akal sebagai dalil dalam perbahasan akidah. Tidak ada yang membatasi keyakinan mereka kepada akal melainkan penghormatan mereka terhadap perintah-perintah Syarak. Oleh sebab itu, mereka menjadikan akal sebagai hakim dalam setiap perkara, dan berusaha untuk mencapai segala sesuatu melaluinya. 

Pendekatan ini adalah kesan daripada kemunculan mereka dalam satu persekitaran yang penuh dengan akidah-akidah yang berbeza dan fahaman-fahaman yang pelbagai: Yahudi, Kristian, Majusi dan lain-lain. Begitu juga pengajian mereka terhadap falsafah juga mempunyai kesan yang besar pada pandangan-pandangan mereka.

3 - Pembelaan Mereka terhadap Islam:

Mu'tazilah telah memainkan peranan yang besar dalam mempertahankan akidah-akidah Islam. Mereka telah berdebat dengan musuh-musuh Islam, mengarang kitab-kitab, mengadakan perbahasan-perbahasan, dan mengembara ke serata tempat untuk tujuan ini. 

Mereka telah berjaya meyakinkan ramai musuh tentang kebatilan akidah-akidah mereka. Mereka mempunyai satu kelebihan yang agung dalam mempertahankan Islam. Ini kerana mereka telah menentang para penganut akidah yang batil dengan hujah dan bukti.

4 - Sebab-sebab Permusuhan Fuqaha, Muhaddithin dan Ahli Sunnah terhadap Mu'tazilah:

(i) Mu'tazilah menyalahi jalan Salaf al-Salih dalam memahami akidah. Ini kerana mereka menjadikan akal sebagai hakim dalam setiap perkara.

(ii)  Sokongan sebahagian khalifah Bani Abbasiyyah kepada Mu'tazilah, yang mana ia membantu kemunculan mazhab mereka pada zaman Daulah Abbasiyyah.

(iii) Penyusupan sebahagian golongan sesat di kalangan Mu'tazilah, iaitu mereka yang telah keluar daripada Islam dan menguasai kaum Muslimin untuk merosakkan akidah mereka. 

Tindakan Mu'tazilah mengusir dan menyingkirkan jauh golongan ini daripada barisan mereka tidak dapat menghalang tersebarnya tuduhan bahawa fahaman Mu'tazilah membawa kepada kezindikan dan kekufuran, sedangkan ia adalah satu tuduhan yang batil.

Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan kelebihan Mu'tazilah dalam mempertahankan Islam, menyanggah musuh-musuhnya, dan menangkis setiap serangan ke atas akidah kaum Muslimin. Ini adalah kerana kemahiran mereka dalam menggunakan dalil-dalil akal.

5 - Prinsip-Prinsip Utama Mu'tazilah:

(i) Pegangan mereka tentang baik dan buruk adalah berdasarkan akal. Akal di sisi mereka dapat mengetahui kebaikan dan keburukan sesuatu perkara, dan dapat mengetahui hukum Allah pada perkara yang baik melalui tuntutan pelaksanaannya, dan pada perkara yang buruk melalui tuntutan meninggalkannya. Mereka telah membina pandangan-pandangan mereka dalam akidah di atas prinsip ini.

(ii) Jalan untuk mengetahui kewajipan ma’rifah (mengenal Allah) ialah akal, bukan Syarak.

(iii) Iman adalah kepercayaan dan amalan.

(iv) Pelaku dosa besar yang meninggal dunia dan belum bertaubat daripada dosanya berada pada satu kedudukan di antara dua kedudukan (al-manzilah bayna al-manzilatayn).

(v) Sifat Qidam (Azali) adalah khusus bagi Zat Allah, dan begitu juga sifat Keesaan. Oleh sebab itu, mereka mengingkari sifat-sifat Ma'ani supaya yang bersifat Qadim itu tidak berbilang (ta’addud al-qudama').

(vi) Wajib ke atas Allah Ta'ala untuk melaksanakan janji baik dan janji buruk-Nya, mengutuskan para rasul kepada hamba-hamba-Nya, menguatkan mereka dengan mukjizat-mukjizat, serta menjaga kebaikan dan apa yang terbaik untuk makhluk-Nya.

(vii) Hamba menciptakan perbuatan-perbuatan pilihannya sendiri dengan kudrat (kemampuan) yang telah Allah letakkan padanya.

(viii) Allah tidak memerintahkan melainkan apa yang dikehendaki-Nya, dan tidak melarang melainkan daripada apa yang dibenci-Nya. Maka Dia menghendaki kebaikan dan tidak menghendaki kejahatan.

(ix) Mustahilnya melihat Allah Ta'ala kerana ia menuntut persamaan dengan makhluk-makhluk baharu (hawadith).

(x) Pengingkaran terhadap syafaat bagi para pelaku dosa besar yang meninggal dunia tanpa bertaubat.

(xi) Kewajipan menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar.

(xii) Mentakwilkan ayat-ayat mutasyabih daripada al-Quran dan Sunnah.

Pengenalan Mengenai Imam Mu'tazilah

Antara pemimpin Mu'tazilah yang paling masyhur ialah: 

1 - Wasil bin 'Ata', pengasas mazhab Mu'tazilah. 

2 - 'Amr bin 'Ubaid. 

3 - Abu 'Ali al-Jubba'i. 

4 - Abu al-Hudhayl al-'Allaf. 

5 - Abu Ishaq bin Yasar yang dikenali sebagai al-Nazzam. 

6 - Bisyr bin al-Mu'tamir. 

7 - 'Amr bin Bahr al-Jahiz. 

8 - Abu al-Husayn al-Khayyat. 

9 - Abu al-Husayn al-Basri. 

10 - Al-Ka'bi. 

11 - Al-Zamakhsyari.

Wasil bin 'Ata'

Wasil bin 'Ata' dilahirkan di Madinah pada tahun 80 Hijrah. Beliau adalah pengasas pertama mazhab Mu'tazilah. Beliau memulakan kehidupannya di Madinah, yang merupakan ibu kota Islam pertama, dan di dalamnya terdapat warisan Islam teragung yang dibawa oleh para Sahabat dan Tabi'in. Dalam pendidikan awalnya Wasil telah terpengaruh dengan persekitaran yang baik ini, maka beliau sangat menitikberatkan untuk bergantung dengan al-Quran dan bersandar kepada nas-nasnya.

Ini jelas kelihatan berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada isterinya ketika beliau ditanya tentang Wasil, lalu beliau berkata: 

“Dahulu apabila malam menjelang, Wasil akan meluruskan kedua-dua kakinya untuk solat. Papan tulis serta bekas dakwat berada di sebelahnya. Apabila beliau melalui satu ayat yang di dalamnya terdapat hujah ke atas golongan yang menyalahi (Islam), beliau akan duduk lalu menulisnya, kemudian kembali semula kepada solatnya.”

Beliau telah berpindah dari Madinah ke Iraq dan menetap di Basrah. Beliau berguru dengan al-Hasan al-Basri sehinggalah beliau mengasingkan diri daripadanya apabila mereka berdua berselisih pendapat mengenai hukum pelaku dosa besar, sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Iraq ketika itu adalah sebuah lautan yang bergelora dengan pelbagai pandangan daripada kumpulan-kumpulan yang pelbagai serta fahaman-fahaman dan ajaran-ajaran yang berbeza. Begitu juga ia merupakan tempat tercetusnya siri pemberontakan golongan Umayyah.

Wasil telah berhubung dengan golongan Khawarij, Syiah, Ahli Hadis, dan para penganut fahaman dan ajaran yang berbeza sehinggakan beliau disifatkan bahawa tiada siapa yang lebih alim berbanding dirinya tentang kata-kata golongan Syiah yang melampau, golongan Khawarij yang sesat, kata-kata golongan Zindiq, Dahriyyah, Murji'ah dan seluruh golongan yang menyeleweng, serta dalam menyanggah mereka.

Beliau telah menyatakan dengan jelas pandangannya dalam isu-isu penting yang memenuhi fikiran orang ramai ketika itu, antaranya:

1 - Isu pelaku dosa besar, yang menjadi asas kepada mazhab Mu'tazilah. Beliau berkata mengenainya: “Dia adalah seorang fasik, yang berada pada satu kedudukan di antara dua kedudukan.”

2 - Pengingkaran terhadap sifat-sifat Ma'ani.

3- Penetapan kudrat (kemampuan) dan pilihan bagi hamba.

Wasil bin 'Ata' adalah seorang yang alim, zuhud, sibuk memberi nasihat dan mengajar pada waktu siang, serta solat dan membaca al-Quran pada waktu malam. 

Beliau sangat menitikberatkan pembelaan terhadap agamanya. Beliau menghantar para pendakwah ke serata pelusuk negeri untuk membetulkan akidah orang ramai, dan mereka berdebat dengan ahli kebatilan untuk mempertahankan agama mereka. Beliau sering memberi amaran kepada orang ramai daripada keterikatan dengan dunia.

Beliau meninggal dunia pada tahun 131 Hijrah. Semoga Allah merahmatinya

Sumber:

مُذكرَة الفِرَق للصف الثانى الثانوى - لجنة إعداد وتطوير المناهج بالأزهر الشريف

Tiada ulasan:

Catat Ulasan