Isnin, 19 Ogos 2019

Terlalu Asyik Dengan Hadis

1 - Muhammad bin Ahmad al-Wa’iz berkata:

“Abu Bakar bin al-Baghandi  bangun untuk menunaikan solat lalu beliau bertakbir. Kemudian beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sulaiman Luwain.

Kami mengucapkan tasbih. Lalu barulah beliau membaca (al-Fatihah):

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ. الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ.

2 - Diriwayatkan juga daripada al-Baghandi bahawa beliau pernah berkata:

“Telah diberikan kepadaku kecintaan kepada hadis. Aku telah melihat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam (di dalam mimpi) tetapi aku tidak meminta kepada baginda: Doakanlah untukku. Sebaliknya aku bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, siapakan yang lebih mantap dalam hadis: Mansur atau al-A’masy? Baginda menjawab: Mansur, Mansur.”

3 - Hibatullah al-Lalaka'i berkata:

"Al-Baghandi membacakan hadis daripada hafalannya, dan melafazkannya dengan laju seperti bacaan al-Quran yang pantas, dan beliau akan berkata: Telah menceritakan kepada kami si fulan, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami si fulan, dan telah menceritakan kepada kami si fulan.

Beliau menggerakkan kepalanya (ketika membaca) sehinggakan serbannya jatuh."

4 - Ibnu Kathir berkata: “Beliau kadang-kala menyebut beberapa buah hadis berserta sanad-sanadnya dalam solat dan tidur dalam keadaan beliau tidak sedar!”

[‘Uluw al-Himmah, Muhammad Ahmad Isma’il al-Muqaddam]

_____________

Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman, Abu Bakar al-Baghandi (m. 312 H) salah seorang huffaz hadis. Beliau mengembara untuk menuntut hadis ke Kufah, Syam, Mesir, Basrah dan lain-lain. Beliau menetap di Baghdad dan meninggal dunia di situ.

Antara guru beliau ialah Ali bin al-Madini dan Ibnu Abi Syaibah.

Muridnya yang terkenal ialah al-Thabarani dan Ibnu Syahin.

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: "Beliau telah mengembara untuk (mencari) hadis ke negeri-negeri yang jauh, dan memberikan perhatian yang amat besar kepadanya. Beliau telah mengambil (ilmu) daripada para huffaz (pakar hadis) dan para imam. Beliau seorang yang hafiz (pakar hadis), faham, lagi 'arif (mendalam pengetahuannya).

Aku telah mendengar Ahmad bin 'Ali al-Bada dalam satu perbincangan, beliau berkata:

Aku telah mendengar Abu Bakr al-Abhari berkata: Aku telah mendengar Abu Bakr al-Baghandi berkata:

Aku dapat menjawab tiga ratus ribu persoalan berdasarkan hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Lalu aku khabarkan kepada Ibn al-Muzaffar tentang perkataan al-Abhari itu, maka beliau berkata: Benarlah. Aku telah mendengarnya daripadanya."

Beliau gemar melakukan tadlis (menyembunyikan kecacatan sanad hadis) sehingga beliau dicela oleh beberapa ahli hadis sehingga ada yang menyifatkan beliau sebagai pendusta. Tetapi beliau telah dipertahankan oleh Ibnu ‘Adi, al-Khatib al-Baghdadi, al-Zahabi dan lain-lain.

Ahad, 18 Ogos 2019

Hadis Yang Tidak Diketahui Oleh Imam al-Bukhari

Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq berkata:

“Aku pernah mendengar Muhammad bin Isma’il (al-Bukhari) berkata: Murid-murid ‘Amru bin ‘Ali (al-Fallas) berbincang denganku tentang sebuah hadis. Maka aku katakan: Aku tidak mengetahui tentangnya. Mereka berasa gembira tentang perkara tersebut. Mereka kemudian bertemu dengan ‘Amru bin Ali dan berkata kepadanya: Kami berbincang dengan Muhammad bin Isma’il al-Bukhari tentang suatu hadis dan dia tidak mengetahuinya. ‘Amru bin ‘Ali lalu berkata: Hadis yang tidak diketahui oleh Muhammad bin Isma’il adalah bukan hadis (sebenarnya).”

[Tarikh Baghdad, al-Khatib al-Baghdadi]

‘Amru bin ‘Ali al-Fallas (m. 249 H) adalah seorang imam, al-Hafiz dan naqid. Beliau merupakan guru kepada imam hadis yang enam, Abu Hatim al-Razi dan Abu Zur’ah al-Razi.

Ditulis oleh hamba Allah yang banyak silapnya:
Zulhusni Mat Resat
18/8/2019
Gunung Semanggol, Perak.

Kesusahan Imam al-Bukhari Demi Ilmu


Imam al-Bukhari (m. 256 H) pernah berkata:

"Aku keluar untuk belajar dengan Adam bin Abi Iyas. Wang belanjaku lewat tiba kepadaku sehingga aku terpaksa makan rumput. Aku tidak pernah menceritakan perkara tersebut kepada sesiapapun. Apabila tiba hari ketiga, datang kepadaku seorang yang tidak aku kenali. Dia memberikan kepadaku sebungkus wang dinar dan berkata kepadaku: "Gunakanlah untuk dirimu."

[Siyar A'lam al-Nubala, al-Hafiz al-Zahabi]

Ditulis oleh hamba Allah yang banyak silapnya:
Zulhusni Mat Resat
17/8/2019
Gunung Semanggol, Perak.