Definisi Ilmu Kalam:
Ramai dalam kalangan penuntut ilmu yang mempunyai pandangan yang berbeza (tentang Ilmu Kalam) sebenarnya tidak mengetahui apakah itu Ilmu Kalam,
lantaran itu mereka menyerangnya tanpa ada sebarang pengetahuan.
Ilmu Kalam merupakan ilmu untuk mengkaji akidah dan menolak
syubhat (keraguan) dengan menggunakan dalil-dalil akal.
Ini merupakan pendekatan Ahli Sunnah sebagaimana yang
dinyatakan oleh Ibn Hamdan al-Hanbali dalam kitab Sifat al-Fatwa.
Al-Imam al-'Allamah al-Safarini al-Hanbali dalam Lawami’
al-Anwar berkata:
"Definisi Ilmu Kalam yang merupakan Ilmu Tauhid dan
Usuluddin: Mengetahui akidah-akidah agama melalui dalil-dalil yang meyakinkan,
iaitu pengetahuan mengenai kaedah-kaedah syarak yang bersifat iktikad
(kepercayaan) yang diperoleh daripada dalil-dalilnya yang meyakinkan."
Tujuannya:
Al-Safarini menyebutkan bahawa tujuan ilmu ini adalah untuk
menolak kelompok-kelompok yang sesat dan menepis syubhat-syubhat mereka. Beliau
berkata:
"Bukanlah tujuan peletakan (kaedah-kaedah) Ilmu Kalam
melainkan untuk menepis syubhat pihak lawan dan puak-puak yang sesat daripada
jalan-jalan yang benar. Ini kerana mereka telah mencela sebahagian daripada
jalan-jalan yang benar tersebut dengan menganggapnya sebagai tidak masuk akal,
lalu dijelaskan kepada mereka menerusi kaedah-kaedah Ilmu Kalam akan
kemunasabahan sebahagian perkara tersebut."
Sumber Pengambilan
dan Usulnya:
Al-Safarini berkata:
"Sumber pengambilannya adalah daripada al-Quran,
as-Sunnah, Ijmak, dan penelitian akal yang sahih."
Bahkan, beliau turut menjadikan kata-kata para Sahabat
sebagai sebahagian daripada usulnya dengan berkata:
"Dan termasuklah ilmu para ulama daripada kalangan Sahabat
dalam perkara tersebut, kerana ia merupakan kalam, usul, dan akidah, sekalipun
ia tidak dinamakan dengan nama ini pada zaman tersebut, memandangkan ia berkait
dengan seluruh akidah mengikut kadar kemampuan manusia."
Inilah perkara yang tidak disedari oleh ramai dalam kalangan
mereka yang mempelajari Ilmu Kalam, kerana mereka jumud pada apa yang telah dituliskan
oleh golongan terdahulu. Mereka tidak menyedari bahawa Ilmu Kalam adalah ilmu
yang berkembang dan berubah mengikut peredaran zaman serta kemunculan
akidah-akidah yang sesat. Mereka juga tidak menyedari bahawa sesungguhnya
seorang Ahli Kalam sekiranya tidak mampu menepis hujah golongan ateis dan
syubhat-syubhat pada zamannya, maka dia belumlah menjadi seorang Ahli Kalam
walaupun dia telah menghafal kitab al-Tawali', al-Maqasid, dan al-Mawaqif.
Hukum Ilmu Kalam Di
Sisi Pandangan Mazhab Hanbali:
Mazhab Hanbali, sepertimana golongan Ahli Sunnah yang lain,
membahagikan Ilmu Kalam kepada yang dicela (mazmum) iaitu yang sarat
dengan falsafah, ilhad (kesesatan/ateisme) dan kebatilan, dan ia adalah tidak
disyariatkan, dan yang dipuji (mahmud) iaitu yang bersandarkan kepada naql
(wahyu) dan akal, dan ia disyariatkan bagi menolak syubhat golongan yang sesat.
Ibn Hamdan al-Hanbali berkata dalam kitab Sifat al-Fatwa:
"Ilmu Kalam yang dicela itu ialah ilmu agama (usuluddin)
apabila ia dibicarakan menggunakan akal semata-mata atau yang menyalahi naql
(wahyu) yang jelas. Namun, jika ia dibicarakan dengan naql (wahyu)
sahaja berserta akal yang bersesuaian dengannya, maka ia adalah usuluddin,
jalan Ahli Sunnah, serta ilmu sunnah dan ahlinya."
Ibn Hamdan berpandangan bahawa penggunaan Ilmu Kalam itu
adalah untuk keadaan darurat dan bagi menolak kelompok-kelompok yang sesat.
Beliau telah menukilkan daripada al-Imam Ahmad akan kata-katanya:
"Aku bukanlah Ahli Kalam, dan aku tidak berpandangan
perlunya Ilmu Kalam dalam sesuatu apa pun melainkan apa yang terdapat dalam
Kitab Allah (al-Quran) atau Sunnah Rasul-Nya."
Ahmad berkata lagi: "Dahulu kami disuruh supaya berdiam
diri (daripada berdebat mengenai hal-hal ketuhanan dan akidah), namun apabila
kami dipaksa untuk berbicara, kami pun berbicara." Ibn Hamdan berkata:
"Iaitu bermaksud pada zaman mihnah (ujian), kerana wujudnya darurat
demi menolak syubhat mereka (golongan sesat)."
Inilah juga hukumnya di sisi para ulama al-Asya'irah. Ibn
Hamdan telah menukilkan kata-kata al-Imam al-Ghazali:
"Mendalami Ilmu Kalam adalah haram kerana banyaknya keburukan di dalamnya, melainkan bagi seseorang yang ditimpa syubhat (keraguan) yang tidak dapat dihilangkan dengan kata-kata nasihat yang ringkas mahupun dengan hadis yang dinukilkan, maka diharuskan penyusunan hujah Ilmu Kalam itu untuk menghilangkan syubhatnya...
Atau bagi seseorang yang sempurna akalnya, teguh pendiriannya dalam agama, tetap imannya ibarat cahaya keyakinan, yang mana dia ingin mendapatkan ilmu ini untuk mengubati orang yang sakit apabila ditimpa syubhat, dan untuk mematahkan hujah pembuat bidaah sekiranya dia muncul, serta untuk memelihara pegangan akidahnya dengan Ilmu Kalam itu jika ada pembuat bidaah yang berniat untuk menyesatkannya. Maka, mempelajari (Ilmu Kalam) untuk tujuan ini adalah fardu kifayah.
Manakala mempelajari sekadar
kadar yang dapat menghilangkan keraguan dan syubhat pada diri orang yang
ragu-ragu adalah fardu ain sekiranya akidahnya yang putus (pasti) itu tidak
mungkin dikembalikan melalui jalan lain selain daripadanya. Maka sesiapa yang
ditimpa syubhat, harus untuk menjawabnya sekiranya aman bagi dirinya dan selain
dirinya daripada kekeliruan."
Sekumpulan ulama mazhab Hanbali telah berpandangan harus mempelajari
Ilmu Kalam: Antaranya ialah Ibn Hamid, al-Tamimi, al-Qadi Abu Ya'la al-Hafid,
dan al-Safarini —malah beliau menjadikannya fardu ain ke atas setiap orang yang
pintar— serta Ibn Hamdan dan al-Buhuti. Mereka menjadikannya sebagai pandangan
yang sahih dalam mazhab.
Yusuf bin Abdul Hadi al-Maqdisi al-Hanbali berkata di dalam
kitab Maqbul al-Manqul min 'Ilmai al-Jadal wa al-Usul:
"Ibn Hamid, al-Qadi (Abu Ya'la), al-Tamimi dan selain
mereka berpandangan bahawa ia (Ilmu Kalam) disyariatkan, dan perkara ini telah
dinaskan oleh Imam Ahmad."
Golongan ini telah berdalilkan dengan kata-kata Imam Ahmad,
antaranya:
1 - Imam Ahmad pernah ditanya: "Adakah engkau
berpandangan bahawa seseorang itu patut menyibukkan diri dengan puasa dan solat
serta berdiam diri daripada berbicara tentang Ahli Bidaah?"
Lalu wajah beliau berkerut dan beliau berkata: "Jika
dia berpuasa, bersolat dan mengasingkan diri daripada manusia, bukankah ia
hanya (bermanfaat) untuk dirinya sahaja?"
Aku menjawab: "Bahkan (ya)."
Beliau berkata: "Namun jika dia berbicara, ia
(bermanfaat) untuk dirinya dan orang lain, maka berbicara itu adalah lebih baik."
2 - Imam Ahmad telah berdebat dengan golongan Muktazilah dan
Jahmiyyah lalu mematahkan hujah mereka, dan perkara ini tidak akan dapat
dilakukan melainkan oleh orang yang mahir dalam ilmu naql (wahyu) dan
akal secara bersama-sama.
3 - Imam Ahmad telah mengarang sebuah kitab bagi menolak
golongan Zindiq dan Qadariyyah mengenai (ayat-ayat) al-Quran yang mutasyabih
dan selainnya, serta beliau telah berhujah di dalamnya menggunakan dalil-dalil
akal sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Muflih al-Hanbali di dalam kitab al-Adab
al-Syar'iyyah.
Ibn Muflih berkata:
"Aku telah mendapati di dalam sebuah kitab karya cucu
al-Qadi Abu Ya'la yang menyebutkan di dalamnya mengenai perselisihan pandangan
dalam mazhab berserta kata-kata Ahmad tentang perkara tersebut, beliau berkata:
“Pandangan yang sahih dalam mazhab ialah Ilmu Kalam itu
disyariatkan serta diperintahkan. Diharuskan juga berdebat di dalamnya,
berhujah menentang Ahli Bidaah, serta mengarang kitab-kitab bagi menolak
mereka.”
Pandangan inilah yang dipegang oleh para imam ahli tahqiq
(peneliti ilmu) iaitu al-Qadi dan al-Tamimi dalam kalangan sekumpulan ahli
tahqiq, dan mereka berpegang teguh dengannya."
Ibn Muflih berkata lagi:
"Kata-kata Ahmad yang dipegang oleh golongan terdahulu,
maka ia telah dimansuhkan. Ahmad telah berkata dalam riwayat Hanbal: “Dahulu
kami menyuruh supaya diam, namun apabila kami dipaksa kepada suatu perkara,
tiada pilihan lain bagi kami melainkan menepis perkara tersebut dan menjelaskan
perkara tersebut dengan menafikan apa yang telah mereka perkatakan tentangnya.”
Kemudian beliau berdalilkan untuk perkara tersebut dengan
firman Allah Taala:
وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
"...dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan
itu) dengan cara yang lebih baik" [Surah an-Nahl: 125].
Dan (beliau berdalilkan) bahawasanya telah sabit daripada
rasul-rasul-Nya perbuatan berdebat, dan kerana sebahagian perselisihan mereka
itu adalah benar dan sebahagiannya adalah batil, dan tiada jalan untuk
membezakan antara kedua-duanya melainkan melalui penelitian akal, maka akan
diketahui akan kesahihannya.”
Al-Buhuti telah menganggap bahawa penggunaan akal dan naql
(wahyu) itu adalah pendekatan Imam Ahmad dan Ibn Taimiyyah. Al-Imam al-Buhuti
berkata:
"... Kata-katanya: “Maka (ilmu) yang diharamkan itu -
seperti Ilmu Kalam”, Ibn Hamdan berkata dalam Adab al-Mufti wa al-Mustafti:
“Ilmu Kalam yang dicela itu ialah usuluddin apabila ia dibicarakan menggunakan
akal semata-mata, atau yang menyalahi naql (wahyu) yang sahih lagi
jelas. Namun, jika ia dibicarakan dengan naql sahaja, atau dengan naql
berserta akal yang bersesuaian dengannya, maka ia adalah (usul) agama, dan
jalan Ahli Sunnah.” Inilah juga maksud kata-kata Syeikh Taqiuddin (Ibn
Taimiyyah)…” Aku berkata: Kata-kata Ibn Hamdan itu adalah seumpama menyelaraskan
antara dua pandangan tersebut, dan ia adalah lebih utama daripada naskh
(tanggapan bahawa pandangan pertama dimansuhkan), dan ia disokong oleh riwayat
al-Marwazi."
Maksud Celaan Imam
Ahmad dan Golongan Salaf Terhadap Ilmu Kalam:
Mungkin ada yang bertanya: Apakah penjelasan bagi
pandangan-pandangan yang diriwayatkan daripada golongan Salaf mengenai celaan
terhadap Ilmu Kalam?
Al-Imam al-Safarini menjawab dengan berkata:
"Jika engkau bertanya: Sekiranya Ilmu Kalam itu berada
pada kedudukan yang telah engkau sebutkan, dan martabat yang telah engkau
buktikan mengenainya, maka bagaimanakah diharuskan bagi para imam untuk
mendalaminya, dan meneliti apa yang terkandung di dalamnya?
Kemudian engkau pula melakukan apa yang telah engkau cegah
daripadanya, dan engkau membahas apa yang patut engkau jauhi. Tidakkah perkara
ini pada pandangan awal melainkan satu pertentangan, dan (kelihatan seperti)
menghimpunkan dua perkara yang saling bercanggah sepenuhnya?
Aku berkata: Sesungguhnya tanggapan mengenai wujudnya
percanggahan itu adalah tertolak, dan apa yang terlintas dalam fikiranmu
mengenai pertentangan itu adalah ditepis. Bahkan, ilmu yang telah kami larang
daripadanya adalah berbeza dengan ilmu yang kami telah tulis mengenainya. Ilmu
Kalam yang telah kami beri amaran daripadanya adalah berbeza dengan apa yang
dikarang oleh setiap imam, hafiz (pakar hadis), dan fakih.
Ilmu Kalam yang dilarang oleh para imam Islam ialah ilmu
yang sarat dengan falsafah, takwilan, ilhad (kesesatan), dan kebatilan,
serta memalingkan ayat-ayat al-Quran daripada makna-maknanya yang zahir, dan memalingkan
hadis-hadis nabi daripada hakikat-hakikatnya yang jelas bersinar. Bukannya ilmu
(golongan) Salaf dan mazhab al-Athar, serta apa yang terdapat dalam al-Quran dan
hadis yang sahih.
Maka, ilmu ini, demi hidupku, merupakan penawar bagi
hati-hati yang disengat oleh ular-ular berbisa berupa syubhat, penyembuh bagi
dada-dada yang retak akibat lontaran perkara-perkara bidaah, ubat bagi penyakit
yang parah, dan penawar bagi racun yang membunuh. Oleh itu, ia adalah fardu
ain, atau satu kewajipan yang nyata ke atas setiap orang yang cerdik, dan ia
merupakan ilmu yang dipegang kuat bagi mematahkan hujah setiap orang yang
berlagak pandai dan bodoh. Maka, hilanglah kekeliruan ini, dan Allah jualah
Pemilik segala kurniaan."
Justeru, hukum mempelajari Ilmu Kalam dan mengajarkannya
mestilah diperincikan. Sekiranya mempelajarinya adalah dengan tujuan untuk
menolak kelompok-kelompok yang sesat dengan menggunakan dalil-dalil akal tanpa mencela
al-Quran dan as-Sunnah, maka hal ini disyariatkan, bahkan ia merupakan
sebahagian daripada fardu kifayah.
Sumber:
Al-Hanabilah Wa Ikhtilafuhum Ma'a al-Salafiyyah al-Mu'asirah oleh Mustafa
Hamdu ‘Ilyan al-Hanbali.
