Ahad, 13 September 2015

Hadis sembilan persepuluh punca rezeki adalah perniagaan



Terdapat dua lafaz hadis yang yang hampir sama berkenaan sembilan persepuluh punca rezeki adalah perniagaan, iaitu:

تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ

Terjemahan:

Sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan.

عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة اعشار الرزق

Terjemahan:

"Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan"

Sumber hadis

1. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dalam Islah al-Mal[1] daripada Nu’aim bin Abdul Rahman.

2. Diriwayatkan oleh Musaddad dalam Musnad Musaddad daripada Nu’aim bin Abdul Rahman sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Mathalib al-‘Aliyah bi Zawa’id al-Masanid al-Thamaniyah[2].

3. Diriwayatkan oleh Sa’id bin Mansur dalam Sunan Sa’id bin Mansur daripada Nu’aim bin Abdul Rahman dan Yahya bin Jabir al-Tha’ie sebagaimana yang disebutkan oleh al-Sayuthi dalam Jami’ al-Saghir[3].

4. Diriwayatkan oleh Ibrahim al-Harbi dalam Gharib al-Hadis daripada Nu’aim bin Abdul Rahman sebagaimana yang disebutkan oleh al-Iraqi dalam al-Mughni ‘An Hamili al-Asfar[4].


Bagaimanapun kesemuanya tidak meriwayatkan lafaz hadith di atas tadi, tetapi dengan lafaz berikut :

تسعة اعشار الرزق في التجارة

"Sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan.”

Komentar ulama hadis terhadap hadis ini

1. Kata al-Busiri dalam Ithaf al-Khairah al-Maharah Bi Zawa'id al-Masanid al-'Asyarah [5]: “Sanad ini daif disebabkan majhulnya Nu’aim bin al-Rahman.”

2. Al-Sayuthi menyatakan hadis ini mursal walau bagaimanapun beliau mengisyaratkan hadis ini hasan.

3. Kata al-Iraqi dalam al-Mughni ‘An Hamili al-Asfar[6]: "Para periwayatnya adalah tsiqah (dipercayai). Nu'aim bin Abdul Raman dikategorikan oleh Ibn Mandah termasuk daripada kalangan para sahabat, tetapi itu tidak benar. Menurut Abu Hatim al-Razi dan Ibnu Hibban, beliau adalah seorang tabi'i (sempat bertemu sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah), maka hadith ini adalah mursal."

4. Kata Murtadha al- Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin[7]: "Ia turut diriwayatkan oleh Said bin Mansur dalam Sunannya daripada hadis riwayat Nu'aim bin Abd ar Rahman dan hadis riwayat Yahya bin Jabir at Tha'ie secara mursal dengan tambahan akhir: "....dan satu persepuluh pula di dalam bidang penternakan." Dalam riwayat lain "...dan satu persepuluh pula dalam bidang penghasilan."

Nu'aim bin 'Abd ar Rahman adalah perawi maqbul (diterima) daripada peringkat kedua. Yahya bin Jabir at Tha'ie pula adalah qadhi Hims (di Syria), seorang perawi saduq (benar), sepertimana dalam kitab al-Kasyif[8]. Namun, di dalam kitab al-Taqrib[9] disebut seorang yang tsiqah (dipercayai), tapi banyak memursalkan hadith."

Kesimpulan

Hadis ini daif kerana ianya adalah hadis mursal (hadis yang diriwayatkan oleh tabi’in yang disandarkan kepada Nabi tanpa melalui sahabat). Walau bagaimanapun, hadis ini masih boleh diamalkan untuk fadhilat amal (kelebihan beramal).




[1] Mausu’ah Ibnu Abi Dunya, jilid 1, ms. 356, cetakan Dar Athlas al-Khadra’.
[2] Al-Mathalib al-‘Aliyah bi Zawa’id al-Masanid al-Thamaniyah, jilid 7, ms. 352, no. hadis 1434, cetakan Dar al-‘Asimah.
[3] Jami’ al-Ahadith, jilid 4, ms. 86, no. hadis 10344, cetakan Dar al-Fikr.
[4] al-Mughni ‘An Hamili al-Asfar, jilid 1, ms. 419, no. hadis 1588, cetakan Maktabah Dar Thabariyyah.
[5] Ithaf al-Khairah al-Maharah Bi Zawa'id al-Masanid al-'Asyarah, jilid 4, ms. 186, cetakan Maktabah al-Ruyd.
[6] al-Mughni ‘An Hamili al-Asfar, jilid 1, ms. 419, no. hadis 1588, cetakan Maktabah Dar Thabariyyah.
[7] Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, jilid 5, ms. 416, cetakan Muassasah al-Tarikh al-‘Arabi.
[8] Al-Kasyif Fi Ma’rifah Man Lahu Riwayah Fi al-Kutub al-Sittah, jilid 2, ms. 363, no. 6143, cetakan Dar al-Qiblah dan Muassasah ‘Ulum al-Quran.
[9] Taqrib al-Tahzib, ms. 1050, cetakan Dar al-‘Asimah.

Sabtu, 12 September 2015

Karamah Imam al-Ghazali


1. Al-Munawi[1] berkata: Ketika mana Qadhi 'Iyyad mengeluarkan fatwa agar kitab Ihya' dibakar, disampaikan berita tersebut kepada Imam al-Ghazali maka beliau berdoa keatas Qadhi 'Iyyad. Secara tiba-tiba Qadhi 'Iyyad mati ketika berada di dalam tandas.

Dikatakan bahawa al-Mahdi (khalifah ketika itu) yang menyuruh agar Qadhi 'Iyyad dibunuh ketika  berada di dalam tandas.

2. Al-Munawi[2] berkata: Di antara karamah beliau adalah apa yang telah dikeluarkan oleh al-Yafi'e daripada Ibnu al-Mailaq daripada al-'Arsyi daripada al-Mursi daripada al-Syazili daripada Syeikh Ibnu Hizam:

Beliau (Ibnu Hizam) keluar bersama-sama dengan sahabatnya dan bersamannya terdapat sebuah kitab. Beliau berkata: Adakah kamu tahu kitab ini? Mereka berkata: Ini kitab Ihya'.

Adalah Syeikh Ibnu Hizam memfitnah Imam al-Ghazali dan melarang orang membaca kitab Ihya'. Beliau menunjukkan badannya kepada sahabat beliau dan terdapat kesan dipukul dengan cemeti pada badannya.

Beliau berkata: al-Ghazali telah datang dalam mimpiku dan memanggilku bertemu dengan Rasulullah . Ketika mana kami berada di hadapan Rasulullah, al-Ghazali berkata: Lelaki ini mendakwa aku berkata sesuatu yang tidak engkau (Rasulullah ) katakan.
Maka Rasulullah memerintahkan al-Ghazali memukulku maka beliau memukulku.

# Karamah adalah perkara mencarik adat (luar biasa) yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya yang soleh dan bertakwa sebagai satu bentuk kemulian kepadanya.





[1] Al-Kaukib al-Durriyyah Fi Tarajim al-Sadah al-Sufiyyah, jilid 2, ms. 294, cetakan Dar Sodir.
[2] Al-Kaukib al-Durriyyah Fi Tarajim al-Sadah al-Sufiyyah, jilid 2, ms. 294, cetakan Dar Sodir.

Benarkah kisah kucing bernama Mueeza?


Credit gambar: White_Coffee_Cat

Selalu terjumpa dalam internet orang mengongsi kisah kononnya nabi sallahu 'alaihi wasallam menggunting jubah kerana ada seekor kucing bernama Mueeza yang tidur atas jubah nabi sallahu 'alaihi wasallam. Kerana tidak ingin mengganggu kucing itu tidur nabi menggunting bahagian jubah di mana kucing itu berada.
Kebenaran kisah tersebut tidak pula diketahui sebab semua yang berkongsi cerita itu tidak menyertakan sumbernya.
Terjumpa dalam kitab Siyar A'lam al-Nubala (21/78) oleh al-Dzahabi rahimahullah cerita yang lebih kurang sama seperti di atas yang berlaku kepada Imam Ahmad al-Rifa'ie rahimahullah (512H-578H).
Seekor kucing tidur di atas lengan baju Syeikh Ahmad al-Rifa’ie. Apabila tiba waktu solat, Syeikh Ahmad al-Rifa’ie mengunting lengan bajunya dan tidak mengganggu kucing tersebut. Kemudian beliau duduk lalu mencantumkan lengan baju yang terkoyak itu dan berkata: “Tiada apa yg berubah.”