Ahad, 29 Oktober 2017

Takhrij Hadith: Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya

 Soalan:

إن لقمان قال لابنه يا بني عليك بمجالسة العلماء واسمع كلام الحكماء فإن الله ليحيي القلب الميت بنور الحكمة كما يحيى الأرض الميتة بوابل المطر

*درجة الحديث: هو من طريق عبيد الله بن زحر عن علي بن يزيد عن القاسم

*الراوي: أبو أمامة الباهلي

* المحدث: المنذري في الترغيب والترهيب - 1/89

Ust, nok tanye... Darjat hadis... Kat situ ye kata drpd toriq ubaidillah... Maksud ye gane?... Soheh ke... Dhaif ke... Gane?

Jawapan:

إِنَّ لُقْمَانَ قَالَ لِابْنِهِ: يَا بُنَيَّ عَلَيْكَ بِمَجَالِسِ الْعُلَمَاءِ، وَاسْتَمِعْ كَلَامَ الْحُكَمَاءِ، فَإِنَّ اللهَ يُحْيِي الْقَلْبَ الْمَيِّتَ بِنُورِ الْحِكْمَةِ كَمَا يُحْيِي الْأَرْضَ الْمَيْتَةَ بِوَابِلِ الْمَطَرِ

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Luqman (al-Hakim) berkata kepada anaknya, Wahai anakku, hendaklah kamu berdamping dengan ulama dan mendengar kalam hukama. Sesungguhnya Allah akan menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana dihidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.”

Hadis ini daif.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Ramahurmuzi dalam Amthal al-Hadith daripada jalur perawi Abi al-Muhallab, Mutharrih bin Yazid daripada ‘Ubaidillah bin Zahr al-Dhamri daripada ‘Ali bin Yazid al-Alhani daripada al-Qasim bin Abdul Rahman al-Syami daripada Abi Umamah.

Abu al-Muhallab, ‘Ubaidillah bin Zahr dan Ali bin Yazid, ketiga-tiganya adalah daif.

Kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Dalam sanadnya ada ‘Ubaidullah bin Zahr (yang meriwayatkan) daripada ‘Ali bin Yazid, kedua-dua mereka adalah daif yang tidak boleh dijadikan hujah dengannya.”

Al-Hafiz al-Sayuthi menilai sanadnya sebagai daif dalam al-Durr al-Manthur.

Takhrij Hadith: "Ketergesa-gesaan itu dari syaitan..."

Soalan:

Mohon pencerahan tentang hadis berikut :

“Dikatakan, “Ketergesa-gesaan itu dari syaitan, kecuali dalam lima perkara: menghidangkan makanan jika tetamu telah hadir, mengurusi jenazah jika telah meninggal dunia, menikahkan anak gadis jika telah baligh, menunaikan utang jika telah sampai tempoh, dan bertaubat dari dosa jika telah melakukan dosa”.

(HR. Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah (8/78))

Jawapan:

العجلة من الشَّيْطَان إِلَّا فِي خَمْسَة فَإِنَّهَا من سنة رَسُول الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم إطْعَام الطَّعَام وتجهيز الْمَيِّت وتزويج الْبكر وَقَضَاء الدَّين وَالتَّوْبَة من الذَّنب

Lafaz seperti ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya daripada kata-kata Hatim al-Ashom (w. 237H) tapi  kandungannya diambil daripada hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya hadis berikut:

الأَنَاةُ مِنَ اللَّهِ وَالعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

“Kehati-hatian itu daripada Allah dan ketergesa-gesaan itu daripada syaitan.”

Riwayat al-Termizi daripada Sahl bin Sa’ad. Kata al-Termizi (dalam sebahagian manuskrip Sunan al-Termizi): “Hadis hasan gharib.” Abu Ya’la meriwayatkan daripada Anas bin Malik dengan lafaz yang lebih kurang sama.

التؤدة في كل شيء خير إلا في عمل الآخرة

“Kehati-hatian/perlahan-lahan pada setiap perkara itu baik kecuali pada amalan akhirat (maka perlu disegerakan).”

Riwayat Abu Daud daripada Sa’ad bin Abi Waqqas dengan sanad yang daif.

ثَلَاثٌ يَا عَلِيُّ لَا تُؤَخِّرْهُنَّ: الصَّلَاةُ إِذَا آنَتْ، وَالْجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ، وَالْأَيِّمُ إِذَا وَجَدَتْ كُفْؤًا

“Tiga perkara wahai Ali, jangan dilambat-lambatkan: Solat apabila telah tiba (waktunya), (solat) jenazah apabila telah hadir (jenazahnya), wanita bujang apabila telah ada pasangan yang sekufu.”


Riwayat Ahmad, al-Termizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan lain-lain. Al-Hakim mensahihkannnya dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Takhrij hadith: "Jika Aku menguji hambaKu yang mukmin..."

Soalan:

Asalam ustaz,

Sabda Nabi S.A.W:

"Jika kamu di timpa sakit( musibah ), dan kamu di ziarahi, dan kamu tidak mengeluh, maka aku ( Allah azawajallah ), akan gantikan dengan darah dan daging yg baru."
Minta penjelasan hadith ini, atau jika ada hadith yang asal.

Jawapan:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِيَ الْمُؤْمِنَ، وَلَمْ يَشْكُنِي إِلَى عُوَّادِهِ أَطْلَقْتُهُ مِنْ أَسَارِي، ثُمَّ أَبْدَلْتُهُ لَحْمًا خَيْرًا مِنْ لَحْمِهِ، وَدَمًا خَيْرًا مِنْ دَمِهِ، ثُمَّ يُسْتَأْنَفُ الْعَمَلَ

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 “Allah Ta’ala berfirman, Jika Aku menguji hambaKu yang mukmin (beriman) dan dia tidak mengadukan (kesakitannya) kepada orang yang menziarahinya, Aku akan bebaskan dia daripada kesakitan tersebut. Kemudian Aku akan gantikan daging yang lebih baik daripada dagingnya (yang dahulu) dan gantikan darah yang lebih baik daripada darahnya (yang dahulu), kemudian akan dihapuskan dosa perbuatan buruknya.”

Hadis ini riwayat al-Hakim al-Naisaburi dalam al-Mustadrak dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra dan Syu’ab al-Iman daripada hadis Abu Hurairah.

Al-Hakim mensahihkannya dan dipersetujui oleh al-Hafiz al-Zahabi. Al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Hadis al-Ihya’ menilai sanadnya sebagai jayyid (baik).

Isnin, 9 Oktober 2017

Hadis Tidur Selepas Asar

مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.

Hadis ini diriwayatkan daripada beberapa sahabat dan mursal tabiin antaranya riwayat Aisyah, Abdullah bin ‘Abbas, Anas bin Malik, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As, mursal al-Zuhri dan lain-lain. Sebahagian riwayat ini dikritik dengan keras manakala sebahagian yang lain menerima kritikan yang ringan sahaja.

Hadis ini sekadar daif sahaja, bukan sangat daif atau palsu. Hadis ini masih dapat digunakan untuk al-tarhib [ancaman daripada melakukan perbuatan yang buruk].

Riwayat yang paling ringan kedaifannya ialah hadis Anas bin Malik [diriwayatkan dalam Mu’jam al-Isma’ili dan Tarikh Jurjan], mursal Makhul [riwayat Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil] dan mursal al-Zuhri [riwayat al-Tahawi dalam Musykil al-Athar]. Semuanya diriwayatkan melalui perawi Abdullah bin Lahi'ah. Dia adalah perawi yang daif, tetapi tidak sampai ke tahap yang sangat daif.

Kata Syeikh Ahmad Ma'bid Abdul Karim dalam ta'liq kitab al-Nafh al-Syazi Fi Syarh Sunan al-Termizi:

"Dengan meneliti jalur-jalurnya secara umum, kami mendapati bahawa jalur yang paling kurang sekali kedaifannya adalah berdasarkan dua jalur Ibnu Lahi'ah, yang mursal dan yang mausul. Tindakah Ibnu Jauzi yang menyifatkan Ibnu Lahi'ah sebagai zahib al-hadis (sangat daif) adalah adalah satu bentuk tasyaddud yang bercanggah dengan pendapat jumhur yang mendaifkannya sahaja. Disebabkan itu, al-Sayuthi dan selepas beliau iaitu Ibnu 'Arraq menolak pendapat Ibnu Jauzi yang mengkategorikannya sebagai hadis palsu, dan mereka berdua sekadar mendaifkannya sahaja."

Sebahagian ulama mazhab Hanbali seperti Ibnu Muflih dalam Adab al-Syar'iyyah dan al-Buhuti dalam Kasyf al-Qina' berpendapat makruh tidur selepas Asar.

Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf meriwayatkan daripada seorang sahabat iaitu Khawwat bin Jubair, beliau berkata:

كَانَ نَوْمُ أَوَّلِ النَّهَارِ خُرْقٌ، وَأَوْسَطُهُ خُلُقٌ، وَآخِرُهُ حُمْقٌ

"Tidur pada awal siang itu satu kedungguan, tidur pada pertengahan siang adalah suatu yang beretika, dan tidur di akhir siang adalah satu kebodohan."

Al-Dinawari meriwayatkan dalam al-Mujalasah daripada Ibnu 'Abbas, beliau berkata kepada anaknya:

بُنَيَّ! نَوْمُ النَّهَارِ عَلَى ثَلَاثَةٍ؛ نَوْمُ حُمْقٍ؛ وَهِيَ نَوْمَةُ الضُّحَى، وَنَوْمَةُ الْخُلُقِ؛ وَهِيَ الَّتِي رُوِيَ: قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ، وَنَوْمَةُ الْخُرْقِ؛ وَهِيَ نَوْمَةٌ بَعْدَ الْعَصْرِ لَا يَنَامُهَا إِلَّا سَكْرَانُ أَوْ مَجْنُونٌ.

"Wahai anakku, tidur pada waktu siang itu ada tiga jenis. Tidur yang bodoh iaitu tidur pada waktu Dhuha. Tidur yang beretika iaitu sebagaimana yang diriwayatkan 'Berqailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berqailulah.' Tidur yang dunggu iaitu tidur selepas Asar. Tidak tidur padanya kecuali akan mabuk (pening) atau gila."

Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf meriwayatkan daripada seorang tabiin iaitu Makhul bahawa beliau tidak suka tidur selepas Asar kerana dibimbangi akan ditimpa penyakit waswas.

Ibnu Muflih dalam Adab al-Syar'iyyah menukilkan daripada al-Maruzi, beliau berkata: “Aku mendengar Aba Abdillah - Imam Ahmad bin Hanbal - membenci seseorang itu tidur selepas Asar, dibimbangi akan memberi kesan kepada akalnya."

Selasa, 3 Oktober 2017

Takhrij Hadis: Hati Sebagai Penasihat

Soalan:

Sabda Rasulullah saw:

*Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seseorang, maka Allah akan menjadikan untuknya penasihat dari hatinya sendiri.

"Barangsiapa yang hatinya menjadi penasihat baginya, maka Allah swt akan menjadi pelindung keatasnya".

Assalamu'alaikum, maaf saya nak tanya hadis di atas diriwayatkan dari siapa?

Jawapan:

Ia terdiri daripada dua bahagian hadis:

                                                                        Pertama:

إِذا أَرَادَ الله بِعَبْدِهِ خيرا جعل لَهُ واعظا من قلب

Jika Allah menghendaki kebaikan pada hambanya, Allah akan menjadikan hatinya sebagai penasihat (supaya melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan).”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada hadis Ummu Salamah. Menurut al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya’, sanadnya hasan.

Imam Ahmad dalam kitab al-Zuhd meriwayatkan juga daripada kata-kata seorang tabi’i iaitu Muhammad bin Sirin:

 إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَاعِظًا مِنْ قَلْبِهِ يَأْمُرُهُ وَيَنْهَاهُ

“Jika Allah menghendaki kebaikan pada hambanya, Allah akan menjadikan hatinya sebagai penasihat yang menyuruhnya (melakukan kebaikan) dan melarangnya (daripada melakukan kejahatan).”

                                                                        Kedua

من كَانَ لَهُ من قلبه واعظ كَانَ عَلَيْهِ من الله حَافظ

“Sesiapa yang hatinya menjadi penasihat baginya, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung baginya”

Ia sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dan al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Aisyah dengan sanad yang daif.

Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan dalam kitab al-‘Iyal daripada kata-kata al-Hasan al-Basri:

مَنْ كَانَ لَهُ وَاعِظٌ مِنْ نَفْسِهِ كَانَ لَهُ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ

“Sesiapa yang dirinya sendiri menjadi penasihat baginya, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung baginya.”

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab al-Zuhd daripada Abi al-Jald, beliau berkata:

قَرَأْتُ فِي الْحِكْمَةِ: مَنْ كَانَ لَهُ مِنْ نَفْسِهِ وَاعِظٌ، كَانَ لَهُ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ

“Aku pernah terbaca dalam satu kata-kata hikmah: “Sesiapa yang dirinya sendiri menjadi penasihat baginya, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung baginya.”

Abu al-Jald ini atau nama sebenarnya Jilan bin Farwah@Abi Farwah ini seorang tabi’i yang thiqah yang banyak membaca kitab orang-orang terdahulu.