Murjiah adalah golongan yang menangguhkan hukum ke atas pelaku dosa besar sehingga hari Kiamat, maka tidak diputuskan ke atasnya hukum di dunia sama ada dia tergolong dalam ahli syurga atau ahli neraka.
Prinsip-prinsip terpenting mereka adalah berpendapat tentang
keimanan pihak-pihak yang bertelagah (dalam Perang Siffin dan Jamal), walaupun
sebahagian mereka benar dan sebahagian lagi salah. Memandangkan kita tidak
mampu menentukan siapa yang benar daripada yang salah, maka kita tangguhkan
urusan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, kerana mereka semua bersaksi
bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.
Kemudian prinsip ini berkembang kepada yang berikut:
1 - Hukum ke atas pelaku dosa besar ialah urusannya diserahkan
kepada Tuhannya, jika Dia mahu, Dia akan mengazabnya, dan jika Dia mahu, Dia
akan mengampuninya. Ini menjadi mazhab bagi golongan tersebut.
2 - Iman adalah pembenaran (tasdiq) dan pengetahuan (ma'rifah),
dan amalan tidak mempunyai kesan sama sekali. Mereka berkata: “Maksiat tidak
memudaratkan jika ada iman, sepertimana ketaatan tidak memberi manfaat jika ada
kekufuran.”
3 - Sebahagian mereka melampau lalu mendakwa bahawa iman adalah
kepercayaan di dalam hati, walaupun dia mengisytiharkan kekufuran dengan
lidahnya, dan menyembah berhala, atau menganut agama Yahudi atau Nasrani di
negeri Islam, dan mati dalam keadaan demikian, maka dia adalah seorang mukmin.
Golongan fasik mendapati bahawa perkembangan mazhab ini menjadi
satu pintu yang terbuka luas bagi setiap pembuat kerosakan, dan mereka
menjadikannya sebagai alasan untuk melakukan dosa-dosa mereka. Perkata ini
telah membangkitkan kemarahan terhadap Murjiah. Zaid bin Ali bin al-Husain
berkata: “Aku berlepas diri daripada golongan Murji'ah yang telah membuatkan
orang-orang fasik terlalu mengharapkan keampunan Allah.”
Banyak mazhab yang bermula dalam keadaan murni, kemudian para
pengikutnya menjadi melampau kerana hawa nafsu dalam diri mereka, lalu ia
menjerumuskan mereka ke jurang kebinasaan.
Sumber:
مُذكرَة الفِرَق للصف الثانى الثانوى - لجنة إعداد وتطوير المناهج بالأزهر الشريف
Tiada ulasan:
Catat Ulasan