إنَّ سورَةً مِن القُرآنِ، ثَلاثون
آيَةً، شفَعَت لِرَجُلٍ حتى غُفِرَ له، وهي: {تَبَارَكَ الَّذِي
بِيَدِهِ المُلْكُ}.
“Sesungguhnya ada satu surah daripada
al-Quran yang mempunyai 30 ayat yang akan memberi pertolongan kepada seseorang
itu sehinggalah dia diampunkan, iaitu: Surah al-Mulk.”
Takhrij Hadis:
Riwayat Ahmad (no. 7975 & 8276),
Abu Daud (no. 1400), al-Tirmizi (no. 2891), Ibnu Majah (no. 3786) dan lain-lain
daripada hadis Abu Hurairah. Hadis ini sama ada sahih atau hasan. Imam al-Tirmizi
mengatakannya hasan. Al-Hakim mensahihkannya. Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’
al-Fatawa mengatakan ia sabit. Al-Busiri dalam Misbah
al-Zujajah dan Ithaf al-Khiyarah al-Maharah mengatakan
sanadnya sahih.
Pengajaran Hadis:
1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan
surah al-Mulk dan orang yang sentiasa melazimi membacanya akan diberi syafaat
untuk mendapat pengampunan dosa.
2 - Maksud surah al-Mulk memberi
syafaat kepada pembacanya tersebut dapat difahami secara literal iaitu surah
al-Mulk akan memohon pengampunan dosa daripada Allah untuk pembacanya atau
secara kiasan iaitu pembacaan surah ini menjadi sebab untuk selamat di akhirat
dan mendapat syafaat daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
3 - Pemohonan pengampunan dosa
tersebut boleh jadi berlaku ketika hayat pembaca surah al-Mulk atau boleh jadi
ketika dia sudah meninggal dunia, sama ada ketika di alam kubur atau pada hari
kiamat.
Hadis Kedua
هِيَ الْمَانِعَةُ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ
القَبْرِ.
“Ia (Surah al-Mulk) adalah penghalang,
ia adalah penyelamat, yang menyelamatkan pembacanya daripada azab kubur.”
Takhrij Hadis:
Riwayat al-Tirmizi (no. 2890) daripada hadis Ibnu ‘Abbas. Sanad hadis ini daif. Kata al-Tirmizi: “Gharib.” Kata al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman: “Bersendirian meriwayatkannya oleh Yahya bin ‘Amru, dia tidak kuat.” Namun begitu hadis ini mempunyai penguat daripada hadis Abdullah bin Mas'ud secara marfu' yang diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh dalam Tabaqat al-Muhaddithin Bi Asbahan dan hadis Abdullah bin Mas'ud secara mauquf yang diriwayatkan oleh al-Nasa'i dalam al-Sunan al-Kubra. Kesemua riwayat ini saling menguatkan menjadikan hadis ini hasan li ghairih.
Pengajaran Hadis:
1 - Melazimi pembacaan surah al-Mulk
menjadi asbab terselamat dan terhalang daripada mendapat azab kubur.
2 - Imam Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah
al-Mafatih menyebutkan bahawa mungkin juga pembacaan surah ini dapat
menghalang pembacanya daripada melakukan dosa dan maksiat yang penjadi punca diazab di dalam kubur.
Hadis Ketiga
سُورَةٌ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هِيَ إِلَّا ثَلَاثُونَ آيَةً،
خَاصَمَتْ عَنْ صَاحِبِهَا حَتَّى أَدْخَلَتْهُ الْجَنَّةَ، وَهِيَ سُورَةُ
تَبَارَكَ
“Satu surah daripada al-Quran,
tidaklah ia melainkan hanya 30 ayat. Ia akan mempertahankan pembacanya
sehinggalah ia memasukkan pembacanya ke dalam syurga. Ia adalah surah Tabarak
(Surah al-Mulk).”
Takhrij Hadis:
Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam
al-Ausath (no. 3654) dan Mu’jam al-Saghir (no. 490) serta
Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Mukhtarah (no. 1738) daripada hadis Anas bin
Malik.
Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid mengatakan perawinya adalah
perawi kitab al-Sahih (yakni perawi kitab Sahih al-Bukhari atau Sahih Muslim). Ibnu Hajar dalam Talkhis al-Habir
mengatakan sanadnya sahih. Beliau juga mensahihkan hadis ini dalam Nataij
al-Afkar.
Pengajaran Hadis:
1 - Orang yang pada asalnya tidak dapat masuk ke syuga disebabkan oleh dosa
yang dilakukannya akan dibela dan dipertahankan oleh surah al-Mulk yang
sentiasa dibaca sehinggalah dia dapat masuk ke syurga.
Hadis Keempat
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا
يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَتَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ
الْمُلْكُ
“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
tidak tidur sehinggalah setelah baginda membaca Alif Lam Mim Tanzil (Surah
al-Sajadah) dan Tabarakallazi bi yadihi al-Mulk (Surah al-Mulk).”
Takhrij Hadis:
Riwayat al-Tirmizi (no. 2892) daripada hadis Jabir.
Hadis ini diperselisihkan sama ada ia sahih atau daif.
Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar mengatakan
hadis ini mursal atau mu'dhal (terputus sanadnya) tetapi dalam Fath al-Bari
beliau menyenaraikannya sebagai antara hadis yang sahih berkenaan bacaan
sebelum tidur. Al-Sakhawi dalam al-Ajwibah al-Mardhiyyah mengatakan
riwayat ini mursal.
Hadis ini disahihkan oleh Syeikh Syu’aib al-Arnauth
dalam tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Abdullah al-Talidi
dalam Ithaf al-Muslim dan Syeikh Muhammad 'Awwamah dalam tahqiq
Musannaf Ibnu Abi Syaibah.
Pengajaran Hadis:
1 - Antara amalan yang menjadi kebiasaan Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam lakukan sebelum tidur ialah baginda akan membaca surah
al-Sajadah dan surah al-Mulk. Di samping itu, ada juga surah-surah lain yang
baginda baca sebelum tidur. Saya sebutkannya dalam tulisan saya berkenaan
kelebihan surah al-Sajadah.
Hadis Kelima
لَوَدَدْتُ أنَّها في قَلبِ كُلِّ إنسانٍ مِن
أُمَّتي يعني {تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ المُلْكُ}.
“Aku suka agar ia berada dalam hati setiap insan dari kalangan
umatku (yakni Surah al-Mulk).”
Takhrij Hadis:
Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam
al-Kabir (no. 11611) daripada hadis Ibnu ‘Abbas. Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar mengatakan
hadis ini hasan gharib.
Pengajaran Hadis:
1 - Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam suka agar surah ini dihafal oleh umatnya supaya mudah untuk mereka
membaca dan memahami kandungannya kerana banyak kelebihan yang ada pada surah
ini sebagaimana yang sudah disebutkan dalam hadis-hadis sebelum ini.
*Saya masukkan hadis-hadis yang daif ringan kerana berdasarkan
pendapat jumhur (kebanyakan) ulama sepanjang zaman yang membenarkan
pengamalan hadis daif dalam fadhail al-a'mal (kelebihan
amalan).
*Saya telah kemas kini semula penulisan ini dengan beberapa penambahan maklumat pada 6/9/2021. Semoga bermanfaat buat para pembaca.
Baca juga: