1 – Kata guru beliau iaitu Imam Abdul Razzaq
al-San’ani tentang solat beliau: “Ahmad bin Hanbal apabila beliau bersolat
akan mengingatkan aku tentang keperibadian golongan salaf.”
2 – Kata anak
beliau iaitu Abdullah bin Ahmad bin Hanbal: “Bapaku selama sehari semalam
akan bersolat sebanyak 300 rakaat. Apabila beliau jatuh sakit akibat dipukul
(ketika peristiwa Khalq al-Quran) yang menyebabkan beliau semakin lemah, beliau
bersolat selama sehari semalam sebanyak 150 rakaat. Ketika itu usia beliau
sudah hampir 80 tahun.”
3 - Kata Abdullah
bin Ahmad bin Hanbal lagi: “Aku melihat bapaku apabila beliau semakin tua
dan berusia beliau semakin bersungguh-sungguh dalam membaca al-Quran dan
membanyakkan solat (sunat) antara Zohor dan Asar. Apabila aku menjeguk beliau,
beliau berhenti daripada solatnya. Kadang-kala beliau bercakap-cakap dan kadang
kala beliau diam sahaja. Apabila aku melihat keadaan beliau sebegitu, maka aku
keluar dan beliau akan menyambung semula solatnya.”
[Imam Ahmad
buat sebegitu supaya ibadatnya ikhlas kerana Allah dan tidak dirosakkan dengan
perasaan riak dan ujub].
4 – Ibrahim
bin Syammas berkata: “Aku mengenali Ahmad bin Hanbal – ketika itu beliau masih
kecil -, beliau seorang yang menghidupkan malam (dengan ibadat).”
5 – Kadang-kala
Imam Ahmad bin Hanbal mengutamakan muzakarah ilmu hadis dan fiqh melebihi solat
sunat. Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata: “Apabila Abu Zur’ah berkunjung
dan tinggal bersama ayahku, beliau banyak bermuzakarah bersamanya. Suatu hari
aku mendengar bapaku berkata: “Aku tidak solat langsung pada hari ini melainkan
solat fardu. Aku lebih mengutamakan muzakarahku bersama Abu Zur’ah berbanding
solat sunatku.”
Rujukan:
- Ahmad bin
Hanbal Imam Ahl al-Sunnah karangan Abdul Ghani al-Daqar