Ringkasan Sejarah Munculnya Ilmu Mustholah Hadith dan Perkembangannya
Sesiapa yang melakukan kajian secara mendalam akan
mendapati bahawa dasar-dasar dan asas-asas penting bagi ilmu riwayat dan
penyampaian berita dijumpai dalam al-Quran dan as-Sunnah. Dalam al-Quran
dijumpai firman Allah S.W.T :
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada
kamu orang fasik yang membawa berita, maka periksalah dengan teliti.” (Surah
al-Hujarat ayat 6)
Sedangkan dalam as-Sunnah, Rasulullah S.A.W
bersabda :
“Semoga Allah mencerahkan wajah seseorang yang
mendengar dari kami suatu berita, lalu ia sampaikan berita itu sebagaimana yang
ia telah dengar. Dan mungkin orang yang menerima berita itu lebih faham
daripada orang yang mendengarnya.” (Hadith riwayat at-Termizi)
Dalam riwayat yang lain dikatakan :
“Dan mungkin orang yang membawa berita itu lebih
faham daripada orang yang menerima berita itu. Dan mungkin pula orang yang
membawa berita itu kurang memahami sebagaimana orang yang menerima berita itu.”
(Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Termizi dan Ibnu Majah)
Pada ayat al-Quran dan hadith tersebut terdapat
prinsip yang tegas dalam mengambil suatu berita dan cara penerimaannya iaitu
dengan cara menyelidiki, mencermatinya dan mendalaminya sebelum menyampaikan
kepada orang lain.
Dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T dan
Rasulullah S.A.W tersebut, para sahabat telah menetapkan ketetapan-ketetapan
tertentu dalam menyampaikan dan menerima berita, terutamanya jika mereka
meragukan kejujuran pembawa berita tersebut. Berdasarkan hal tersebut,
nampaklah kepentingan isnad dalam menerima atau menolak sesuatu berita. Di
dalam pendahuuluan kita Sahih Muslim, dipetik kata-kata Ibnu Sirin :
“Pada awalnya mereka(para sahabat) tidak pernah
menanyakan tentang isnad, namun setelah terjadinya peristiwa fitnah, maka
mereka berkata : “Sebutkan kepada kami orang-orang yang meriwayatkan hadith
kepadamu.” Apabila orang-orang yang meriwayatkan hadith tersebut merupakan ahli
sunnah, maka mereka akan mengambil hadithnya. Jika orang-orang yang
meriwayatkan hadith tersebut merupakan ahli bidaah, makan mereka tidak akan
mengambil hadithnya.”
Berdasarkan hal ini, maka sesuatu berita tidak boleh diterima kecuali setelah diketahui sanadnya. Oleh sebab itu, muncullah ilmu jarh wa ta’dil(ilmu menilai perawi hadith) ilmu mengenai ucapan perawi hadith, ilmu mengenai cara mengetahui bersambung(muttasil) atau terputusnya(munqati’) sanad dan ilmu mengenai kecacatan yang tersembunyi dalam hadith(illal).
Kemudian para ulama dalam bidang itu semakin
banyak, sehinggah muncul pelbagai perbahasan di dalam cabang ilmu yang berkaitan
dengan hadith, baik dari segi kedhabitannya, cara menerima dan menyampaikan
hadith, ilmu tentang hadith nasakh dan mansukh, ilmu tentang hadith gharib dan
lain-lain. Semua itu masih disampaikan oleh ulama secara lisan.
Lalu, masalah itu semakin berkembang dan lama
kelamaan ilmu hadith ini mula ditulis dan dibukukan, akan tetapi masih
berselerak di berbagai tempat di dalam buku-buku lain yang bercampur dengan
ilmu-ilmu yang lain seperti usul fiqh, fiqh dan ilmu hadith. Contohnya kitab
ar-Risalah dan al-Umm karya Imam asy-Syafi’e.
Akhirnya, ilmu ini semakin matang, mencapai
puncaknya dan memiliki istilah yang tersendiri yang terpisah dari ilmu-ilmu
yang lain. Ini terjadi pada abad ke-empat hijrah. Para ulama menyusun ilmu
mustholah hadith dalam kitab yang tersendiri. Orang yang pertama yang menyusun
kitab dalam bidang ini adalah Qadhi abu Muhammad Hasan bin Abdul Rahman bin
Khalad ar-Ramahurmuzi(wafat 360H), iaitu kitab al-Muhadith al-Fashil baina
ar-Rawi wa al-Wa’i.
Rujukan
Taisir Mustholah al-Hadith karya Dr Mahmud Thohan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan