Soalan:
Assalamualaikum ustaz, maaf
menganggu tengah malam. Saya ingin bertanya tentang status periwayatan khabar
ini.
Jawapan:
عَن أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: سُئِلَ النَّبِي عَن
الْأَيَّام وَسُئِلَ عَن يَوْم الْأَرْبَعَاء قَالَ يَوْم نَحس قَالُوا وَكَيْفَ
ذَاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أغرق الله فِرْعَوْن وَقَومه وَأهْلك عادًا
وثمودًا.
Daripada Anas bin Malik, beliau
berkata:
“Nabi sallahu 'alaihi wasallam
ditanya tentang hari-hari dan baginda ditanya tentang hari Rabu. Baginda
menjawab: (Hari Rabu) adalah hari yang celaka. Sahabat bertanya: Mengapa begitu
wahai Rasulullah? Baginda menjawab: (Pada hari tersebut) Allah menenggelamkan
Firaun dan kaumnya dan membinasakan (kaum) 'Ad dan Thamud."
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu
Mardawaih sebagaimana dalam kitab al-Laali al-Masnu'ah oleh al-Hafiz
al-Sayuthi.
Hadis tersebut sama ada palsu atau sangat
daif.
Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abu
al-Akhyal Khalid bin 'Amru al-Homsi. Kata al-Hafiz al-Sayuthi: "Abu
al-Akhyal dituduh (berdusta)."
Kata Ja’far al-Firyabi: “Aku
melihat Abu al-Akhyal ini di Homs dan aku tidak menulis (hadis) daripadanya
kerana dia berdusta.” [Al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ al-Rijal]
Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil: “Dia
meriwayatkan hadis-hadis yang mungkar daripada perawi-perawi thiqah.”
Al-Daraqutni mendaifkan dia
manakala Ibnu Hibban menyebutkan dia dalam al-Thiqat dan berkata: “Kadang
kala dia melakukan kesilapan.” [Lisan al-Mizan]
Ibnu al-Jauzi dan al-Zahabi
menuduhnya memalsukan hadis. [Al-Kasyf al-Hathith]