Beliau meninggal dunia pada 20 Jun 2018 ketika berusia 106 tahun. Semoga Allah merahmati beliau.
Video para ulama al-Azhar menyantuni Syeikh Mu'awwad Ibrahim
Dalam dunia Islam terdapat dua orang Ibnu Hajar yang terkenal iaitu Ibnu
Hajar al-Asqalani (m. 852H) dan Ibnu Hajar al-Haitami (m. 973H). Imam Ibnu
Hajar al-Asqalani lebih terkenal dalam bidang hadis dengan karyanya yang agung
iaitu Fath al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari. Manakala Imam Ibnu Hajar
al-Haitami pula terkenal dalam bidang fiqh mazhab asy-Syafi’e dengan karyanya Tuhfah
al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj yang merupakan kitab fiqh yang mu’tamad dalam
mazhab asy-Syafi’e.
Mungkin ada di antara kita yang terkeliru antara gelaran al-Haitami (الهيتمي) dengan al-Haithami (الهيثمي), yang manakah gelaran yang betul bagi Imam Ibnu Hajar? Yang betulnya ialah al-Haitami (الهيتمي). Gelaran al-Haithami (الهيثمي) adalah gelaran untuk Imam Ali bin Abi Bakar bin Sulaiman al-Haithami al-Misri (m. 807H), pengarang kitab Majma’ al-Zawaid Wa Manba’ al-Fawaid.
Kitab Majma' al-Zawaid |
Nama dan Nasab
Nama beliau
ialah Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Salmunti
al-al-Haitami al-Azhari al-Wa’ili al-Sa’di al-Makki al-Ansari al-Syafi’e.
Beliau
dinamakan sebagai Ibnu Hajar kerana datuk beliau sentiasa berdiam diri dan
tidak bercakap melainkan kerana sesuatu keperluan yang penting sahaja. Beliau
lebih suka menumpukan perhatian terhadap dirinya sahaja dan tidak sibuk dengan
urusan orang lain. Disebabkan itu orang ramai menyamakan beliau dengan batu (hajar).
Al-Salmunti
merupakan nisbah kepada Salmunt, nama sebuah tempat di al-Syarqiyyah, Mesir.
Keluarga Ibnu Hajar pernah tinggal di sana sebelum berpindah ke Mahallah Abu
al-Haitam.
Al-Haitami pula
merupakan nisbah kepada Mahallah Abu al-Haitam, sebuah kampung yang terletak di
al-Gharbiyyah, Mesir.
Gelaran (laqab)
beliau ialah Syihabuddin dan kunyah beliau ialah Abu al-‘Abbas.
Kelahiran
dan Pembesaran
Beliau
dilahirkan di Mahallah Abu al-Haitam pada penghujung bulan Rajab tahun 909
Hijrah. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Lalu beliau
dijaga oleh datuk sebelah bapanya yang ketika itu berusia lebih 120 tahun. Ibnu
Hajar menyaksikan sendiri datuknya yang berusia lanjut ini masih boleh berfikir
dengan baik dan tidak nyanyuk. Ini adalah berkat ibadat luar biasa yang
dilakukan oleh datuknya meskipun sudah lanjut usia. Di bawah bimbingan
datuknya, beliau mula menghafal al-Quran dan kitab Minhaj al-Talibin
karya Imam al-Nawawi.
Selepas itu
datuknya pula meninggal dunia lalu beliau dijaga oleh dua orang guru kepada ayahnya
iaitu Imam al-Syams al-Syinnawi dan Imam al-Syams Muhammad al-Sarawi ibnu Abi
al-Hama’il. Setelah beberapa ketika Imam al-Syams al-Syinnawi pula mengambil
tanggungjawab menjaga beliau dan membawa beliau ke Masjid Ahmad al-Badawi di
Tanta. Di sana beliau mula mempelajari ilmu dan meneruskan hafalan al-Quran.
Masjid Ahmad al-Badawi |
Menuntut Ilmu
Pada tahun
924 Hijrah, Imam al-Syams al-Syinnawi membawa beliau ke al-Jami’ al-Azhar untuk
mempelajari ilmu hadis, nahu, ma’ani, bayan, usul fiqh, usuluddin, mantik,
faraid, matematik dan perubatan.
Ibnu Hajar
bersungguh-sungguh mempelajari keseluruhan ilmu tersebut sehinggalah beliau
diberikan keizinan oleh guru-gurunya untuk mengajar, menulis dan mengeluarkan
fatwa dalam mazhab al-Syafi’e ketika
usia beliau belum mencapai 20 tahun sebagaimana yang diceritakan sendiri oleh
beliau dalam kitab Thabatnya.
Thabat Ibnu Hajar al-Haitami |
Guru-Guru
Ibnu Hajar
menuntut ilmu dengan ramai ulama-ulama besar di zamanya. Dalam sebahagian
rujukan menyebutkan bahawa guru-guru beliau mencapai 40 orang guru. Beliau juga
sempat bertemu dengan ramai ulama yang berusia panjang. Beliau mengarang sebuah
kitab Thabat untuk menyenaraikan senarai panjang guru-guru beliau
berserta biografi mereka. Di dalamnya juga beliau menyebutkan sanad-sanad milik
beliau yang bersambung ke kitab-kitab ilmu yang utama. Disebutkan di sini
senarai guru-guru beliau yang masyhur yang disusun berdasarkan tarikh wafat mereka:
1 – Syeikh
al-Islam Zakariyya al-Ansari (826H-926H).
Ibnu Hajar
mengambil daripada beliau hadis musalsal awaliah. Ibnu Hajar sangat
banyak memuji dan memuliakan beliau. Ibnu Hajar menceritakan bahawa setiap kali
bertemu dengan beliau pasti beliau akan mendoakan Ibnu Hajar diberikan
kefahaman dalam ilmu agama.
2 – Imam
Zainuddin Abdul Haqq bin Muhammad al-Sunbati (842H-931H).
Ibnu Hajar
sempat belajar sebahagian besar Kutub al-Sittah dengan beliau dan bakinya
beliau ijazahkan.
3 – Al-Syams
ibnu Abi al-Hama’il (m. 932H).
4 –
Al-Syihab al-Sa’igh, Ahmad bin al-Sa’igh al-Hanafi (m. 934H).
Ibnu Hajar
belajar dengan beliau ilmu perubatan.
5 –
Al-Syams al-Dalji, Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Dalji
al-‘Uthmani al-Syafi’e (860H-947H).
Ibnu Hajar
belajar ilmu ma’ani dan bayan serta ilmu usul fiqh, usuluddin dan mantik dengan
beliau.
6 –
Al-Syams al-Dhairuti, Muhammad bin Sya’ban bin Abu Bakar bin Khalaf al-Dimyati,
terkenal dengan nama Ibnu al-‘Arus al-Misri (870H-949H).
Beliau
mengajar di makam Imam al-Syafi’e dan beliau juga ada mengarang syarah ke atas
kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam al-Nawawi.
Ibnu Hajar
belajar ilmu nahu dengan beliau.
7 – Ahmad
bin Abdul Haqq al-Sinbati al-Syafi’e al-Misri (m. 950H).
Ibnu Hajar
belajar ilmu usul fiqh dan usuluddin dengan beliau.
8 – Abu
al-Hasan al-Bakri, Muhammad bin Muhammad bin Abdul Rahman al-Bakri al-Siddiqi
al-Syafi’e (m. 952H).
Ibnu Hajar
belajar dengannya beberapa buah ilmu. Beliau bersama Ibnu Hajar pernah
bersama-sama membaca Sahih Muslim kepada Syeikh al-Islam Zakariyya
al-Ansari. Mereka berdua juga pernah melakukan haji bersama-sama dan tinggal di
Mekah pada tahun 934H. Beliau mempunyai syarah ke atas Minhaj al-Talibin
dan kitab al-‘Ubab.
9 – Al-Syams
al-Hattabi, Muhammad bin Muhammad bin Abdul Rahman al-Hattab al-Ru’aini
al-Andalusi (m. 954H).
Ibnu Hajar
belajar ilmu nahu dan saraf dengan beliau.
10 – Al-Syihab
al-Ramli, Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Misri al-Syafi’e (m. 957H)
Beliau
telah mengizinkan Ibnu Hajar untuk mengajar dan mengeluarkan fatwa ketika Ibnu
Hajar belum sampai usia 20 tahun.
11 – Al-Nasir
al-Laqqani, Muhammad bin al-Hasan al-Laqqani al-Maliki (m. 958H).
Ibnu Hajar belajar dengannya beberapa buah ilmu seperti mantik, usul fiqh, usuluddin, ma’ani dan bayan.
Berhijrah
Ke Mekah
Ibnu Hajar
kerap kaji berulang-alik ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah dan beliau
juga pernah tinggal di sana selama beberapa tahun.
Ziarah
beliau yang pertama ialah pada tahun 934 Hijrah bersama gurunya, al-Bakri. Kali
kedua pada tahun 938 Hijrah.
Kemudian
pada tahun 940 Hijrah beliau ke Mekah untuk kali ketiga dan membuat keputusan
untuk menetap di sana. Beliau tinggal di sana selama 34 tahun sehinggalah
beliau meninggal dunia di sana.
Disebutkan
dalam sebahagian biografi beliau bahawa sebab perpindahan beliau ke Mekah
disebabkan kewujudan beberapa orang di Kaherah yang berhasad dengki dengan
beliau. Ketika berada di Kaherah, beliau sibuk meringkaskan dan mensyarahkan
kitab Raudh al-Talib karangan Ibnu al-Muqri’. Sebahagian ulama meminta
untuk meminjam kitab tersebut bagi menyalinnya. Orang yang dengki dengan beliau
mengambil kesempatan untuk memusnahkan kitab tersebut. Perkara tersebut
menyebabkan beliau merasa sangat sedih sehingga jatuh sakit untuk beberapa
ketika. Perkara tersebut juga membuatkan beliau membulatkan tekad untuk
meninggalkan Kaherah dan menetap di Mekah.
Selama
menetap di Mekah juga beliau kerap kali berziarah ke Madinah al-Munawwarah.
Dalam salah satu ziarah beliau ke sana beliau menulis kitab al-Jauhar
al-Munazzam Fi Ziyarah al-Qabr al-Mukarram.
Dalam
biografi beliau juga tidak dicatatkan bahawa beliau ada melakukan pengembaraan
selain ke Mekah dan Madinah.
Rakan-Rakan
Ibnu Hajar
mempunyai ramai rakan, antaranya:
1 –
Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (919H-1004H). Beliau bersama-sama Ibnu
Hajar pernah belajar dengan bapanya, al-Syihab al-Ramli. Mereka berdua juga
pernah bersama-sama belajar Sahih al-Bukhari dengan Syeikh al-Islam
Zakariyya al-Ansari.
2 –
Badruddin al-Ghazi al-Syafi’e (m. 984 H). Ibnu Hajar bertemu dengannya di
Mesir. Mereka berdua juga pernah bersama-sama belajar Sahih al-Bukhari
dengan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari. Kemudian mereka bertemu semula di
Mekah pada tahun 952 Hijra.
3 – Abdul
Aziz bin Ali al-Zamzami al-Syafi’e al-Makki (m. 976 H). Beliau merupakan rakan
Ibnu Hajar setelah Ibnu Hajar berpindah ke Mekah. Mereka pernah berjalan
bersama untuk bertemu dengan para ulama.
Murid-Murid
Selepas
Ibnu Hajar menetap di Mekah, tersebarlah berita kemasyhuran beliau sehingga
menarik minta murid-murid untuk belajar dengan beliau. Ramai ulama besar kurun
ke-10 Hijrah yang belajar dengan beliau, antaranya:
1 – Abdul
Rahman bin Umar bin Ahmad al-‘Amudi (m. 967 H). Berasal dari Qaidun, Hadramaut.
2 – Abdul
Qadir bin Ahmad bin Ali al-Fakihi al-Makki al-Syafi’e (920H-982H). Beliau
mempunyai menulisan yang banyak. Beliau melazimi Ibnu Hajar dalam masa yang
lama dan menulis risalah bertajuk Fadhail Ibnu Hajar al-Haitami.
3 – Abdul
Rauf bin Yahya bin Abdul Rauf al-Zamzami al-Wa’iz (930H-984H). Antara murid
senior Ibnu Hajar. Beliaulah yang menghimpunkan fatwa guru beliau dan
mensyarahkan kitab Mukhtasar al-Idhah karangan gurunya.
4 – Muhammad
Tahir al-Fattani al-Hindi al-Hanafi (913H-986H).
5 – Syeikh
bin Abdullah bin Syeikh al-‘Aidrus, pengarang kitab al-‘Aqd al-Nabawi
(919H-990H). Beliau belajar dengan bapanya dan ulama Tarim. Beliau tinggal di
Mekah selama tiga tahun (941H-944H).
6 –
Syihabuddin Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi al-Misri al-Syafi’e (m. 994H). Beliau
mempunyai hawasyi atas kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibnu
Hajar.
7 – Abdul
Rahman bin Syihabuddin al-Akbar al-‘Alawi al-Husaini al-Tarimi (945H-1014H).
Beliau tinggal di Mekah selama beberapa ketika dan belajar dengan Ibnu Hajar.
Karya
Penulisan
Ibnu Hajar
termasuk di kalangan ulama yang banyak menulis sehingga ada sebahagian pengkaji
yang cuba menghimpunkan senarai judul karya penulisan Ibnu Hajar al-Haitami dan
berjaya menghimpunkan sebanyak 117 buah judul kitab dalam pelbagai lapangan
ilmu seperti fiqh, hadis, sirah, biografi, nahu, sastera, akhlak, akidah dan
lain-lain. Berikut adalah senarai sebahagian hasil karya beliau:
1 - Syarah
Alfiyyah Ibnu Malik
Ibnu Hajar
al-Haitami menyebutkan tentangnya dalam kitab al-Fath al-Mubin Bi Syarah
al-Arba’in. Beliau menyelesaikan penulisan syarah ini pada tahun 930 Hijrah
ketika berusia 21 tahun.
2 - Al-Fath
al-Mubin Bi Syarah al-Arba’in
Merupakan
syarah kepada al-Arba’in al-Nawawiyyah. Kitab ini sudah diterbitkan.
3 - Al-Fatawa
al-Hadithiyyah
Kitab ini
sudah diterbitkan beberapa kali. Kitab ini mengandungi banyak faedah dan tidak
khusus berkaitan ilmu hadis sahaja bahkan berkaitan dengan ilmu-ilmu yang lain
juga.
4 - Fath
al-Ilah Bi Syarah al-Misykah
Beliau
menulisnya pada tahun 954 Hijrah selepas mendapat pemintaan daripada ulama
India. Merupakan syarah kepada Misykat al-Masabih karya al-Tibrizi.
Kitab ini sudah diterbitkan.
5 - Al-Fatawa
al-Fiqhiyyah al-Kubra
Dikumpulkan
oleh murid senior beliau, Abdul Rauf al-Wa’iz al-Zamzami. Diterbitkan di Mesir
dalam 4 jilid bersama Fatwa al-Syihab al-Ramli.
6 - Tuhfah
al-Muhtaj Bi Syarah al-Minhaj
Merupakan
syarah kepada Minhaj al-Talibin karya Imam al-Nawawi. Ibnu Hajar
al-Haitami mengarangnya dalam masa enam bulan sahaja. Kitab ini merupakan
sebuah kitab yang sangat penting dalam fiqh mazhab al-Syafi’i dan menjadi
pegangan utama untuk berfatwa khususnya di Hadramaut dan beberapa buah negara
yang lain. Kitab ini telah diberi khidmat oleh ulama sama ada meletakkan hashiyyah
baginya atau meringkaskannya.
7 - Al-Manhaj
al-Qawim Bi Syarah Masail al-Ta’lim
Syarah
kepada al-Muqaddimah al-Hadramiyyah. Ibnu Hajar al-Haitami mengarangnya
pada tahun 944 Hijrah selepas mendapat pemintaan daripada Abdul Rahman
al-‘Amudi. Kitab ini telah dimanfaatkan oleh ramai penuntut ilmu sehinggakan
ada sebahagian murid Ibnu Hajar yang mengatakan: “Sangat sedikitlah kamu dapat
lihat pelajar yang tidak mempunyai naskah kitab ini.”
8 - Al-Minah
al-Makkiyyah Fi Syarah al-Hamziyyah.
Syarah
kepada al-Hamziyyah karya al-Imam al-Busiri.
9 - Al-Durr
al-Mandud Fi al-Solah Wa al-Salam ‘Ala Sahih al-Maqam al-Mahmud
Menghimpunkan
hukum hakam berkaitan selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
10 - Al-I’ab
Syarah al-‘Ubab
Kitab ini
di antara kitab beliau yang paling besar. Kitab ini mensyarahkan kitab al-‘Ubab
karya Imam al-Muzajjad al-Yamani. Ibnu Hajar tidak sempat menyelesaikan kitab
ini dan beliau hanya sempat menulis sehingga bab al-Iqrar sahaja.
11 - Al-Imdad
Bi Syarah al-Irsyad
Merupakan
syarah besar kepada kitab al-Irsyad karangan Ibnu al-Muqri’.
12 - Fath al-Jawad Syarah al-Irsyad
Merupakan
syarah kecil kepada kitab al-Irsyad karangan Ibnu al-Muqri’. Ringkasan
kepada kitab al-Imdad.
13 - Ithaf
Ahl al-Islam Bi Khususiyat al-Siyam
Kitab ini
menghimpunkan hadis dan athar yang berkaitan dengan puasa berserta
penjelasan hukum hakam yang disepakati dan diperselisihkan berkaitan puasa.
14 - Asyraf
al-Wasail Ila Fahm al-Syamail
Syarah
kepada al-Syamail karangan al-Tirmizi.
15 - Al-I’lam
Bi Qawati’ al-Islam
Ibu Hajar
menyebutkan dalam kitab ini beberapa lafaz yang boleh menyebabkan penuturnya
menjadi kufur. Beliau menukilkan pendapat beberapa ulama mazhab fiqh tentang
lafaz tersebut, bermula dengan lafaz yang dianggap kufur oleh ulama mazhab
al-Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hanbali.
16 - Tathir
al-Jinan Wa al-Lisan ‘An al-Tafawwuh Bi Thalb Mu’awiyah bin Abi Sufyan
Menerusi
kitab ini, Ibnu Hajar menjelaskan berkenaan kelebihan Mu’awiyah dan kritikan
terhadap golongan Rafidhah yang mencela beliau selain menetapkan kebenaran
berada pada pihak Ali bin Abi Talib.
17 - Al-Jauhar
al-Munazzam Fi Ziyarah al-Qabr al-Syarif al-Nabawi al-Mukarram
Ibnu Hajar
menjelaskan berkenaan pensyariatan menziarahi kubur Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam, galakan untuk melakukan perjalanan bagi menziarahinya berserta
adab-adabnya.
18 - Al-Zawajir
‘An Iqtiraf al-Kabair
Ibnu Hajar
menyebutkan dalam kitab ini tentang takrif dosa besar, jenis-jenisnya dan
hukum-hukumnya. Kemudian beliau menyenaraikan sekumpulan dosa-dosa besar dan
menyebutkan dalil pengharamannya bagi setiap dosa tersebut dan pendapat ulama
tentangnya. Terdapat 467 jenis dosa besar dalam kitab ini.
19 - Al-Sawa’iq
al-Muhraqah Fi al-Radd ‘Ala Ahl al-Bida’ Wa al-Zandaqah
Ibnu Hajar
membincangkan berkenaan kepimpinan (imamah) dan sahabat, perkara yang
berkaitan dengan Khulafa’ al-Rasyidin, Ahli Bait dan penolakan
terhadap pandangan-pandangan menyimpang tentang perkara-perkara tersebut.
20 - Al-Khairat
al-Hisan Fi Manaqib al-Imam al-A’zam Abi Hanifah al-Nu’man
Kitab
berkenaan biografi Imam Abu Hanifah dan pembelaan terhadap beliau daripada
perkara-perkara yang tidak benar dinisbahkan kepada beliau.
21 - Itmam
al-Ni’mah al-Kubra ‘Ala al-‘Alam Bi Maulid Sayyid Walad Adam
Dalam kitab
ini Ibnu Hajar menyebutkan tentang asal usul sambutan Maulid Nabi, hukumnya,
pengingkaran terhadap perbuatan salah sesetengah orang dalam sambutan Maulid
Nabi dan ringkasan sirah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
22 - Tuhfah
al-Zuwwar Illa Qabr al-Nabi al-Mukhtar
Ibnu Hajar
menyebutkan di dalamnya tentang pensyariatan menziarahi kubur Nabi sallahu
‘alaihi wasallam, galakan untuk melakukan perjalanan bagi menziarahinya, tawassul
penziarah dan meminta syafaat daripada baginda, adab-adab tinggal di Madinah
dan masjid-masjid dan kesan-kesan peninggalan baginda yang seharusnya
diziarahi.
23 - Al-Qaul
al-Mukhtasar Fi ‘Alamat al-Mahdi al-Muntazar
Kitab ini
membincangkan tentang Imam Mahdi dan merupakan ringkasan kepada dua buah kitab;
al-‘Arf al-Wardi Fi Akhbar al-Mahdi karangan al-Suyuti dan al-Qana’ah
Fi Fa Yuhsin al-Ihatah Bihi Min Asyrat al-Sa’ah karangan al-Sakhawi.
Kematian
Setelah
beliau berusia lanjut, beliau mula ditimpa sakit yang menyebabkan beliau tidak
dapat meneruskan pengajaran ilmu selama lebih 20 hari. Pada 21 Rajab tahun 974
Hijrah beliau mula menulis wasiat terakhir beliau dan pada waktu Duha hari
Isnin 23 Rajab tahun yang sama beliau pulang ke rahmatullah.
Jenazah
beliau disolatkan di bawah pintu Kaabah dan disemadikan di perkuburan
al-Ma’lah, di kawasan yang dikenali sebagai perkuburan al-Tabariyyin dan tidak
jauh dari kawasan sahabat mulia, Abdullah bin al-Zubair disalib.
Semoga
Allah mengampuni dan merahmati beliau atas jasa dan khidmat beliau kepada Islam.
Perkuburan al-Ma'lah |
*Tulisan ini saya telah kemaskini semula pada 10/3/2023 dengan beberapa penambahan maklumat. Semoga bermanfaat.