اسْتَكْثِرْ
مِنَ النَّاسِ مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ لَكَ، فَإِنَّ الْعَبْدَ لَا يَدْرِي عَلَى
لِسَانِ مَنْ يُسْتَجَابُ لَهُ أَوْ يُرْحَمُ، وَلِذَلِكَ جَعَلَ اللَّهُ عَزَّ
وَجَلَّ الْمُسْلِمِينَ شُفَعَاءَ بَعْضِهِمْ لِبَعْضٍ
“Banyakkanlah
meminta doa daripada orang lain untuk kebaikan dirimu. Sesungguhnya seorang
hamba itu tidak mengetahui lisan siapakan di antara manusia itu yang dikasihi
oleh Allah dan dikabulkan baginya (apabila dia berdoa). Disebabkan itu Allah
menjadikan kaum Muslimin itu sebagai pemberi syafaat sesama mereka.”
Takhrij hadis
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daraqutni (m. 385H) dalam Gharaib Malik, Tamam al-Razi (m. 414H) dalam
Fawaid Tamam, dan al-Khatib al-Baghdadi (m. 463H) dalam al-Ruwah ‘An Malik,
kesemuannya meriwayatkan melalui jalur perawi Nusair bin Abi ‘Uqbah@’Utbah al-Balisi
al-Daqqaq daripada ‘Ali bin ‘Isa al-Ghassani daripada Malik bin Anas daripada
hadis Abu Hurairah.
Penilaian hadis
Hadis ini diisyaratkan sebagai
daif oleh al-Hafiz al-Sayuthi (m. 911H) dalam al-Jami’ al-Saghir.
Al-Munawi (m. 1031H) dalam al-Taisir
Bi Syarh al-Jami’ al-Saghir mengatakan bahawa sanadnya daif.
Dalam Faidh al-Qadir Syarh
al-Jami’ al-Saghir pula al-Munawi menyatakan bahawa penulis (al-Sayuthi)
berdiam diri (daripada mengisyaratkan status hadis ini) dan sesiapa yang
menyangka bahawa penulis mengisyaratkan kedaifan hadis ini maka dia telah
terkeliru.
Dalam kitab al-Jami’ al-Saghir
yang dicetak bersama kitab Faidh al-Qadir jelas menunjukkan bahawa
al-Hafiz al-Sayuthi mengisyaratkan huruf dhad (ض)
bagi hadis ini sebagai tanda kedaifannya. Barangkali naskhah al-Jami’
al-Saghir yang sampai kepada al-Munawi tidak terdapat tanda ini. Wallahu
a’lam.
Muhammad bin Ismail al-San’ani (m.
1182H) dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir juga dilihat bersetuju
dengan penilaian al-Hafiz al-Sayuthi.
Nusair bin Abi ‘Uqbah@’Utbah dan ‘Ali
bin ‘Isa al-Ghassani dinilai sebagai majhul (tidak dikenali) oleh al-Daraqutni
dan al-Khatib al-Baghdadi. Entah kerana apa, Al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan
al-I’tidal mengatakan bahawa Ali bin ‘Isa al-Ghassani ini meriwayatkan
khabar palsu daripada Malik. Kemungkinan ia hanya daif sahaja dan tidak sampai
ke tahap palsu. Wallahu a’lam.
Kritikan
Dalam buku Himpunan Hadis
Masyhur (ms. 345) karangan Dr Budah@Udah Mohsin dan Dr Jawiah Dakir menyatakan
bahawa menurut al-Sayuthi hadis ini diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi di
dalam kitabnya al-Tarikh.
Ini adalah satu kesilapan kerana
hadis ini tidak diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad
sebaliknya kitab Ruwah Malik@al-Ruwah ‘An Malik. Penulis juga
merujuk kepada al-Albani sedangkan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith
al-Dha’ifah Wa al-Maudhu’ah turut menyatakan bahawa ia diriwayatkan oleh
al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Ruwah ‘An Malik.
Pengajaran hadis
Hadis ini mengandungi galakan
memohon doa daripada orang-orang mukmin secara umumnya dan lebih-lebih lagi daripada orang-orang soleh, ahli ibadat dan orang yang zuhud kerana ada manusia di
kalangan hamba-hamba Allah ini yang dikasihi olehNya dan apabila dia berdoa
nescaya dimustajabkan doanya.
Wallahu a’lam.
Wallahu a’lam.