Jumaat, 26 April 2013
Imam Ibnu Majah
*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.
Nama dan kelahirah
beliau
Imam Ibnu Majah adalah salah seorang ulama besar
dalam ilmu hadith yang telah disepakati kejujurannya dan segala pendapatnya
dapat dijadikan sebagai hujah. Beliau mempunyai pengetahuan yang luas dan menghafal
ribuan hadith.
Nama penuh Imam Ibnu Majah ialah Muhammad bin Yazid bin
Majah ar-Rabi'i al-Qazwini. Beliau digelar Abu Abdullah kerana salah seorang
anaknya bernama Abdullah. Beliau merupakan pengarang kitab Sunan Ibnu Majah dan
kitab-kitab lainnya. Kata "Majah" dalam nama beliau adalah dengan
huruf "ha" yang dibaca suku(mati). Inilah pendapat yang sahih yang
dipakai oleh majoriti ulama, bukan dengan "ta" (majat) sebagaimana
pendapat sesetengah orang.
Imam Ibnu Majah dilahirkan di Qazwin pada tahun 209H/788M
dan meninggal dunia pada 22 Ramadhan 273H/852M. Jenazahnya disolatkan oleh
saudaranya, Abu Bakar. Sedangkan pengkebumiannya dilakukan oleh kedua-dua
saudaranya iaitu Abu Bakar dan Abdullah serta anaknya iaitu Abdullah.
Pengembaraannya
Pengembaraannya
Imam Ibnu Majah membesar sebagai orang yang mencintai
pengetahuan terutamanya ilmu hadith dan periwayatan. Untuk mencari dan
mengumpulkan hadith, beliau telah melakukan pengembaraan di beberapa negeri.
Beliau telah melawat ke Iraq,
Hijaz, Syam, Mesir, Kufah, Basrah dan negara-negara lainnya untuk menemui dan
berguru hadith kepada ulama-ulama hadith. Beliau juga belajar kepada murid-murid Imam Malik bin Anas
dan Imam Laith bin Sa’ad sehingga sehingga beliau menjadi salah seorang imam
yang terkemuka pada masanya di dalam bidang ilmu hadith.
Periwayatan
hadith
Imam Ibnu Majah belajar dan meriwayatkan hadith daripada ramai ulama hadith. Antaranya:
1. Abu Bakar
bin Abi Syaibah
2. Muhammad
bin Abdullah bin Numair
3. Hisyam
bin 'Ammar
4. Muhammad
bin Ramh
5. Ahmad bin
al-Azhar
6. Bisyr bin
Adan dan ulama-ulama besar yang lain.
Manakala hadith-hadithnya pula telah diriwayatkan
oleh beberapa orang anak muridnya. Antaranya:
1. Muhammad
bin 'Isa al-Abhari
2. Abul
Hasan al-Qattan
3. Sulaiman
bin Yazid al-Qazwini
4. Ibn
Sibawaih
5. Ishak bin
Muhammad dan ulama-ulama lainnya.
Pujian para ulama kepadanya
Pujian para ulama kepadanya
1. Abu Ya'la al-Khalili al-Qazwini berkata: "Ibn Majah adalah seorang ulama hadith yang dipercayai dan telah disepakati kejujurannya serta dapat dijadikan hujah segala pendapat-pendapatnya. Beliau mempunyai pengetahuan luas dan menghafal banyak hadith."
2. Imam Zahabi
dalam Tazkiratul Huffaz, mengatakan bahawa Imam Ibnu Majah adalah seorang
ahli hadith besar, mufasir(ahli tafsir), pengarang kitab sunan dan kitab tafsir,
serta ahli hadith yang besar di negerinya.
3. Imam Ibnu
Kathir yang merupakan seorang ahli hadith dan pengkritik hadith berkata dalam
Bidayah wan Nihayah : "Muhammad bin Yazid(Ibn Majah) adalah pengarang
kitab sunan yang masyhur. Kitabnya itu merupakan bukti atas amal dan ilmunya,
keluasan pengetahuan dan pandangannya, serta kepakarannya dalam ilmu hadith, usul dan furu'."
Karya-Karyanya
Imam Ibn Majah mempunyai banyak karya tulis, di
antaranya:
Sunan Ibn Majah |
1. Kitab Sunan,
yang merupakan salah satu daripada Kutub Sittah(enam buah kitab hadith yang
utama).
2. Kitab
Tafsir al-Qur'an, sebuah kitab tafsir yang besar manfaatnya seperti yang diterangkan
oleh Imam Ibnu Kathir.
3. Kitab Tarikh yang mengandungi maklumat sejarah sejak zaman sahabat sehingga zaman Imam Ibnu Majah.
Imam Abu Daud
*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.
Imam
Abu Dawud merupakan salah seorang tokoh ahli hadith pada zamannya. Kealiman,
kesolehan dan kemuliaannya semerbak mewangi hingga kini.
Nama
penuh Imam Abu Daud ialah Sulaiman bin al-Asy'at bin Ishaq bin Basyir bin Syidad
bin 'Amr al-Azdi as-Sijistani. Beliau merupakan seorang imam ahli hadith yang
sangat teliti, tokoh para ahli hadith setelah dua imam hadith iaitu Imam
Bukhari dan Imam Muslim serta pengarang kitab sunan yang lain. Beliau
dilahirkan pada tahun 202H/817M di Sijistan.
Perkembangan
dan pengembaraannya
Sejak
kecil, Imam Abu Daud sudah mencintai ilmu dan para ulama. Beliau sering bergaul
dengan mereka untuk menimba ilmu daripada mereka. Walaupun belum mencapai usia
dewasa, beliau telah mempersiapkan dirinya untuk mengadakan pengembaraan,
mengelilingi pelbagai negeri-negeri Islam untuk menuntut ilmu hadith.
Imam
Abu Daud belajar hadith daripada para ulama yang ramai jumlahnya. Beliau telah
bertemu dengan ramai para ulama di Hijaz, Syam, Mesir, Irak, Jazirah, Khurasan
dan negeri-negeri lain. Pengembaraannya ke berbagai negeri ini membantu beliau
untuk memperoleh pengetahuan yang luas tentang hadith. Segala hadith-hadith
yang beliau perolehi itu disaring dan hasil penyaringannya dimasukkan ke dalam
kitab Sunan.
Imam
Abu Daud mengunjungi Baghdad
berkali-kali. Di sana,
beliau mengajar ilmu hadith dan fiqh kepada para penduduk dengan menggunakan
kitab Sunan sebagai kitab rujukannya. Kitab Sunan karyanya itu telah disemak
oleh seorang tokoh ulama hadith iaitu Imam Ahmad bin Hanbal.
Dengan
bangganya, Imam Ahmad bin Hanbal memujinya sebagai kitab yang sangat indah dan
baik. Kemudian, Imam Abu Dawud menetap di Basrah atas permintaan Gabenor Basrah
yang menghendaki supaya Basrah menjadi "Ka'bah"(tempat tumpuan) bagi
para ilmuwan dan peminat hadith.
Guru-gurunya
Para ulama yang menjadi guru Imam Abu Daud terlalu banyak
jumlahnya. Di antaranya guru-gurunya yang terkemuka ialah:
1. Imam Ahmad bin Hanbal
2. al-Qa'nabi
3. Abu 'Amr ad-Darir
4. Muslim bin Ibrahim
5. Abdullah bin Raja'
6. Abu' Walid at-Tayalisi dan lain-lain.
Sebahagian
guru-gurunya ada pula yang menjadi guru kepada Imam Bukhari dan Imam Muslim,
seperti Ahmad bin Hanbal, Usman bin Abi Syaibah dan Qutaibah bin Sa'id.
Murid-muridnya (para ulama yang meriwayatkan hadith
daripadanya)
Ulama-ulama
yang mewarisi hadith dan mengambil ilmu daripada Imam Abu Daud, antara ialah:
1. Imam Abu ‘Isa at-Tirmidzi
2. Imam Abu Abdur Rahman an-Nasa'ie
3. Anaknya sendiri iaitu Abu Bakar bin Abu
Dawud
4. Abu Awanah
5. Abu Sa'id al-A'rabi
6. Abu Ali al-Lu'lu'i
7. Abu Bakar bin Dassah
8. Abu Salim Muhammad bin Sa'id al-Jaldawi dan
lain-lain.
Cukuplah
sebagai bukti tingginya keilmuan Imam Abu Dawud, bahawa salah seorang gurunya
iaitu Imam Ahmad bin Hanbal pernah meriwayatkan dan menulis sebuah hadith yang
diterima dari padanya. Hadith tersebut ialah hadith yang diriwayatkan oleh Abu
Dawud, dari Hammad bin Salamah dari Abu Ma'syar ad-Darami, dari ayahnya,
sebagai berikut: "Rasulullah SAW. ditanya tentang 'atirah, maka baginda
menilainya baik."
Akhlak dan Sifat-sifatnya yang Terpuji
Imam
Abu Daud adalah salah seorang ulama yang mengamalkan ilmunya dan mencapai
darjat yang tinggi dalam ibadah, kesucian diri, wara' dan kesolehan. Beliau
adalah seorang ulama yang patut diteladani akhlaknya, ketenangan jiwanya dan
keperibadiannya. Sifat-sifat Abu Daud ini telah diungkapkan oleh sebahagian
ulama yang menyatakan:
“Abu
Daud menyerupai Ahmad bin Hanbal dalam perilakunya, ketenangan jiwa dan kebagusan
pandangannya serta keperibadiannya. Ahmad bin Hanbal dalam sifat-sifat ini
menyerupai Waki' bin Jarrah. Waki’ bin Jarrah menyerupai Sufyan as-Sauri,
Sufyan menyerupai Mansur, Mansur menyerupai Ibrahim an-Nakha'i, Ibrahim
menyerupai 'Alqamah dan ia menyerupai Ibn Mas'ud. Sedangkan Ibn Mas'ud sendiri
menyerupai Nabi SAW dalam sifat-sifat tersebut.”
Sifat
dan keperibadian yang mulia seperti ini menunjukkan atas kesempurnaan
keberagamaan, tingkah laku dan akhlak.
Imam
Abu Dawud mempunyai pandangan dan falsafah yang tersendiri dalam cara
berpakaian. Salah satu lengan bajunya lebar namun yang satunya lebih kecil dan
sempit. Seseorang yang melihatnya bertanya tentang hal ini kepada beliau, maka
beliau menjawab:
"Lengan
baju yang lebar ini digunakan untuk membawa kitab-kitab, sedang yang satu lagi
tidak diperlukan untuk membawa kitab-kitab. Jadi, kalau dibuat lebar, hanyalah
berlebih-lebihan."
Pujian Para Ulama Kepadanya
Imam
Abu Daud adalah juga merupakan "bendera Islam" dan seorang hafiz yang
sempurna, ahli fiqh dan berpengetahuan luas terhadap hadith dan illal-illalnya(kecacatannya).
Beliau
memperoleh penghargaan dan pujian daripada para ulama, terutama daripada
gurunya sendiri iaitu Imam Ahmad bin Hanbal.
Al-Hafiz
Musa bin Harun berkata mengenai Abu Daud:
"Abu
Daud diciptakan di dunia hanya untuk hadith, dan di akhirat untuk surga. Aku
tidak melihat orang yang lebih utama melebihi dia."
Sahl
bin Abdullah At-Tustari, seorang yang alim mengunjungi Abu Daud. Lalu dikatakan
kepadanya: "Saya adalah Sahl, datang berkunjung kepada tuan."
Abu
Daud pun menyambutnya dengan hormat dan mempersilahkan duduk. Kemudian Sahl
berkata: "Wahai Abu Daud, saya ada keperluan kepadamu." Beliau
bertanya: "Keperluan apa?" "Ya, akan saya utarakan nanti,
asalkan engkau berjanji akan memenuhinya semampu boleh," jawab Sahl.
"Ya, aku akan penuhi maksudmu selama aku mampu," jawab Abu Daud. Lalu
Sahl berkata: "Julurkanlah lidahmu yang engkau pergunakan untuk
meriwayatkan hadith dari Rasulullah S.A.W sehingga aku dapat menciumnya."
Maka Abu Daud pun lalu menjulurkan lidahnya yang kemudian dicium oleh Sahal.
Ketika
Abu Dawud menyusun kitab Sunan, Ibrahim al-Harbi, seorang ulama ahli hadith
berkata: "Hadith telah dilunakkan bagi Abu Daud, sebagaimana besi
dilunakkan bagi Nabi Dawud."
Ungkapan
ini adalah kata-kata simbolik dan perumpamaan yang menunjukkan keutamaan dan
keunggulan seseorang di bidang penyusunan hadith. Beliau telah mempermudahkan
perkara yang sulit, mendekatkan perkara yang jauh dan memudahkan perkara yang
masih rumit dan pelik.
Abu
Bakar al-Khallal, ahli hadith dan fiqh terkemuka yang bermadzhab Hanbali,
menggambarkan Abu Dawud sebagai berikut; Abu Dawud Sulaiman bin al-Asy'at, imam
yang terkemuka pada zamannya adalah seorang tokoh yang telah menggali beberapa
bidang ilmu dan mengetahui tempat-tempatnya dan tiada seorang pun pada masanya
yang dapat mendahului atau menandinginya.
Abu
Bakar al-Asbihani dan Abu Bakar bin Sadaqah senantiasa menyanjung Abu Dawud
kerana ketinggian darjatnya, dan selalu menyebut-nyebutnya dengan pujian yang
tidak pernah mereka berikan kepada siapa pun pada masanya.
Mazhab Fiqh Imam Abu Daud
Imam
Abu Ishaq asy-Syairazi dalam dalam kitab Tabaqatul Fuqaha telah menggolongkan
Imam Abu Daud ke dalam kelompok murid-murid Imam Ahmad bin Hanbal. Demikian
juga Qadi Abu'l-Husain Muhammad bin al-Qadi Abu Ya'la(wafat 526H) dalam kitab
Tabaqat Hanabilah. Penilaian ini disebabkan kerana Imam Ahmad bin Hanbal
merupakan gurunya yang istimewa. Menurut satu pendapat, Imam Abu Daud adalah
bermadzhab Syafi'i.
Menurut
pendapat yang lain, beliau adalah seorang mujtahid sebagaimana yang dapat
dilihat pada gaya
susunan kitab beliau, Sunan Abu Daud. Lebih-lebih lagi, kemampuan berijtihad
merupakan salah satu sifat khas para imam-imam hadith pada masa-masa awal.
Memandang Tinggi Kedudukan Ilmu dan Ulama
Sikap
Imam Abu Daud yang memandang tinggi terhadap kedudukan ilmu dan ulama ini dapat
dilihat pada kisah berikut sebagaimana dituturkan, dengan sanad lengkap, oleh
Imam al-Khattabi, dari Abu Bakar bin Jabir dari pembantu Imam Abu Daud. Beliau
berkata:
"Aku
bersama Abu Daud tinggal di Baghdad.
Pada suatu waktu, ketika kami selesai menunaikan solat Maghrib, tiba-tiba pintu
rumah diketuk orang. Lalu pintu aku buka dan seorang pelayan melaporkan bahawa
Amir Abu Ahmad al-Muwaffaq mohon izin untuk masuk. Kemudian aku melapor kepada
Abu Daud tentang hal ini, dan ia pun mengizinkannya masuk. Amir Abu Ahmad pun
masuk, lalu beliau pun duduk. Tak lama kemudian, Abu Dawud menemuinya seraya
berkata: "Gerangan apakah yang membawamu datang ke sini pada saat seperti
ini?"
"Tiga
kepentingan," jawab Amir. "Kepentingan apa?" tanyanya.
Amir
menjelaskan, "Hendaknya tuan berpindah ke Basrah dan menetap di sana, supaya para
penuntut ilmu dari berbagai penjuru dunia datang belajar kepada tuan. Dengan
demikian Basrah akan makmur kembali. Ini mengingat bahawa Basrah telah hancur
dan ditinggalkan orang akibat tragedi Zenji."
Abu
Dawud berkata: "Itu yang pertama, sebutkan yang kedua!"
"Hendaknya
tuan berkenan mengajarkan kitab Sunan kepada anak-anakku," kata Amir.
"Ya,
ketiga?" Tanya Abu Daud kembali.
Amir
menerangkan: "Hendaknya tuan mengadakan majlis tersendiri untuk mengajar
hadith kepada putera-putera khalifah kerana mereka tidak mahu duduk
bersama-sama dengan orang biasa."
Abu
Daud menjawab: "Permintaan ketiga tidak dapat aku penuhi kerana manusia
itu baik orang terhormat maupun rakyat melarat, mereka adalah sama tarafnya dalam
bidang ilmu."
Ibn
Jabir menjelaskan: "Maka sejak itu putera-putera khalifah hadir dan duduk
bersama-sama di majlis taklim tetapi di antara mereka dengan biasa dipasang
tirai. Dengan demikian mereka dapat belajar bersama-sama."
Maka
hendaknya para ulama tidak mendatangi para raja dan penguasa, tetapi merekalah
yang harus datang kepada para ulama. Dan kesamaan darjat dalam ilmu dan
pengetahuan ini, hendaklah dikembangkan sebagaimana yang telah dilakukan Abu Daud
tersebut.
Karya-karyanya
Imam
Abu Dawud banyak memiliki karya, antara lain:
Sunan Abu Daud |
1. Kitab as-Sunan (Sunan Abu Daud).
Al-Marasil |
2. Kitab Al-Marasil.
3. Kitab Al-Qadar.
4. An-Nasikh wal-Mansukh.
5. Fada'il al-A'mal.
6. Kitab az-Zuhd.
7. Dala'il an-Nubuwah.
8. Ibtida' al-Wahyu.
9. Ahbar al-Khawarij.
Kewafatnya
Setelah
menjalani kehidupan yang penuh berkat yang diisi dengan aktiviti ilmiah seperti
menghimpun dan menyebarluaskan hadith, Imam Abu Daud meninggal dunia di Basrah
yang dijadikannya sebagai tempat tinggal atas permintaan Amir sebagaimana telah
diceritakan. Beliau wafat pada tanggal 16 Syawwal 275 H/889M. Semoga Allah
senantiasa melimpahkan rahmat dan keredhaan-Nya kepadanya.
Kitab Sunan Karya Imam Abu Daud
Metod Imam Abu Daud dalam penyusunan Sunan-nya
Kitab-kitab
hadith seperti Jami’ Musnad mengandungi hadith-hadith hukum, hadith-hadith yang
berkenaan dengan amal-amal yang terpuji (fada'il a'mal), kisah-kisah,
nasihat-nasihat (mawa'iz), adab dan tafsir. Cara penyusunan kitab hadith
mengikut cara demikian tetap berlangsung sehingga datangnya Imam Abu Daud. Maka,
Imam Abu Daud menyusun kitabnya, khusus hanya memuat hadith-hadith hukum dan
sunnah-sunnah yang menyangkut hukum. Ketika selesai menyusun kitabnya, Imam Abu
Daud menyerahkan kitab itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal, dan Imam Ahmad bin
Hanbal memujinya sebagai kitab yang indah dan baik.
Imam
Abu Daud dalam sunannya tidak hanya memasukkan hadith-hadith yang sahih semata-mata
sebagaimana yang telah dilakukan Imam Bukhari dan Imam Muslim, tetapi beliau juga
turut memasukkan kedalamnya hadith sahih, hadith hasan, hadith dha'if yang
tidak terlalu lemah dan hadith yang tidak disepakati oleh para imam untuk
ditinggalkannya. Hadith-hadith yang sangat lemah, beliau jelaskan kelemahannya.
Cara
yang beliau gunakan dalam kitabnya itu dapat diketahui melalui suratnya yang
beliau kirimkan kepada penduduk Mekah sebagai jawapan keatas pertanyaan yang
diajukan oleh mereka mengenai kitab Sunannya. Abu Dawud menulis:
"Aku
mendengar dan menulis hadith Rasulullah S.A.W sebanyak 500 000 buah hadith. Daripada
keseluruhan jumlah itu, aku memilih sebanyak 4800 buah hadith yang kemudiannya
aku masukkan kedalam kitab Sunan ini. Dalam kitab tersebut, aku himpunkan
hadith-hadith yang sahih, hadith-hadith yang menyerupai hadith sahih dan
hadith-hadith yang mendekati shahih. Dalam kitab itu, aku tidak memasukkankan
sebuah hadith pun yang telah disepakati oleh para ulama untuk ditinggalkan.
Segala hadith yang sangat dha’if akan aku jelaskan kelemahannya. Adapun hadith
yang tidak aku berikan penjelasan sedikit pun, maka hadith tersebut bertaraf sahih
dan sebahagian dari hadith yang sahih ini ada yang lebih sahih daripada yang
lain. Aku tidak mengetahui sebuah kitab, sesudah al-Quran, yang harus
dipelajari selain daripada kitab ini. Empat buah hadith saja dari kitab ini
sudah cukup menjadi pegangan bagi setiap orang. Hadith tersebut adalah:
Pertama:
"Segala amal itu hanyalah menurut niatnya, dan tiap-tiap orang memperolehi
apa yang dia niatkan. Kerana itu, maka barang siapa berhijrah kepada Allah dan
Rasul-Nya, nescaya hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya pula. Dan barang siapa
hijrahnya kerana untuk mendapatkan dunia atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya,
maka hijrahnya hanyalah kepada apa yang dia hijrah kepadanya itu."
Kedua:
"Termasuk kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak
berguna baginya."
Ketiga:
"Tidaklah seseorang beriman menjadi mukmin sejati sebelum ia merelakan
untuk saudaranya apa-apa yang ia rela untuk dirinya."
Keempat:
"Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram pun telah jelas pula. Di
antara keduanya terdapat hal-hal syubhat(samar) yang tidak diketahui oleh ramai
orang. Barang siapa menghindari syubhat, maka ia telah membersihkan agama dan
kehormatan dirinya dan barang siapa terjerumus ke dalam syubhat, maka dia telah
terjerumus ke dalam perbuatan haram, ibarat penggembala yang menggembalakan
ternaknya dekat dengan kawasan yang terlarang. Ketahuilah, sesungguhnya setiap
penguasa itu mempunyai larangan. Ketahuilah, sesungguhnya larangan Allah adalah
segala yang diharamkan-Nya. Ingatlah, di dalam tubuh badan ini terdapat
segumpal daging, jika ia baik, maka baik pulalah semua tubuh dan jika rosak
maka rosaklah pula seluruh tubuh. ketahuilah, sesungguhnya ia adalah hati."
Demikianlah
penegasan Imam Abu Daud dalam suratnya. Perkataan Imam Abu Daud itu dapat
dijelaskan sebagai berikut:
Hadith
pertama adalah ajaran tentang niat dan keikhlasan yang merupakan asas utama
bagi semua amal perbuatan diniah(agama) dan duniawiah.
Hadith
kedua merupakan tuntunan dan dorongan bagi umat Islam agar selalu melakukan
setiap yang bermanfaat bagi agama dan dunia.
Hadith
ketiga, mengatur tentang hak-hak keluarga dan tetangga, berlaku baik dalam
pergaulan dengan orang lain, meninggalkan sifat-sifat takabur, dan membuang
sifat iri hati, dengki dan benci dari hati masing-masing.
Hadith
keempat merupakan dasar utama bagi pengetahuan tentang halal dan haram, serta
cara memperoleh atau mencapai sifat wara', iaitu dengan cara menjauhi hal-hal yang samar dan masih diragukan status hukumnya
oleh para ulama.
Dengan
hadith ini nyatalah bahawa keempat hadith di atas, secara umum, telah cukup
untuk membawa dan menciptakan kebahagiaan.
Komentar Para Ulama Mengenai Kedudukan Kitab Sunan Abu Dawud
Tidak
sedikit ulama yang memuji kitab Sunan ini. Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali
berkata: "Sunan Abu Daud sudah cukup bagi para mujtahid untuk mengetahui
hadith-hadith ahkam(hukum)." Demikian juga dua imam besar, Imam an-Nawawi
dan Ibnul Qayyim al-Jauziyyah memberikan pujian terhadap kitab Sunan ini bahkan
mereka menjadikan kitab ini sebagai pegangan utama di dalam pengambilan hukum.
Hadith-hadith Sunan Abu Daud yang dikritik
Imam
al-Hafiz Ibnul Jauzi telah mengkritik beberapa hadith yang dimasukkan oleh Imam
Abu Daud dalam Sunannya dan menganggapnya sebagai hadith-hadith maudhu’(palsu).
Jumlah hadith tersebut sebanyak 9 buah hadith. Imam Ibnu Jauzi dikenali sebagai
ulama yang terlalu mudah menganggap sesuatu hadith sebagai "palsu". Kritikan-kritikan
Imam Ibnu Jauzi itu telah dijawab dan sekaligus dibantah oleh sebahagian ahli
hadith, seperti Imam Jalaluddin as-Suyuti. Dan andai kata kita menerima kritik
yang dilontarkan oleh Imam Ibnul Jauzi tersebut, maka sebenarnya hadith-hadith
yang dikritiknya itu sedikit sekali jumlahnya, dan hampir tidak ada pengaruhnya
terhadap ribuan hadith yang terkandung di dalam kitab Sunan tersebut. Hadith-hadith
yang dikritik tersebut tidak mengurangi sedikit pun nilai kitab Sunan sebagai
rujukkan utama yang dapat dipertanggungjawabkan kesahihannya.
Jumlah Hadith Sunan Abu Dawud
Di
atas telah disebutkan bahawa Sunan Abu Dawud mengandunggi sebanyak 4800 buah
hadith. Namun sebahagian ulama ada yang menghitungnya sebanyak 5.274 buah hadith.
Perbezaan jumlah ini disebabkan kerana sebahagian ulama yang menghitungnya
memandang sebuah hadith yang diulang-ulang sebagai satu hadith, namun yang lain
menganggapnya sebagai dua hadith atau lebih.
Imam
Abu Daud membagikan kitab Sunannya menjadi beberapa kitab, dan tiap-tiap kitab
dibagi pula ke dalam beberapa bab. Jumlah kitab sebanyak 35 buah, di antaranya
ada 3 kitab yang tidak dibagi ke dalam bab-bab. Sedangkan jumlah bab sebanyak
1,871 buah bab.
Langgan:
Catatan (Atom)