Daripada Ibn Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah memohon perlindungan untuk al-Hasan dan al-Husain (dengan berkata):
أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ
كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ
Aku memohon
perlindungan untuk kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna,
daripada setiap syaitan dan binatang berbisa, serta daripada setiap mata yang
jahat (penyakit ‘ain).
Baginda bersabda: Sesungguhnya
bapa kamu berdua (Nabi Ibrahim) pernah memohon perlindungan dengannya untuk
Ismail dan Ishak.”
Riwayat al-Bukhari
(no. 3371).
Huraian dan
Pengajaran Hadis:
1 – Doa Nabi di
atas adalah untuk doa untuk dua orang cucu baginda (al-Hasan dan al-Husain).
Berikut adalah doa untuk seorang lelaki, seorang perempuan, ramai lelaki dan
ramai perempuan, bergantung mengikut keadaan kepada sesiapa yang kita ingin
doakan:
(i) Untuk Seorang Lelaki
أُعِيذُكَ
بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطانٍ وَهامَّةِ، وَمِنْ كُلِّ
عَيْنٍ لَامَّةٍ
"Aku memohon perlindungan untukmu (seorang lelaki)
dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, daripada setiap syaitan dan
binatang berbisa, serta daripada
setiap mata yang jahat (penyakit ‘ain).."
(ii) Untuk Seorang Perempuan
أُعِيذُكِ
بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطانٍ وَهامَّةِ، وَمِنْ كُلِّ
عَيْنٍ لَامَّةٍ
"Aku memohon perlindungan untukmu (seorang
perempuan) dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, daripada setiap
syaitan dan binatang berbisa, serta
daripada setiap mata yang jahat (penyakit ‘ain)."
(iii) Untuk Ramai Lelaki atau Campuran Lelaki &
Perempuan
أُعِيذُكُمْ
بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطانٍ وَهامَّةِ، وَمِنْ كُلِّ
عَيْنٍ لَامَّةٍ
"Aku memohon perlindungan untuk kamu semua
(lelaki/ramai) dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, daripada setiap
syaitan dan binatang berbisa, serta
daripada setiap mata yang jahat (penyakit ‘ain)."
(iv) Untuk Ramai Perempuan Sahaja
أُعِيذُكُنَّ
بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطانٍ وَهامَّةِ، وَمِنْ كُلِّ
عَيْنٍ لَامَّةٍ.
"Aku memohon perlindungan untuk kamu semua
(perempuan) dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, daripada setiap
syaitan dan binatang berbisa, serta
daripada setiap mata yang jahat (penyakit ‘ain)."
2 - Disyariatkan bagi seorang Muslim untuk memohon
perlindungan bagi anak-anaknya dan sesiapa yang disayanginya dengan
kalimat-kalimat ini, yang dengan kurniaan Allah dapat memelihara daripada
setiap orang yang melemparkan pandangan mata jahat ('ain), orang yang dengki,
dan daripada setiap kejahatan.
3 - Kasih sayang Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kepada al-Hasan dan al-Husain. Kedua-duanya di sisi Baginda
adalah berkedudukan seperti anak sendiri
4 - Kedudukan istimewa bapa para Nabi, Ibrahim ‘alaihissalam
di sisi Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam, di mana Baginda memohon perlindungan untuk al-Hasan dan
al-Husain seraya bersabda: "Sesungguhnya bapa kamu berdua pernah memohon
perlindungan dengannya untuk Ismail dan Ishak".
Baginda menamakannya sebagai "bapa" hanyalah
kerana beliau adalah datuk yang tertinggi (moyang).
5 – Perbuatan baginda yang mengikuti Nabi Ibrahim ini membuktikan
firman Allah Ta’ala:
إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ
بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا ۗ
وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ
"Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim
ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad), serta orang-orang
yang beriman, dan Allah adalah Penolong sekalian orang yang beriman."
Ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam merupakan pewaris sebenar ajaran
Nabi Ibrahim ‘alaihissalam yang menyambung legasi dakwah datuk
moyangnya, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam.
Selain itu Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam juga turut menyerupai kejadian fizikal Ibrahim ‘alaihissalam,
berdasarkan sabda Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam:
أَمَّا إِبْرَاهِيمُ
فَانْظُرُوا إِلَى صَاحِبِكُمْ
"Adapun Ibrahim, maka lihatlah kepada sahabat kamu ini
(merujuk kepada diri Baginda sendiri)".
Baginda berkata demikian ketika menceritakan kepada para sahabatnya tentang para Nabi yang dilihatnya pada malam Isra' dan Mi'raj.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan