Selasa, 3 Februari 2026

Tafsir al-Mu'in: Surah al-Ma'un

 

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ١

Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan).”

Tafsir Ayat 1:

Berasa hairanlah – wahai orang yang boleh memerhati dan berfikir – akan keadaan orang yang mendustakan hukum pembalasan Tuhan, yang disegerakan sebahagiannya di dunia, dan yang ditangguhkan (sebahagian lagi) sehingga hari Pembalasan?

 فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ٢

Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim.”

Tafsir Ayat 2:

Engkau akan dapati antara sifat orang yang mendustakan agama itu ialah dia menindas anak yatim, serta menghalangnya daripada hak dan hartanya dengan cara yang kasar dan keras.

 وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ٣

Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”

Tafsir Ayat 3:

Dia tidak memberi makan kepada orang miskin yang kelaparan, dan tidak pula menyuruh orang lain untuk memberinya makan. Ini kerana dia mendustakan hukum pembalasan Tuhan, maka tercabutlah dari hatinya rasa takut akan azab Allah atau keinginan untuk mendapatkan pahala-Nya, lalu tumbuhlah dalam dirinya sifat mementingkan diri yang sempit, dan dia kehilangan rasa belas kasihan.

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ٤

(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang.”

الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ٥

(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

Tafsir Ayat 4 dan 5:

Maka kecelakaan dan azab yang dahsyat bagi orang-orang yang solat, iaitu mereka yang lalai terhadap solat mereka – yang mana sebahagian bentuk solat itu mereka warisi daripada agama Ismail bin Ibrahim – dan meninggalkannya, tidak mengharapkan ganjaran pahala apabila melakukannya, dan tidak takut akan azab seksa apabila meninggalkannya.

 الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ٦

(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”

Tafsir Ayat 6:

Iaitu mereka yang menunjuk-nunjukkan amalan mereka kepada manusia, untuk memperoleh kedudukan di hati mereka dan pujian ke atas mereka, kerana mereka adalah penduduk Tanah Haram, penjaga Baitullah, dan pemegang jawatan-jawatan keagamaan lain yang memberikan mereka kepentingan dan manfaat duniawi.

Namun, mereka tidak mendapat manfaat daripada amalan-amalan soleh yang mereka riakkan kepada manusia itu, kerana mereka tidak menyertakannya dengan iman yang benar, dan tidak diniatkan kerana Allah ‘Azza wa Jalla.

Di dalam ayat ini terkandung celaan terhadap riak, dan galakan untuk memberi pinjam barang (‘ariyah), iaitu: memberikan manfaat sesuatu barang untuk sementara waktu tanpa balasan.

 وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ٧

Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”

Tafsir Ayat 7:

Orang-orang yang mendustakan hukum pembalasan Tuhan akan menghalang pemberian bantuan-bantuan yang kecil, yang manusia tidak mengendahkan kadar nilai dan harganya, daripada (diberikan kepada) golongan yang memerlukannya dalam kalangan jiran dan kenalan mereka. 

Sumber:

Tafsir al-Mu’in – Syeikh Majid Makki.