Hadis ini diriwayatkan
daripada hadis Anas bin Malik dan Abu Hurairah.
1 - Hadis Anas diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh
Baghdad dan Ibnu al-Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah daripada
jalur perawi:
Wahab bin Daud bin
Sulaiman al-Mukharrimi daripada Isma’il bin
Ibrahim daripada Abdul ‘Aziz bin Suhaib daripada Anas bin Malik, beliau
berkata:
كُنْتُ وَاقِفًا بَيْنَ
يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَنْ صَلَّى
عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَ
ثَمَانِينَ عَامًا، فَقِيلَ لَهُ: كَيْفَ الصَّلاةُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟
قَالَ: تَقُولُ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ
وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ، وَتَعْقِدُ وَاحِدَةً.
“Aku berdiri di
hadapan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda bersabda:
Sesiapa yang
berselawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali Allah akan mengampunkan
dosanya selama 80 tahun.
Seseorang bertanya
kepada baginda: Bagaimanakan selawat ke atasmu wahai Rasulullah?
Baginda bersabda: Kamu
katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى
مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ
Ya Allah, limpahkanlah
rahmat ke atas Muhammad, hambaMu, NabiMu, RasulMu, seorang Nabi yang ummi.
Dan kamu anggap bacaan
tersebut sebagai sekali (bacaan selawat).”
Dalam kitab al-‘Ilal
al-Mutanahiyyah yang telah dicetak, disebutkan bahawa selawat tersebut
dibaca sebanyak 200 kali.
Perawinya iaitu Wahb bin Daud bin
Sulaiman al-Mukharrimi ini kata al-Khatib al-Baghdadi: “Tidak thiqah.” Menurut Ibnu al-Jauzi hadis ini tidak
sahih. Al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Mughni
Fi al-Dhu’afa’ menganggap hadis ini hasil pemalsuan Wahb bin Daud. Syeikh Dr Khaldun al-Ahadab dalam Zawaid Tarikh Baghdad juga menghukum hadis ini sebagai palsu.
2 - Hadis Abu Hurairah pula diriwayatkan oleh Ibnu Syahin dalam al-Targhib,
Ibnu Basykuwal dalam al-Qurbah, al-Dailami dalam al-Firdaus dan
Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar daripada jalur perawi:
‘Aun bin ‘Umarah daripada Sakan al-Burjumi daripada Hajjaj
bin Sinan daripada ‘Ali bin Zaid bin Jud’an daripada Sa’id bin
al-Musayyib daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
الصَّلَاةُ عَلَيَّ نُورٌ
عَلَى الصِّرَاطِ فَمَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً
غُفِرَتْ لَهُ ذُنُوبُ ثَمَانِينَ عَامًا
“Selawat ke atasku
adalah cahaya ketika berada di Sirat. Sesiapa yang berselawat ke atasku pada
hari Jumaat sebanyak 80 kali diampunkan baginya akan dosa-dosanya selama 80
tahun.”
Al-Sakhawi dalam al-Qaul
al-Badi’ menyatakan bahawa hadis ini turut diriwayatkan oleh Ibnu Syahin
dalam al-Afrad, Abu al-Syeikh, al-Dhiya’, Abu al-Yumn Ibnu ‘Asakir,
al-Daraqutni dalam al-Afrad dan al-Azdi.
Kata Ibnu Hajar: “Keempat-empat
perawi tersebut (‘Aun, Sakan, Hajjaj dan ‘Ali bin Zaid) adalah daif.”
Perawinya Hajjaj bin Sinan tidak
dithiqahkan oleh mana-mana ahli hadis pun. Kata al-Azdi: “Dia matruk (ditinggalkan
hadisnya).”
Al-Azdi meskipun terkenal sebagai seorang yang mutasyaddid
(keras) dalam menghukum perawi, namun penilaian beliau terhadap Hajjaj bin
Sinan dapat diterima kerana tidak ada ulama yang menthiqahkan Hajjaj bin
Sinan.
Al-Hafiz al-Zahabi dan al-Hafiz Ibnu Hajar masih mengambil kira
penilaian al-Azdi jika seorang perawi itu tidak ada penilaian ulama lain
terhadapnya.
Al-Hafiz al-‘Iraqi
dalam Takhrij Hadis Ihya’ menukilkan daripada Ibnu al-Nu’man bahawa
beliau menghasankan hadis ini. Tetapi pandangan Ibnu al-Nu’man ini menurut
al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah masih perlu kepada penelitian (يحتاج الى نظر).
Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam tahqiq kitab Bisyarah al-Mahbub Bi Takfir al-Zunub (hlm. 21, c: Maktabah al-Kaherah) juga menganggap penilaian hasan Ibnu al-Nu'man tersebut sebagai tidak tepat.
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan (pada
biografi Hajjaj bin Sinan) menganggap hadis ini sebagai mungkar.
Kesimpulan
Hadis ini sangat
daif kalau ia tidak sampai ke tahap palsu sekalipun. Kedua-dua riwayat tersebut juga tidak saling menguatkan menjadikannya
sebagai hasan kerana setiap satunya adalah sangat daif.
Para ulama hadis menyebutkan beberapa syarat untuk beramal dengan hadis daif dalam fadilat amalan, antaranya ialah ia bukan hadis yang sangat daif. Oleh itu hadis ini tidak termasuk dalam kategori hadis yang boleh diamalkan.
Baca juga: