Secara
ringkasnya terdapat 4 cara untuk mentakhrij hadis:
1 –
Takhrij Hadis Berdasarkan Berdasarkan Kalimah Gharib Atau Kalimah Penting Yang
Terkandung Dalam Hadis.
Kitab yang biasa digunakan untuk mentakhrij
hadis dengan metod ini ialah kitab al-Mu’jam al-Mufahras Li Alfaz a-Hadis
al-Nabawi karangan sekumpulan orientalis yang diketuai oleh A.J Wensinck.
2 - Takhrij
Hadis Berdasarkan Lafaz Awal Hadis.
Untuk
mentakhrij hadis dengan cara ini, seseorang itu hendaklah mengetahui awal lafaz
hadis tersebut dan mencarinya dalam kitab-kitab hadis yang disusun berdasarkan
huruf-huruf abjad, antaranya ialah Jam’u al-Jawami (al-Jami’ al-Kabir)
dan al-Jami’ al-Saghir karangan al-Hafiz al-Sayuthi, al-Maqasid
al-Hasanah karangan al-Hafiz al-Sakhawi, Kasyf al-Khafa’ karangan
al-‘Ajluni, Mausu'ah Atraf Al-Ahadith An-Nabawiyyah Asy-Syarif karangan
Muhammad al-Sa'id Basuni Zaghlul dan lain-lain.
3 - Takhrij
Hadis Berdasarkan Perawi al-A’la
Perawi al-A’la
ialah perawi yang namanya di dalam sanad berada di kedudukan sebelum Nabi sallahu
‘alaihi wasallam. Bagi hadis-hadis yang musnad (bersambung sanad dan
disandarkan kepada Nabi) sahabatlah merupakan perawi a’la-nya manakala
untuk hadis mursal, perawi a’la-nya ialah tabi’in. Untuk metod
ini ada beberapa jenis kitab yang boleh digunakan:
a – Kitab Musnad
– Seperti kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, Musnad Abu Daud al-Thayalisi,
Musnad al-Humaidi, Musnad Abu Ya’la al-Mausili dan lain-lain.
b – Kitab Mu’jam
– Seperti kitab Mu’jam al-Kabir karangan al-Thabarani.
c – Kitab al-Athraf
– Kitab al-Athraf ialah kitab yang ditulis dalamnya sebahagian matan
hadis yang menjadi petunjuk kepada baki hadis tersebut kemudian disebutkan
sanad yang lengkap atau separa lengkap bagi hadis tersebut. Kitab yang terkenal
daripada jenis ini ialah kitab Tuhfah al-Asyraf Bi Ma’rifah al-Athraf karangan
al-Mizzi.
4 – Takhrij
Berdasarkan Kandungan Hadis
Untuk metod
ini anda memerlukan kitab yang disusun berdasarkan bab-bab seperti bab akidah,
ibadat, muamalat, akhlak, manaqib dan lain-lain. Misalannya anda ingin mencari
hadis berkenaan puasa maka anda boleh mencarinya di dalam kitab-kitab hadis
yang mempunyai bab puasa di dalamnya. Terdapat banyak jenis kitab yang disusun
berdasarkan bab, antaranya:
a. Jawami’ –
Seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan Jami’ al-Termizi.
b. Sunan –
Seperti Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasaie, Sunan Ibnu Majah, Sunan al-Baihaqi dan
Sunan al-Daraqutni.
c. Musannaf
– Seperti Musannaf Abdul Razzaq dan Musannaf Ibnu Abi Syaibah.
c. Zawaid –
Seperti Majma’ al-Zawaid karangan al-Haithami.
d.
Al-Targhib Wa al-Tarhib – Seperti kitab al-Targhib Wa al-Tarhib karangan
al-Munziri.
InsyaAllah di kesempatan yang lain saya akan perincikan lagi teknik mentakhrij hadis bagi setiap cara tersebut.