مَنْ
نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ
“Sesiapa yang tidur selepas Asar
lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”
Hadis ini diriwayatkan daripada
beberapa sahabat dan mursal tabiin antaranya riwayat Aisyah, Abdullah
bin ‘Abbas, Anas bin Malik, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As, mursal
al-Zuhri dan lain-lain. Sebahagian riwayat ini dikritik dengan keras manakala
sebahagian yang lain menerima kritikan yang ringan sahaja.
Hadis ini sekadar daif sahaja,
bukan sangat daif atau palsu. Hadis ini masih dapat digunakan untuk al-tarhib
[ancaman daripada melakukan perbuatan yang buruk].
Riwayat yang paling ringan
kedaifannya ialah hadis Anas bin Malik [diriwayatkan dalam Mu’jam al-Isma’ili
dan Tarikh Jurjan], mursal Makhul [riwayat Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil]
dan mursal al-Zuhri [riwayat al-Tahawi dalam Musykil al-Athar]. Semuanya
diriwayatkan melalui perawi Abdullah bin Lahi'ah. Dia adalah perawi yang daif, tetapi tidak sampai ke tahap yang sangat
daif.
Kata Syeikh Ahmad Ma'bid Abdul
Karim dalam ta'liq kitab al-Nafh al-Syazi Fi Syarh Sunan al-Termizi:
"Dengan meneliti
jalur-jalurnya secara umum, kami mendapati bahawa jalur yang paling kurang sekali
kedaifannya adalah berdasarkan dua jalur Ibnu Lahi'ah, yang mursal dan yang
mausul. Tindakah Ibnu Jauzi yang menyifatkan Ibnu Lahi'ah sebagai zahib al-hadis
(sangat daif) adalah adalah satu bentuk tasyaddud yang bercanggah dengan
pendapat jumhur yang mendaifkannya sahaja. Disebabkan itu, al-Sayuthi dan
selepas beliau iaitu Ibnu 'Arraq menolak pendapat Ibnu Jauzi yang
mengkategorikannya sebagai hadis palsu, dan mereka berdua sekadar mendaifkannya
sahaja."
Sebahagian ulama mazhab Hanbali
seperti Ibnu Muflih dalam Adab al-Syar'iyyah dan al-Buhuti dalam Kasyf
al-Qina' berpendapat makruh tidur selepas Asar.
Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf
meriwayatkan daripada seorang sahabat iaitu Khawwat bin Jubair, beliau berkata:
كَانَ
نَوْمُ أَوَّلِ النَّهَارِ خُرْقٌ، وَأَوْسَطُهُ خُلُقٌ، وَآخِرُهُ حُمْقٌ
"Tidur pada awal siang
itu satu kedungguan, tidur pada pertengahan siang adalah suatu yang beretika,
dan tidur di akhir siang adalah satu kebodohan."
Al-Dinawari meriwayatkan dalam al-Mujalasah
daripada Ibnu 'Abbas, beliau berkata kepada anaknya:
بُنَيَّ!
نَوْمُ النَّهَارِ عَلَى ثَلَاثَةٍ؛ نَوْمُ حُمْقٍ؛ وَهِيَ نَوْمَةُ الضُّحَى،
وَنَوْمَةُ الْخُلُقِ؛ وَهِيَ الَّتِي رُوِيَ: قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا
تَقِيلُ، وَنَوْمَةُ الْخُرْقِ؛ وَهِيَ نَوْمَةٌ بَعْدَ الْعَصْرِ لَا يَنَامُهَا
إِلَّا سَكْرَانُ أَوْ مَجْنُونٌ.
"Wahai anakku, tidur pada
waktu siang itu ada tiga jenis. Tidur yang bodoh iaitu tidur pada waktu Dhuha.
Tidur yang beretika iaitu sebagaimana yang diriwayatkan 'Berqailulah.
Sesungguhnya syaitan tidak berqailulah.' Tidur yang dunggu iaitu tidur selepas
Asar. Tidak tidur padanya kecuali akan mabuk (pening) atau gila."
Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf
meriwayatkan daripada seorang tabiin iaitu Makhul bahawa beliau tidak
suka tidur selepas Asar kerana dibimbangi akan ditimpa penyakit waswas.
Ibnu Muflih dalam Adab
al-Syar'iyyah menukilkan daripada al-Maruzi, beliau berkata: “Aku
mendengar Aba Abdillah - Imam Ahmad bin Hanbal - membenci seseorang itu tidur selepas Asar, dibimbangi akan memberi kesan kepada
akalnya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan