Hadis Pertama
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ
لِلصَّلاَةِ.
“Apabila kamu hendak datang ke tempat tidur kamu, maka berwuduk terlebih
dahulu seperti wuduk kamu untuk mendirikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (no. 247 & 6311) dan Muslim (no. 2710)
daripada hadis al-Bara’ bin ‘Azib.
Pengajaran Hadis:
1 – Disunatkan berwuduk
sebelum tidur dengan menyempurnakan rukun-rukun dan adab-adabnya sebagaimana
berwuduk ketika hendak mengerjakan solat.
3 – Sunat berwuduk
sebelum tidur itu adalah bagi orang yang berhadas. Namun begitu ada juga ulama
yang berpendapat bahawa sunat juga memperbaharui wuduk bagi orang yang hendak
tidur meskipun dia sudah dalam keadaan suci sebelum itu.
2 - Tidur itu seumpama
mati dan boleh jadi juga rohnya akan dicabut ketika sedang tidur. Jadi
seeloknya dia mengakhiri amalannya dengan berwuduk agar rohnya dicabut ketika
jasadnya dalam keadaan suci dari hadas.
4 – Hikmah lain
disunatkan berwuduk sebelum tidur itu supaya mimpinya ketika tidur itu adalah
mimpi yang benar dan jauh daripada mainan syaitan.
Hadis Kedua
مَنْ بَاتَ طَاهِرًا، بَاتَ فِي شِعَارِهِ مَلَكٌ،
فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِكَ فُلَانٍ، فَإِنَّهُ بَاتَ طَاهِرًا.
“Sesiapa
yang tidur dalam keadaan suci, maka seorang malaikat akan berada di dalam bajunya.
Tidaklah orang tersebut bangun melainkan malaikat itu akan berdoa: Ya Allah
ampunilah hambaMu si fulan ini kerana sesungguhnya dia tidur dalam keadaan suci."
Riwayat Ibnu Hibban
dalam Sahihnya (no. 1051) daripada hadis Ibnu ‘Umar.
Hadis Ketiga
طَهِّروا هذِهِ الأجسادَ طَهَّرَكُمُ
اللَّهُ فإنَّهُ ليسَ من عبدٌ يبيتُ طاهرًا إلَّا باتَ معَهُ في شعارِهِ ملَكٌ ولا
ينقَلبُ ساعةً منَ اللَّيلِ إلَّا قالَ : اللَّهُمَّ اغفِر لعبدِكَ فإنَّهُ باتَ
طاهرًا.
"Sucikanlah
tubuh-tubuh kamu ini, semoga Allah menyucikan kamu semua kerana sesungguhnya
tidaklah seorang hamba tidur di malam hari dalam keadaan suci, melainkan
seorang malaikat akan ikut berada bersamanya di dalam bajunya. Tidaklah dia membolak-balikkan
tubuhnya di waktu malam kecuali malaikat itu berdoa: Ya Allah, ampunkanlah hambaMu
ini kerana dia tidur dalam keadaan suci."
Riwayat al-Tabarani
dalam al-Mu’jam al-Ausat (no. 5087) daripada hadis Ibnu ‘Abbas.
Al-Munziri mengatakan sanadnya baik (jayyid) dan al-Haithami
menghukumkan sanadnya sebagai hasan.
Pengajaran Hadis Kedua
dan Ketiga
1 – Galakan tidur
dalam keadaan berwuduk supaya mendapat doa pengampunan daripada malaikat.
Sesungguhnya malaikat itu adalah makhluk Allah yang mustajab doanya.
2 – Malaikat suka untuk
berdamping dengan orang yang sentiasa berada dalam keadaan suci.
3 – Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan menggalakan
umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan suci.
Hadis Keempat
مَنْ أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ طَاهِرًا يَذْكُرُ
اللَّهَ حَتَّى يُدْرِكَهُ النُّعَاسُ لَمْ يَنْقَلِبْ سَاعَةً مِنَ اللَّيْلِ
يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا مِنْ خَيْرِ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ إِلَّا أَعْطَاهُ
إِيَّاهُ.
“Sesiapa yang
pergi menuju ke tempat tidurnya dalam keadaan bersuci dan mengingati Allah
hingga dia tertidur, maka tidaklah dia terbangun pada mana-mana waktu pada
waktu malam tersebut untuk memohon sesuatu kepada Allah sama ada kebaikan dunia dan akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya.”
Riwayat al-Tirmizi
(no. 3526)
daripada hadis Abu Umamah al-Bahili. Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan
gharib.”
Hadis Kelima
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا،
فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا
وَالْآخِرَةِ إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ.
“Tiada seorang Muslim yang tidur dengan
berzikir dan dalam keadaan bersuci, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu
dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, melainkan Allah akan
memperkenankan hajatnya.”
Riwayat Abu Daud (no. 5042), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra
(no. 10642) dan Ibnu Majah (3881) daripada hadis Mu’az bin Jabal.
Pengajaran Hadis Keempat
dan Kelima
1 – Disunatkan tidur
dalam keadaan yang suci daripada hadas kecil dan besar.
2 – Galakan untuk
mengingati Allah sebelum tidur sama ada dengan berzikir atau membaca al-Quran.
3 – Anjuran untuk
menggunakan kesempatan terjaga di waktu tengah malam untuk berdoa kepada Allah
bagi kebaikan dunia dan akhiratnya.
4 – Kelebihan orang
yang bersuci dan berzikir sebelum tidur bahawa doanya akan dimakbulkan oleh
Allah.