Rabu, 12 November 2014

Kucing Dalam Islam

Coby The Cat

Abu Hurairah 

Siapa di antara kita yang mengenali sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang bernama Abdul Rahman bin Saqr? Sudah pasti ramai di antara kita yang tidak mengenali nama ini. Tetapi apabila disebut gelarannya iaitu Abu Hurairah (lahir 19 tahun sebelum Hijrah dan meninggal pada tahun 57 Hijrah) sudah pasti ramai di antara kita yang mengenali sahabat nabi yang agung ini. 

Pendapat paling masyhur mengatakan bahawa Abdul Rahman bin Saqr adalah nama sebenar kepada Abu Hurairah dan terdapat perbezaan pendapat ulama tentang nama sebenar bagi beliau. Beliau merupakan sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang paling banyak menghafaz dan meriwayatkan hadis.

 Mengapa Beliau Digelar Abu Hurairah (Bapa Kucing)? 

Ibnu Ishak berkata: Telah menceritakan kepadaku oleh sebahagian sahabatku daripada Abu Hurairah, beliau berkata:  

“Namaku ketika jahiliyyah ialah Abdul Syams bin Saqr. Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menamakanku dengan nama Abdul Rahman. Aku digelar Abu Hurairah kerana apabila aku terjumpa kucing, maka aku membawanya di dalam lengan bajuku. Maka digelarkan aku sebagai Abu Hurairah (bapa kucing).” 

Diriwayatkan oleh al-Termizi (hadis no. 3840) dengan sanad yang hasan daripada Ubaidillah bin Abi Rafi’, beliau berkata:  

“Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapa engkau digelar Abu Hurairah?  

Beliau menjawab: “Ketika aku mengembala kambing keluargaku, aku membawa seekor anak kucing bersamaku. Aku meletakkannya di atas pokok pada waktu malam dan ketika waktu siang aku membawanya bersamaku dan aku bermain dengannya. Maka aku digelar Abu Hurairah.” 

[Rujukan: Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-Isobah Fi Tamyiz As-Sahabah, jilid 13, ms. 30, cetakan Dar ‘Alam al-Kutub) 

Kucing Dalam Bahasa Arab 

Dalam bahasa Arab, kucing dipanggil dengan pelbagai nama, antaranya: 

1. اَلْهِرٌّ (Al-Hirrun) 

2. اَلْبَسٌّ (Al-Bassun) 

3. اَلْقِطٌّ (Al-Qittun)

4. اَلْسِّنَّوْرٌ (As-Sinnaur) 

5. الضَّيْوَنٌ (Ad-Dhaiwan) 

Hadis-Hadis Tentang Kucing 

Hadis Pertama 

عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبٍ وَكَانَتْ تَحْتَ بَعْضِ وَلَدِ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّهَا صَبَّتْ لِأَبِي قَتَادَةَ مَاءً يَتَوَضَّأُ بِهِ فَجَاءَتْ هِرَّةٌ تَشْرَبُ فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ يَا ابْنَةَ أَخِي أَتَعْجَبِينَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ هِيَ مِنْ الطَّوَّافِينَ أَوْ الطَّوَّافَاتِ.

Daripada Kabshah bt Ka’ab ibn Malik meriwayatkan: 

"Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut."  

Kabshah meneruskan kata-katanya: 

"Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya, lalu dia bertanya, adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?”  

Saya menjawab: “Ya”.  

Abu Qatadah menjelaskan:  

"Rasulullah saw pernah bersabda: 

“Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu." 

Riwayat Abu Daud (no. 75), al-Termizi (no. 92),  an-Nasa’ie (no. 68) dan Ibnu Majah (no. 367). Hadis ini sahih. Disahihkan oleh al-Bukhari, al-Termizi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Hakim, al-Daraqutni, al-‘Uqaili, al-Baihaqi, al-Nawawi dan lain-lain. 

Huraian Ringkas: 

1. Hadis ini menunjukkan keharusan memelihara kucing. 

2. Boleh bersuci dan mengambil wuduk daripada lebihan sisa air yang telah diminum oleh kucing kerana ianya tidak najis. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitab al-Majmu’: “Dalam mazhab kami (mazhab Syafi'e) berpendapat bahawa lebihan sisa minuman kucing adalah suci dan tidak makruh. Demikian juga lebihan sisa semua binatang-binatang lainnya seperti kuda, keldai, binatang buas, tikus, ular, cicak dan binatang lainnya sama ada yang boleh dimakan dagingnya atau tidak. Maka lebihan sisa minuman dan peluhnya adalah suci dan tidak makruh kecuali daripada anjing dan babi serta anak yang terhasil daripada salah satu daripada keduanya.” 

2. Hendaklah berlaku ihsan kepada haiwan dengan memberi makan dan minum kepada mereka dan janganlah menyakiti dan berbuat zalim kepada mereka. 

Hadis Kedua 

 عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَتَوَضَّأُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ قَدْ أَصَابَتْ مِنْهُ الْهِرَّةُ قَبْلَ ذَلِكَ.

Diriwayatkan daripada Aisyah, beliau berkata:  

“Aku dan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengambil wuduk daripada bekas air yang sama yang merupakan bekas air yang telah diminum oleh kucing sebelum itu.” 

Riwayat Ibnu Majah (no. 368) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya ada perawi yang bernama Harithah bin Abi al-Rijal, dia ada daif. 

Huraian Ringkas: 

1. Hadis ini juga sama seperti hadis pertama, menunjukkan lebihan sisa air minuman kucing adalah suci dan boleh digunakan untuk bersuci. 

Hadis Ketiga 

الْهِرَّةُ لَا تَقْطَعُ الصَّلَاةَ لِأَنَّهَا مِنْ مَتَاعِ الْبَيْتِ.

“Kucing tidak memutuskan solat kerana sesungguhnya ianya adalah penyeri rumah.” 

Riwayat Ibnu Majah (no. 369). Hadis ini diriwayatkan secara marfu’ daripada kata-kata Rasulullah dan secara mauquf daripada kata-kata Abu Hurairah. Yang tepatnya ia adalah kata-kata Abu Hurairah sebagaimana yang diisyaratkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya. 

Huraian Ringkas: 

1. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim disebutkan bahawa lintasan perempuan, keldai dan anjing di hadapan orang yang bersolat boleh memutuskan solatnya. 

Hadis ini diperselisihkan ulama dalam memahaminya. Sebahagian ulama memahaminya secara zahir lalu mereka menganggap lintasan perempuan, keldai dan anjing di hadapan orang yang bersolat akan membatalkan solatnya.  Sebahagian ulama yang lain memahami maksud ‘memutuskan’ dalam hadis tersebut sebagai memutuskan kekhusyukan solat atau memutuskan pahala solat kerana hilang fokus kerana lintasan tiga perkara tersebut. Jumhur ulama (termasuk mazhab al-Syafie) berpendapat bahawa lintasan apa sekalipun di hadapan orang yang bersolat tidak membatalkan solatnya. 

Abu Hurairah antara orang yang berpendapat lintasan perempuan, keldai dan anjing di hadapan orang yang bersolat akan membatalkan solatnya. Jadi, dalam ucapannya ini beliau ingin membezakan antara lintasan kucing dengan lintasan perempuan, keldai dan anjing di hadapan orang yang bersolat. 

2. Kucing dianggap penyeri rumah kerana manfaat yang ada padanya seperti membantu menangkap dan memakan haiwan perosak yang ada di dalam rumah serta sifat manjanya yang menyenangkan hati pemiliknya. 

Hadis Keempat 

عَنْ جَابِرٍ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْهِرَّةِ وَثَمَنِهَا

Diriwayatkan daripada Jabir, beliau berkata: “Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melarang memakan kucing dan jual belinya.” 

Hadis sahih, riwayat Abu Daud (no. 3480 & 3807), at-Termizi (no. 1326), dan Ibnu Majah (no. 3250). 

Huraian Ringkas: 

1. Hadis ini merupakan dalil keharaman memakan kucing. 

2. Adapun mengenai hukum jual beli kucing, terdapat perbincangan ulama tentangnya. Jumhur ulama di antaranya empat imam mazhab mengharuskan jual beli kucing. Pendapat ulama yang mengharamkan jual beli kucing adalah pendapat Abu Hurairah, Tawus, Mujahid dan mazhab Zahiri. 

3. Adapun larangan jual beli kucing dalam hadis tersebut adalah larangan jual beli kucing liar yang tidak memberi manfaat. Adapun jika kucing tersebut dimanfaatkan dengan manfaat yang dibenarkan oleh agama seperti membela kucing sebagai haiwan peliharaan, maka jual belinya sah dan hasil jual belinya halal. Inilah pendapat Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim. 

Hadis Kelima 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ لَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:  

“Seorang wanita diazab disebabkan oleh seekor kucing. Dikurung kucing itu sehingga mati. Disebabkan perbuatannya itu, Allah memasukkannya ke dalam neraka. Kucing itu dikurung tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskan kucing itu untuk memakan haiwan perosak yang berada di bumi.” 

Hadis sahih, riwayat al-Bukhari (no. 2365, 3318 & 3482) dan Muslim (no. 2242 & 2619). 

Huraian Ringkas: 

1. Dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa wanita tersebut daripada kalangan Bani Israel manakala sebahagian riwayat yang lain pula mengatakan dia daripada kabilah Himyariah (sebuah kabilah dari Yaman). Tidak ada pertentangan antara kedua-duanya kerana terdapat sebahagian orang daripada kabilah Himyariah yang masuk ke agama Yahudi. Jadi kadang-kala mereka dinisbahkan kepada kabilah mereka dan kadang-kala pula dinisbahkan kepada agama mereka. 

2. Hadis ini menjadi dalil keharaman membunuh kucing dan keharaman mengurung kucing tanpa makan dan minum. 

3. Zahir hadis ini menunjukkan perempuan itu adalah seorang Muslimah dan dia diazab disebabkan perbuatannya menyeksa kucing tersebut dan berkemungkinan juga perempuan itu adalah kafir dan dia diazab disebabkan kekafirannya dan ditambah lagi azabnya disebabkan perbuatannya menyeksa kucing itu. 

4. Perbuatan menyeksa kucing bukanlah dosa kecil, bahkan ianya dosa besar berdasarkan hadis ini. 

5. Wajib bagi pemilik haiwan memberi makan dan minum bagi haiwan yang dimilikinya.

6. Maksud 'haiwan perosak yang berada di bumi' yakni haiwan seperti tikus, serangga atau seumpamanya. 

Hadis Keenam 

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إلَى أَرْضٍ بِالْمَدِينَةِ، يُقَالُ لَهَا: بَطْحَانُ، فَقَالَ: يَا أَنَسُ اُسْكُبْ لِي وَضُوءًا" فَسَكَبْتُ لَهُ، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتَهُ أَقْبَلَ إلَى الْإِنَاءِ، وَقَدْ أَتَى هِرٌّ فَوَلَغَ فِي الْإِنَاءِ، فَوَقَفَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقْفَةً حَتَّى شَرِبَ الْهِرُّ، ثُمَّ سَأَلْتُهُ فَقَالَ: يَا أَنَسُ إنَّ الْهِرَّ مِنْ مَتَاعِ الْبَيْتِ لَنْ يُقَذِّرَ شَيْئًا، وَلَنْ يُنَجِّسَهُ.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata:  

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam keluar ke bumi Madinah yang dinamakan tempat tersebut  Bathan. 

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. bersabda: “Wahai Anas, tuangkan bagiku air untuk berwuduk.” 

Maka aku menungkan air untuk baginda sallahu ‘alaihi wasallam.

Ketika Rasulullah s.a.w selesai mengqada hajatnya, baginda menghampiri sebuah bekas air. Tiba-tiba datang seekor kucing kemudian ia menjilat air dalam bekas tersebut. 

Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menunggu sehingga kucing tersebut sehingga ia selesai minum air. 

Kemudian aku bertanya kepada baginda (berkenaan kucing tersebut), maka baginda menjawab: “Wahai Anas, sesungguhnya kucing itu adalah antara perhiasan rumah, ianya tidak mencemarkan sesuatu dan tidak pula menajiskannya.” 

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam as-Saghir dan Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Akhbar al-Asbahan. Sanad hadis ini  didaifkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Dirayah Fi Takhrij Ahadith al-Hidayah. 

Huraian Ringkas:    

1. Hadis ini juga sama seperti hadis nombor satu, menunjukkan lebihan sisa air yang telah diminum oleh kucing adalah suci dan boleh bersuci daripadanya. 

Kisah Nabi Membela Kucing Bernama Muezza? 

Sering tersebar kisah kononnya Nabi sallahu a’aihi wasallam membela seekor kucing bernama Muezza. Malangnya kisah tersebut tidak ditemui sumber asalnya. Jadi ia tidak boleh disebarkan dan disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. 

Dalam kitab Siyar A'lam al-Nubala (21/78) karangan Imam al-Zahabi, ada sebuah cerita yang berlaku kepada seorang ulama bernama Imam Ahmad al-Rifa'ie (512H-578H) yang hampir sama seperti kisah kucing bernama Muezza tersebut.

Seekor kucing tidur di atas lengan baju Syeikh Ahmad al-Rifa’ie. Apabila tiba waktu solat, Syeikh Ahmad al-Rifa’ie mengunting lengan bajunya agar tidak mengganggu kucing tersebut. Kemudian beliau duduk lalu mencantumkan lengan baju yang terkoyak itu dan berkata: “Tiada apa yg berubah.”

Hukum Bulu Kucing 

Dalam mazhab asy-Syafi’e, segala bulu yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan maka bulunya adalah najis. Tetapi jika bulu tersebut masih berada pada binatang tersebut maka ianya tidak najis. 

Kucing ialah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut daripadanya adalah najis. Walau bagaimanapun agak sukar untuk mengelak dari terkena bulu kucing kerana ianya adalah haiwan yang sentiasa berada dekat dengan manusia. Jadi bulu kucing termasuk dalam konsep Umum al-Balwa. 

Maksud Umum al-Balwa ialah berleluasanya sesuatu sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya. 

Di dalam kaedah-kaedah fiqh juga terdapat satu kaedah yang disebut al-masyaqqah tajlibu at-taisir yakni kesusahan membawa kemudahan. 

Oleh sebab hampir musahil untuk mengelak daripada terkena bulu kucing, maka bulu kucing termasuk najis yang dimaafkan jika jumlahnya sedikit. Walaubagaimana pun jika jumlahnya banyak, maka hendaklah dibersihkan terlebih dahulu. 

Hukum Memandulkan Kucing 

Hukum memandulkan haiwan yang boleh dimakan adalah diharuskan ketika ia masih kecil, manakala bagi haiwan yang haram dimakan pula maka hukumnya adalah haram, sama ada ia masih kecil ataupun sudah besar. Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menukilkan daripada Imam al-Baghawi dan Imam al-Rafi’e, mereka berdua berkata: 

“Tidak harus mengembiri haiwan yang tidak halal dimakan baik ketika masih kecil atau sudah besar." Dan beliau berkata: "Harus mengembiri haiwan yang halal dimakan ketika masih kecil kerana sesungguhnya ia mempunyai tujuan iaitu untuk keenakan dagingnya dan tidak harus ketika sudah besar." 

Kucing adalah haram dimakan maka hukum asal memandulkannya adalah diharamkan. Namun sekiranya tidak dimandulkan kucing berkenaan sehingga menimbulkan kemudaratan misalannya kucing betina melahirkan anak terlalu banyak sehingga mengabaikannya manakala kucing jantan pula akan memancut ke merata-rata tempat, maka Majlis Fatwa Jordan berpendapat harus untuk memandulkan kucing sekiranya tujuannya untuk menghilangkan mudarat. Mereka menukilkan pendapat Imam Ibnu Mazah al-Bukhari al-Hanafi (meninggal dunia tahun 616 Hijrah) dalam kitab al-Muhith al-Burhani yang berkata: “Berkenaan memandulkan kucing, maka ia tidak mengapa (harus) jika padanya ada manfaat atau untuk menghilangkan mudarat.” Sumber fatwa Majlis Fatwa Jordan disini. 

Oleh itu harus hukumnya untuk memandulkan kucing jika untuk tujuan kebaikan dan menolak kemudaratan. Adapun jika tidak ada apa-apa keperluan untuk memandulkan kucing berkenaan, maka biarkanlah ia sebagaimana kejadian asalnya yang diciptakan oleh Allah. 

Begitu juga disyaratkan juga bahawa proses memandulkan kucing tersebut tidak menyakiti kucing tersebut.

*Tulisan ini saya telah kemaskini semula pada 22/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

Sabtu, 18 Oktober 2014

Syeikhul Islam Zakariyya Al-Ansari



Nama dan pembesaran

Beliau ialah Syeikhul Islam, al-Qadhi al-Qudhah (qadi agung), Zainul ‘Abidin (perhiasan para ‘abid), al-Hafiz (seorang penghafal hadis), Abu Yahya, Zakariyya bin Muhammad bin Ahmad bin Zakariyya al-Ansari as-Sunaiki al-Misri al-Azhari al-Asy’ari asy-Syafi’e.

Dilahirkan di Sunaikah (nama sebuah kampung di Mesir) pada tahun 826 Hijrah. Ada juga pendapat yang mengatakan beliau di lahirkan pada tahun 823 Hijrah dan ada juga mengatakan pada 824 Hijrah tetapi pendapat yang mengatakan pada tahun 826 Hijrah lebih tepat.

Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat miskin. Diceritakan bahawa beliau sentiasa dalam keadaan kelaparan kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Pada waktu malam beliau keluar untuk mengutip sisa-sisa kulit tembikai kemudian dibasuh lalu beliau memakannya. Begitulah keadaan para ulama dahulu. Kebanyakan mereka dilahirkan dalam keluarga yang miskin tetapi kemiskinan tidak pernah menghalang mereka menuntut ilmu.

Menuntut ilmu

Beliau mula menghafal al-Quran di bawah bimbingan dua orang faqih iaitu Syeikh Muhammad bin Rabi’ dan Syeikh al-Burhan al-Faqusi al-Balbisi.

Kemudian beliau mula menghafal matan-matan ilmiah seperti kitab Umdah al-Ahkam oleh al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi dan kitab Mukhtasar al-Tibrizi oleh Abi al-Khair Muzaffar al-Tibrizi.

Pada tahun 841 Hijrah, ketika berumur 15 tahun, beliau bertolak menuju ke Kaherah untuk menuntut di Jami’ al-Azhar. Di sana beliau menamatkan hafalan kitab Mukhtasar at-Tibrizi dan mula menghafal kitab Minhaj at-Thalibin oleh an-Nawawi dalam ilmu fiqh, Alfiyyah Ibnu Malik dalam ilmu nahu, asy-Syatibiyyah dalam ilmu qiraat, Mazumah ar-Rai’yyah oleh al-Zanjani, Minhaj al-Wusul oleh al-Baidhawi dalam ilmu usul fiqh  dan sebahagian daripada kitab Alfiyyah al-Iraqi dalam ilmu mustholah hadis. Beliau tinggal di Kaherah tidak lama dan beliau pulang semula ke kampungnya selepas itu.

Beliau kembali semula ke Kaherah untuk kali kedua untuk menuntut ilmu dengan para ulama di Mesir dalam pelbagai bidang ilmu sehingga beliau menjadi alim dan mahir dalam pelbagai bidang ilmu seperti nahu, bahasa Arab, tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, qiraat, sastera Arab dan lain-lain.

Keahlian dalam bidang ilmu

Keahliah beliau dalam pelbagai bidang ilmu terbukti apabila beliau diamanahkan untuk mengajar di pelbagai madrasah. Malah guru-guru beliau turut memberi keizinan kepada beliau untuk mengajar.

Pada tahun 886 Hijrah, beliau dilantik menjadi Qadhi Qudhah di bawah pemerintahan Raja Mesir iaitu, an-Nasir Muhammad bin Qaitibai dan beliau memegang jawatan tersebut sehingga beliau meninggal dunia. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai qadi tetapi tugas tersebut tidak pernah menghalang beliau daripada aktiviti mengajar, mengeluarkan fatwa dan menulis.

Beliau sempat hidup dibawah pemerintahan lima orang raja kerajaan Mamluk Mesir iaitu an-Nasir Muhammad bin Qaitibai, al-Zahir Qansuh, al-Asyraf Jan Bilath, al-‘Adil Thuman Bai dan al-Asyraf al-Ghauri.

Guru-guru beliau

Beliau membaca al-Quran daripada beberapa orang guru, antaranya:

1. Syeikh Riduan bin Muhammad bin Yusuf bin Salamah bin al-Baha’, Abu an-Na’im al-‘Aqbi asy-Syafi’e.

2. Syeikh Soleh bin Amr bin Ruslan ibn al-Qadhi Abu al-Baqa’ Siraj ad-Din al-Bulqini.

3. Syeikh Tahir bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Makin ad-Din, Abu al-Hasan an-Nuwairi al-Maliki.

4. Syeikh Nur ad-Din Ali bin Muhammad bin al-Imam Fakh ad-Din al-Balbisi asy-Syafi’e.

Beliau mengambil ilmu fiqh daripada:

5. Syeikh Ahmad bin Abdullah bin Mufarraj bin Badr ad-Din al-A’zzi asy-Syafi’e.

6. Syeikh Ahmad bin Ali bin Muhammad al-Syihab, Abu al-Fadl al-Kanani al-Asqalani, terkenal dengan nama Ibnu Hajar al-Asqalani.

7. Syeikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad bin Yusuf bin al-Syams al-Wana’ie asy-Syafi’e.

8. Syeikh Musa bin Ahmad bin Musa bin Abdullah bin Sulaiman as-Subki al-Qahiri asy-Syafi’ie.

Beliau mengambil ilmu hadis daripada:

10. Syeikh Ibrahim bin Sadaqah bin Ibrahim bin Ismail, Burhan ad-Din Abu Ishaq bin Fath ad-Din al-Maqdisi al-Hanbali.

11. Syeikh Abu Abbas Ahmad bin Rejab bin Tibgha asy-Syafi’e, dikenali dengan nama Ibnu al-Majdi.

12. Syeikh Muhammad bin Ali al-Qayati asy-Syafi’e.

13. Syeikh Muhammad bin Sulaiman bin Mas’ud, Muhyi ad-Din Abu Abdullah al-Kafiji.

14. Syeikh Husain bin Ali bin Yusuf, Badr ad-Din al-Irbili al-Huskafi asy-Syafi’e.

Beliau membaca kepada guru-gurunya kitab Sirah an-Nabawiyyah, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musna Imam asy-Syafi’e, Sunan an-Nasa’ie as-Sughra dan Sunan Ibnu Majah.

Kesemua guru-gurunya memberikan ijazah kepada beliau dan disebutkan dalam kitab thabatnya bahawa guru-guru beliau lebih daripada 150 orang.

Imam Zakariyya al-Ansari telah dipakaikan khirqah as-sufiyyah oleh beberapa orang gurunya iaitu :

15. Syeikh Abi Abbas Ahmad bin Ali al-Atkawi.

16. Syeikh Abi Hafs Umar bin Ali an-Nabtini.

17. Syeikh Ahmad bin Ali al-Dimyathi.

Beliau mengambil ilmu tarikat daripada Syeikh Muhammad bin Umar al-Wasithi al-Umri asy-Syafi’e.

Murid-murid beliau

Oleh sebab keilmuan dan kealiman beliau dalam pelbagai jenis ilmu Islam, maka ramailah para ulama yang dating menuntut dengan beliau, di antaranya:

1. Syeikh Abu Bakar bin Muhammad bin Yusuf al-Qari.

2. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Ahmad bin Muhammad, Syeikhul Islam Syihab ad-Din terkenal dengan nama Ibnu Hajar al-Haitami al-Misri al-Makki asy-Syafi’e. Telah dijelaskan biodata beliau dalam posting yang lalu.

3. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Ansari asy-Syafi’e.

4. Syeikh Ahmad bin Syihabuddin al-Ramli al-Misri asy-Syafi’e. Beliau merupakan murid utama bagi Imam Zakariyya al-Ansari. Beliau berdamping dengan Imam Zakariyya al-Ansari dalam waktu yang sangat lama sehingga beliau diberi kebenaran oleh Imam Zakariyya al-Ansari untuk membetulkan kitab-kitab karangan beliau sewaktu hayatnya dan selepas matinya dan perkara tersebut tidak diizinkan kepada murid beliau yang lain.

5. Syeikh Ahmad bin Muhammad bin Umar bin Abu Bakar, Syihab ad-Din al-Homsi ad-Dimasyqi asy-Syafi’e.

6. Syeikh Syihab ad-Din al-Birlisi al-Misri asy-Syafi’e, terkenal dengan nama ‘Umairah.

7. Syeikh as-Soleh Abdul Wahab bin Zauqa bin Musa asy-Sya’rawai al-Misri asy-Syafi’e.

8. Syeikh Ali bin Ahmad bin Ali bin Abdul Muhaimin bin Hasan bin Ali, Syeikh Nur ad-Din asy-Syafi’e, terkenal dengan nama al-Qarafi.

9. Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Mahmud bin al-Farfur ad-Dimasyqi asy-Syafi’e.

10. Syeikh Muhammad bin Salam bin Ali at-Tablawi.

11. Syeikh Muhammad bin Abdullah, Bahauddin al-Misri.

12. Syeikh Yusuf bin Zakariyya, anak kepada Imam Zakariyya al-Ansari.

Penulisan

Beliau telah menghasilkan lebih kurang 89 buah karangan, di antara kitab beliau yang terkenal ialah:

1. Ahkam ad-Dilalah ‘Ala Tahrir ar-Risalah, syarah kepada kitab Risalah al-Qusyairiyyah karya Imam al-Qusyairi.



2. Tahrir Tanqih al-Lubab, dalam fiqh mazhab asy-Syafi’e.



3. Tuhfah at-Thulab Bi Syarah Tahrir Tanqih al-Lubab, syarah kepada kitab di atas.



4. Tuhfah al-Bari ‘Ala Sahih al-Bukhari, syarah kepada kitab Sahih al-Bukhari.



5. Hasyiah ‘Ala Tafsir al-Baidhawi, catatan ke atas Tafsir al-Baidhawi.

6. Al-Durar As-Saniyyah Fi Syarah Alfiyah, syarah kepada kitab Alfiyah Ibnu Malik dalam ilmu Nahu.

7. Al-Daqa’iq al-Muhakkamah Fi Syarah Al-Muqaddimah, syarah kepada Muqaddimah al-Jazariyyah dalam ilmu tajwid.

8. Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah.

9. Fath al-Baqi Bi Syarah Alfiyah al-Iraqi, syarah kepada kitab Alfiyah al-Iraqi dalam ilmu Mustholah hadis.



10. Fath al-Wahab bi Syarah Minhaj at-Thulab.



11. Minhaj al-Thulab, merupakan ringkasan kepada kitab Minhaj at-Thalibin karya Imam an-Nawawi.

Meninggal dunia

Imam Zakariyya al-Ansar meninggal dunia pada bulan Zulkaedah tahun 926 Hijrah ketika berumur 100 tahun. Jenazah beliau disolatkan di Masjid al-Azhar, malah raja juga turut mensolatkan jenazah beliau. Jenazah beliau dikebumikan tidak jauh dari makam Imam asy-Syafi’e. Semoga Allah merahmati Imam Zakariyya al-Ansari. Amin.

Makam Imam Zakariyya Al-Ansari

Isnin, 6 Oktober 2014

Hadis Kelebihan Menuntut Ilmu



Hadis Pertama

مَنْ يُرِد اللَّه بِهِ خيْراً يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ.

“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya Allah akan fahamkan dia dalam urusan agamanya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Mu’awiyyah.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan ilmu yang menghimpunkan kebaikan yang banyak.

2 - Mudah memahami ilmu agama merupakan tanda seseorang itu mendapat taufik dan reda daripada Allah.

3 - Tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak mahu mempelajari urusan agamanya.

Hadis Kedua

مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ.

“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Anas bin Malik. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘jalan Allah’ iaitu dalam melakukan ketaatan kepada Allah.

Pengajaran Hadis:

1 - Menuntut ilmu adalah sebuah jihad di jalan Allah.

2 - Menuntut ilmu disamakan dengan jihad kerana kedua-duanya adalah sebuah usaha untuk menghidup dan mempertahankan agama Islam.

3 - Sesiapa yang meninggal dunia ketika sedang menuntut ilmu, maka baginya pahala seumpama orang mati syahid.

Hadis Ketiga

الْعَالِمُ وَالْمُتَعَلِّمُ شَرِيكَانِ فِي الْأَجْرِ، وَلَا خَيْرَ فِي سَائِرِ النَّاسِ بعد.

“Orang alim dan penuntut ilmu sama-sama dalam mendapat pahala dan tidak ada kebaikan pada manusia yang lain.”

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Abu al-Darda’ dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Orang alim dan penuntut ilmu sama-sama mendapat pahala kerana Allah menghendaki kebaikan bagi mereka sehingga mereka telah dipermudahkan mendapat ilmu. Orang alim menyebarkan ilmu kepada manusia manakala penuntut ilmu pula mempelajarinya sehinggalah dengan ilmu tersebut dia mendapat petunjuk. Setelah itu, dengan ilmu itu jugalah dia akan menjadi petunjuk kepada manusia yang lain.

2 - Tidak ada kebaikan bagi manusia yang tidak terlibat dengan ilmu, sama ada mempelajarinya atau mengajarkannya. Maksud kebaikan di sini adalah kebaikan yang khusus yang hanya orang yang terlibat dengan ilmu sahaja yang akan mendapatkannya. Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud kebaikan di sini ialah kebaikan yang sempurna tidak diperolehi oleh manusia yang tidak bergelumang dengan ilmu.

Hadis Keempat

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَبْتَغِي فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَريقًا إِلَى الجَنَّةِ، وَإنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ.

“Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan oleh penuntut ilmu tersebut.”

Riwayat Abu Daud, at-Termizi dan Ibnu Majah daripada hadis Abu al-Darda’.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘malaikat merendahkan sayapnya’ iaitu malaikat merendah diri terhadap penuntut ilmu dan memuliakan mereka.

Pengajaran Hadis:

1 - Menuntut ilmu adalah salah satu cara untuk mudah masuk ke syurga.

2 - Galakan supaya memuliakan penuntut ilmu dan bersikap tawaduk terhadap mereka.

Hadis Kelima

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ.

“Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim.”

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Anas bin Malik. Hadis ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz al-Mizzi kerana sanadnya yang banyak.

Pengajaran Hadis:

1 - Menuntut ilmu agama adalah fardu atas setiap orang Islam yang mukallaf sama ada lelaki mahupun wanita.

2 - Walaupun dalam hadis hanya menyebut muslim (lelaki) tetapi ia juga merangkumi muslimah (wanita). Sebahagian ulama menyebutkan hadis tersebut dengan tambahan ‘muslimah’ di hujungnya, tetapi menurut al-Hafiz al-Sakhawi ia tidak ada dalam mana-mana riwayat walaupun maknanya adalah benar.

Hadis Keenam

أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ.

“Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat apa yang ada di dalamnya melainkan zikir kepada Allah dan apa yang dicintai oleh Allah, orang alim dan penuntut ilmu.”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Abu Hurairah. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘dunia’ di sini ialah setiap perkara yang membuatkan manusia sibuk dan jauh daripada Allah seperti kemaksiatan, kemungkaran dan syahwat.

2 -  Maksud ‘dilaknat’ ialah dimurkai dan dicela oleh Allah.

3 - Maksud ‘apa yang dicintai oleh Allah’ iaitu ketaatan kepada Allah dan amalan baik yang mendekatkan diri kepada Allah.

Pengajaran Hadis:

1 - Harus untuk melaknat setiap perkara yang membuat manusia jauh daripada Allah dan mengganggu daripada mengingatiNya.

2 - Setiap perkara keduniaan ini adalah hiburan dan mainan melainkan perkara yang dapat membantu kita mengingati Allah.

3 - Galakan supaya menuntut ilmu dan mengajarkannya supaya dapat mendekatkan diri kepada Allah dan terselamat daripada kemurkaannya.

Rujukan:

1 - Al-Targhib wa al-Tarhib karangan al-Hafiz al-Munziri.

2 - Dalil al-Falihin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Imam Ibnu ‘Allan al-Siddiqi.

3 - Masyariq al-Anwar al-Wahhajah Fi Syarah Sunan Ibnu Majah karangan Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi

4 - Mursyid Zawi al-Hija Wa al-Hajah Ila Sunan Ibnu Majah karangan Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari

5 - Nuzhah al-Muttaqin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syirbaji dan Muhammad Amin Luthfi.

6 - Riyadh al-Salihin karangan Imam al-Nawawi.

7 - Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami' Al-Termizi karangan Syeikh Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 28/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

Baca juga:

Hadis Kelebihan Mengajar Imu

Sabtu, 4 Oktober 2014

Kelebihan Ilmu




Daripada al-Quran

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ 

Terjemahan :

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

(Surah Al-Mujadalah ayat 11)

Kata Saidina Abdullah Bin Abbas Radiallahu ‘anhuma :

“Kelebihan darjat ulama berbanding darjat seorang mukmin adalah 700 darjat dan di antara satu-satu darjat tersebut jaraknya lebih kurang 500 tahun perjalanan.”


قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِي ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ

Terjemahan :

Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

(Surah Az-Zumar ayat 9)


إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ 

Terjemahan :

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

(Surah Al-Fatir ayat 28) 


وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِۖ وَمَا يَعۡقِلُهَآ إِلَّا ٱلۡعَٰلِمُونَ 

Terjemahan :

Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.

(Surah Al-Ankabut ayat 43)

شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآئِمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ 

Terjemahan :

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah Ali Imran ayat 11)

Daripada hadis Nabi S.A.W

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ

Terjemahan :

“Ulama adalah pewaris para nabi”

Hadis riwayat Ahmad 5/196, Ad-Darimi (349), Abu Daud (3641), At-Termizi (2682), Ibnu Majah (223), At-Tahawi dalam Musykil al-Athar (982), Ibnu Hibban (88) dan At-Thabarani dalam Musnad Asy-Shamain (123).

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أفضل النَّاس الْمُؤمن الْعَالم الَّذِي إِن احْتِيجَ إِلَيْهِ نَفَعَ وَإِن اسْتُغْنِيَ عَنْهُ أَغْنَى نَفْسَهُ

Terjemahan :

“Sebaik-baik manusia ialah seorang mukmin yang alim yang jika orang berkehendak kepadanya maka dia akan memberi manfaat kepada mereka dan jika mereka membiarkannya maka dia tidak berhajat kepada mereka.”

Berkata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ib al-Iman secara mauquf kepada Abu Darda’ dengan sanad yang daif dan aku berpendapat sanad hadis ini tidak bersambung.

الإِيمَانُ عُرْيَانٌ وَلِبَاسُهُ التَّقْوَى وَزِينَتُهُ الْحَيَاءُ وَثَمَرَتُهُ الْعِلْمُ
Terjemahan :

“Iman itu kosong (telanjang), pakaiannya takwa, perhiasannya malu dan buahnya (hasilnya) ilmu.”

Berkata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim dalam Tarikh Naisabur daripada Abu Darda’ dengan sanad yang daif.

أَقْرَبُ النَّاسِ مِنْ دَرَجَةِ النُّبُوَةِ أَهْلُ العِلْمِ وأَهْلُ الجِهَادِ أَمَّا أَهْلُ الْعِلْمِ فَدَلُّوا النَّاسَ عَلَي مَاجَاءَتْ بِهِ الرُسُلُ وَأَمَّا أَهْلُ 

الجِهَادِ فَجَاهَدُوا عَلَى مَاجَاءَتْ بِهِ الْرُسُلُ

Terjemahan :

“Manusia yang paling dekat darjatnya dengan darjat kenabian adalah orang yang berilmu dan orang yang berjihad. Dan adapun orang yang mempunyai ilmu, mereka menunjukkan kepada manusia agama yang dibawa oleh para rasul. Dan adapun orang yang berjihad, mereka berjihad untuk apa yang di bawa oleh para rasul.”

Berkata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam Fadl al-‘Alim Al-‘Afif daripada Ibnu ‘Abbas dengan sanad yang daif.

الْعَالِمُ أَمِينُ اللهِ فِي الأَرْضِ

Terjemahan :

“Orang yang alim itu adalah orang yang dipercayai oleh Allah di bumi.”

Berkata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan Al-‘Ilm Wa Fadluhu (251) daripada hadis Muaz bin Jabal dengan sanad yang daif.

يَشْفَعُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَلَاثَةٌ: الْأَنْبِيَاءُ، ثُمَّ الْعُلَمَاءُ، ثُمَّ الشُّهَدَاءُ
Terjemahan :

“Orang yang dapat memberi manfaat pada hari kiamat ada tiga :  Para anbiya’ kemudian para ulama, kemudian para syuhada’.”

Hadis riwayat Ibnu Majah (4313), al-Bazzar (372), al-‘Uqaili dalam ad-Du’afa’ 3/367, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil 5/1901, al-Khatib dalam Tarikh Baghdad 11/177, Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadluhu (152).

Berkata al-Iraqi : Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada hadis Uthman bin Affan dengan sanad yang daif.


يَسْتَغْفِرُ لِلْعَالِمِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Terjemahan :

Seluruh makhluk yang berada di langit dan bumi meminta ampun bagi orang alim.

Hadis riwayat Ahmad 5/196, Ad-Darimi (349), Abu Daud (3641), At-Termizi (2682), Ibnu Majah (223), At-Tahawi dalam Musykil al-Athar (982), Ibnu Hibban (88) dan At-Thabarani dalam Musnad Asy-Shamain (123).

 مِنْ تَفَقَّهَ فِي دِينِ اللَّهِ كَفَاهُ اللَّهُ هَمَّهُ وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ

Terjemahan :

"Sesiapa yang menuntut ilmu agama nescaya akan dicukupkan oleh Allah cita-citanya dan akan diberi rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka."

Hadis riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad 4/51, Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadluhu 1/45, al-Hakim dalam Tarikh Naisabur sebagaimana yang dikatan oleh az-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal 1/141.

Kata al-Iraqi : Hadis ini diriwayatkan oleh al-Khatib dalam at-Tarikh daripada hadis Abdullah bin Juz’I az-Zabidi dengan sanad yang daif.

فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَى رَجُلٍ مِنْ أَصْحَابِي

Terjemahan :

“Kelebihan orang yang alim atas orang yang abid adalah seperti kelebihanku atas serendah-rendah orang daripada kalangan sahabatku.”

Hadis riwayat at-Termizi (2685), at-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir (7911) dan (7912), Ibn Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadluhu 1/38.

Kata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh at-Termizi daripada hadis Abi Umamah dan at-Termizi berkata hadis ini Hasan Sahih.

فَضْلُ الْمُؤْمِنِ الْعَالِمِ عَلَى الْمُؤْمِنِ الْعَابِدِ، بِسَبْعِينَ درَجَةً

Terjemahan :

“Kelebihan orang yang mukmin yang alim atas orang mukmin yang abid 70 darjat.”

Berkata al-Iraqi : Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu ‘Adi daripada Abu Hurairah dengan sanad yang daif dan Abu Ya’la daripada hadis Abdul Barr bin ‘Auf.


بَيْنَ الْعَالِمِ وَالْعَابِدِ مِائَةُ دَرَجَةٍ بَيْنَ كُلِّ دَرَجَتَيْنِ حَضَرُ الْجَوَادِ الْمُضْمَرِ سَبْعِينَ سَنَةً

Terjemahan :

“Antara orang yang alim dan orang yang abid seratus darjat, antara setiap dua darjat (jarak) perjalanan kuda yang sangat pantas sekira-kira 70 tahun.”

Hadis riwayat Ibn Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadluhu (129), ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (2161) dan Abu Ya’la dalam Musnad (856).

Berkata al-Iraqi : Diriwayatkan oleh al-Asbahani dalam at-Targhib wa at-Tarhib daripada hadis Ibn Umar daripada ayahnya dengan sanad yang daif dan diriwayatkan oleh penulis kitab Musnad al-Firdaus daripda hadis Abu Hurairah.

يَبْعَثُ اللهُ الْعِبَادَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثمَّ يبْعَثُ الْعُلَمَاءَ ثمَّ يَقُولُ: يَا مَعْشَرَ الْعُلَمَاءِ، إِنِّي لَمْ أَضَعْ عِلْمِي فِيكُمْ إِلَّا لِعِلْمِي بِكُمْ وَلَمْ أَضَعْ عِلْمِي فِيكُمْ لأُعَذِّبُكُمْ، اِذْهَبُوا فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

Terjemahan :

“Allah membangkitkan orang yang abid pada hari kiamat, kemudian Allah membangkitkan para ulama. Kemudian Allah berfirman : Wahai para ulama’, tidak aku berikan ilmuku kepada kamu melainkan dengan pengetahuanku akan kamu dan tidak aku berikan ilmuku kepada kamu untuk mengazabmu. Pergilah kamu (ke dalam syurga) sesungguhnya aku telah memaafkan kamu.”

Hadis riwayat at-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (4264).

Kata al-Iraqi : Hadis ini diriwayatkan oleh at-Thabarani daripada hadis Abu Musa al-Asy’ari dengan sanad yang daif.

قِيلَ لَهُ يَا رَسُول الله أَي الْأَعْمَال أَفْضَل فَقَالَ الْعلم بِاللَّه عز وَجل، فَقيل: أَي الْعلم تُرِيدُ؟ قَالَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم: الْعلم بِاللَّه سُبْحَانَهُ، فَقيل لَهُ: نسْأَل عَن الْعَمَل وتجيب عَن الْعلم! فَقَالَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم: إِن قَلِيل الْعَمَل ينفع مَعَ الْعلم بِاللَّه، وَإِن كثير الْعَمَل لَا ينفع مَعَ الْجَهْل بِاللَّه

Terjemahan :

“Seorang sahabat nabi s.a.w berjumpa dengan baginda lalu berkata : Wahai Rasulullah, apakah sebaik-baik amalan? Sabda baginda : Ilmu mengenal Allah Azza Wajalla. Maka sahabat tersebut berkata : Ilmu apa yang engkau mahu? Kata Rasulullah s.a.w : Ilmu mengenal Allah s.w.t. Kata sahabat tersebut : Kami bertanya dari segi amalan, engkau menjawab dari segi ilmu. Maka berkata Rasulullah s.a.w : Sesungguhnya sedikit amalan dengan mengenal Allah itu lebih bermanfaat dan banyak amalan dengan tidak mengenal Allah tidak memberi manfaat.”

Hadis riwayat Ibn Abdil Barr dalam Bayan al-‘Ilm Wa Fadluhu (214).

Kata al-Iraqi : Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abdil Barr daripada hadis Anas bin Malik dengan sanad yang daif.

Dipetik daripada kitab Sair as-Salikin illa Ibadah Rabb al-'Alamin oleh Syeikh Abdul Samad al-Falimbani Rahimahullah.