1 - Sufyan al-Thauri berkata: “Keselamatan itu terletak pada tidak sukanya engkau untuk dikenali.”
2 – Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Sufyan berkata
kepadaku: Jauhilah kemasyhuran, aku tidak mendatangi seorang pun melainkan dia
menasihatkan supaya menjauhi kemasyhuran.”
3 - Asim al-Ahwal berkata: “Abu al-'Aliyah, apabila lebih daripada empat orang duduk bersamanya, beliau akan bangun lalu meninggalkan mereka.”
4 - Al-Fudail bin
Iyadh berkata: “Siapa yang suka disebut-sebut, dia tidak akan disebut dan siapa
yang benci disebut-sebut, dia akan disebut.”
5 - Al-Hakim berkata: “Abu Ahmad al-Farra' biasa memberi
fatwa dalam bidang Fiqh, Hadis dan Bahasa Arab dan beliau menjadi rujukan dalam
bidang-bidang tersebut. Apabila disebut tentang para sultan, Abu Ahmad berkata:
Ya Allah, lupakanlah mereka daripada mengingati aku. Sesiapa yang mahu menyebut
namaku di hadapan mereka, maka keraskanlah hatinya agar dia tidak mengingati
aku.’’
6 - Ibrahim bin Adham berkata: “Tidaklah benar-benar tulus
kepada Allah, seorang hamba yang menyukai kemasyhuran.”
7 - Al-Marruzi berkata: Ahmad (bin Hanbal) berkata kepadaku:
“Sampaikanlah kepada Abdul al-Wahhab (al-Warraq): Jadikanlah namamu tidak
masyhur kerana sesungguhnya aku telah diuji dengan kemasyhuran.”
8 - Daripada 'Ubaid al-Qari, beliau berkata: “Bapa saudara
Ahmad (bin Hanbal) telah masuk menemuinya, lalu bertanya: Wahai anak saudaraku,
apakah kerisauan dan kesedihan ini? Lalu beliau (Ahmad) mengangkat kepalanya
dan berkata: Wahai bapa saudaraku, berbahagialah orang yang Allah jadikan
namanya tidak masyhur.”
9 - Muhammad bin al-Hasan bin Harun berkata: “Aku melihat
Abu Abdullah (Ahmad bin Hanbal), apabila beliau berjalan di jalanan, beliau
tidak suka diikuti oleh sesiapa pun.”
10 - Bisyir al-Hafi berkata: “Aku tidak mengetahui seorang pun yang suka untuk dikenali, melainkan akan
rosak agamanya dan akan terdedah aibnya.”
Beliau berkata lagi: “Seorang yang suka dikenali oleh orang
ramai tidak akan merasai kemanisan akhirat.”
11 – Imam al-Syafi'i berkata: “Aku berharap agar setiap ilmu
yang aku ketahui, diketahui oleh orang ramai. Aku mendapat pahala disebabkannya
dan mereka tidak memujiku.”
Sumber:
- Hilyah al-Auliya’ oleh Imam Abu Nu’aim al-Asbahani.
- Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan