“Syeikh 'Alamuddin (al-Birzali) berkata: Pada malam Isnin, 20 hari bulan
Zulkaedah tahun 728, telah wafat Syeikh, Imam, al-Allamah, al-Faqih, al-Hafiz,
al-Zahid, al-Qudwah, Syeikhul Islam, Taqiyuddin Abu al-Abbas Ahmad, anak kepada
guru kami Imam al-Mufti, Syihabuddin Abi al-Mahasin Abdul Halim, bin Syeikh
Imam Syeikhul Islam Majduddin Abi al-Barakat Abdul Salam bin Abdullah bin Abi
al-Qasim bin Muhammad bin Taymiyyah al-Harrani, kemudian al-Dimasyqi, di Kubu
Damsyik di mana beliau dipenjarakan.
Sekumpulan orang telah hadir ke kubu, lalu mereka diizinkan
untuk masuk. Sekumpulan orang duduk sebelum (jenazah) dimandikan, dan mereka
membaca al-Quran serta mengambil berkat dengan melihat dan menciumnya,
kemudian mereka beredar. Hadir sekumpulan wanita lalu mereka melakukan
perkara yang sama, kemudian mereka beredar.
(Orang yang diizinkan masuk) dihadkan kepada orang yang
memandikannya dan membantu dalam memandikannya. Maka setelah selesai daripada
itu, jenazah dibawa keluar, dan orang ramai telah berkumpul di kubu dan di
sepanjang jalan menuju ke Masjid Jamek Damsyik. Masjid jamek serta halamannya,
dan al-Kallasah, Bab al-Barid, dan Bab al-Sa'at sehingga ke al-Labbadin dan
al-Fawwarah telah penuh sesak.
Jenazah tiba pada jam keempat siang hari, atau sekitarnya,
dan diletakkan di masjid jamek, dan para tentera menjaganya daripada orang
ramai kerana kesesakan yang teramat sangat. Jenazah disolatkan pertama sekali
di kubu, yang menjadi imam solat ke atasnya ialah Syeikh Muhammad bin Tammam,
kemudian disolatkan sekali lagi di Masjid Jamek Damsyik, selepas solat Zohor.
Jenazah diusung dari Bab al-Barid, dan kesesakan bertambah
hebat. Orang ramai melemparkan sapu tangan dan serban mereka ke atas
kerandanya untuk mengambil berkat. Keranda itu berada di atas kepala-kepala
(orang ramai), kadangkala ia bergerak ke hadapan dan kadangkala ke belakang. Orang
ramai keluar dari masjid jamek melalui semua pintunya kerana kesesakan yang
teramat sangat, dan setiap pintu lebih sesak daripada yang lain.
Kemudian orang ramai keluar dari semua pintu-pintu bandar
kerana kesesakan yang teramat sangat, tetapi kebanyakannya adalah melalui empat
pintu: Bab al-Faraj yang mana jenazah dikeluarkan melaluinya, dan dari Bab
al-Faradis, dari Bab al-Nasr, dan Bab al-Jabiyah. Keadaan menjadi sangat sesak
di Suq al-Khayl dan yang menjadi imam solat ke atasnya di sana ialah
saudaranya, Zainuddin Abdul Rahman.
Jenazah diusung ke Maqbarah al-Sufiyyah, lalu dikebumikan di
sisi saudaranya, Syarafuddin Abdullah - semoga Allah merahmati mereka berdua.
Pengebumiannya adalah pada waktu Asar atau sedikit sebelumnya. Orang ramai
menutup kedai-kedai mereka, dan tidak ada yang tidak hadir melainkan sebilangan
kecil orang, atau mereka yang dihalang oleh kesesakan.
Pengebumian itu dihadiri oleh ramai wanita sehingga
dianggarkan seramai 15 ribu orang, manakala kaum lelaki pula dianggarkan
seramai 60 ribu atau lebih, sehingga mencecah 200 ribu orang.
Sekumpulan orang meminum air yang lebih daripada
mandiannya, dan sekumpulan yang lain membahagi-bahagikan saki-baki daun bidara
yang digunakan untuk memandikannya.
Dikatakan bahawa kopiah yang ada di atas kepalanya telah
dibayar (untuk mendapatkannya) sebanyak 500 dirham, dan dikatakan bahawa benang
yang padanya ada raksa (merkuri), yang pernah dipakai di lehernya kerana (untuk
merawat/menghindari) kutu telah dibayar sebanyak 150 dirham.
Semasa urusan jenazah itu, berlakulah hiruk-pikuk, tangisan,
dan rintihan doa. Banyak majlis khatam al-Quran diadakan untuknya di
al-Salihiyyah dan di bandar. Orang ramai berulang-alik menziarahi kuburnya
selama beberapa hari pada waktu malam dan siang. Banyak mimpi yang baik
dilihat mengenainya, dan sekumpulan orang meratapinya dengan (menulis) banyak
qasidah.”

Tiada ulasan:
Catat Ulasan