Disebutkan dalam
kitab Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu
Ghuddah:
Yahya bin
Ma’in pernah bertanya tentang suatu hadis kepada Muhammad bin al-Fadl. Lalu
Muhammad bin al-Fadl sampaikan hadis tersebut. Kata beliau: “Telah menceritakan
kepada kami Hammad bin Salamah...”
Belum
sempat beliau sempurnakan hadis tersebut Yahya bin Ma’in tiba-tiba berkata: “Kalaulah
boleh engkau sampaikan hadis tersebut melalui catatan daripada kitabmu (nescaya
lebih baik).”
Muhammad bin
al-Fadl lalu bangun untuk mendapatkan kitab beliau.
Tiba-tiba
juga Yahya bin Ma’in memegang baju beliau seraya berkata: “Sampaikan terus
kepada aku. Aku bimbang aku tidak akan jumpa kamu lagi.”
Muhammad
bin al-Fadl lalu terus sampaikan hadis tersebut kemudian pergi mendapatkan
kitab beliau dan menyampaikan hadis tersebut sekali lagi kepada Yahya bin Ma’in
melalui catatan daripada kitab beliau.
Daripada
kisah ringkas ini sekurang-kurangnya ada dua pengajaran yang kita boleh
pelajari:
1 – Sikap hati-hati
dan ketelitian para ulama hadis dalam mendapatkan dan menyampaikan ilmu. Mereka
tidak ingin meriwayatkan hadis kecuali melalui catatan buku guru mereka. Guru-guru
hadis juga mempunyai catatan hadis walaupun mereka telah menghafal hadis-hadis
tersebut.
Al-Khatib
al-Baghdadi meriwayatkan dalam kitab al-Jami’ Li Akhlak al-Rawi daripada
Ali bin al-Madini bahawa beliau berkata: “Tidak ada di kalangan sahabat kami
orang yang lebih kuat hafalannya daripada Abi ‘Abdillah Ahmad bin Hanbal. Tetapi
beliau tidak menyampaikan hadis kecuali melalui catatan kitab. Perkara tersebut
menjadi contoh kepada kami.”
2 – Sikap Yahya
bin Ma’in yang bimbang akan kehilangan ilmu daripada gurunya tersebut
menunjukkan kepada kita bagaimana sikap para ulama yang loba dan tamak terhadap
ilmu. Perpisahan sebentar antara beliau dan gurunya itu pun dibimbangi akan menjadi
penghalang beliau mendapatkan ilmu.