Tulisan ini saya hasilkan untuk membantu para pelajar yang mengambil subjek Takhrij Hadis di peringkat universiti yang menghadapi kesukaran untuk memahami cara mencari hadis menggunakan Mu’jam Mufahras.
Terkenang
suatu masa dahulu apabila saya sendiri juga menghadapi masalah yang sama sewaktu
belajar di peringkat diploma. Ilmu Takhrij Hadis yang dipelajari di kelas juga
hanya sekadar teori dan tidak ditunjukkan secara praktikal oleh pensyarah menyebabkan
pelajar sukar untuk memahaminya. Nasihat saya kepada para pelajar agar meminta
pensyarah mereka menunjukkan langkah demi langkah cara menggunakan Mu’jam
Mufahras ini secara praktikal.
Apabila pensyarah
saya menganjurkan khusus takhrij hadis dan menjemput seorang pensyarah dari
Universiti Malaya untuk menunjukkan cara takhrij secara praktikal barulah saya
dapat memahami secara sepenuhnya berkenaan teori-teori yang dipelajari sebelum
ini. Sewaktu saya mempelajari ilmu ini sekali lagi di peringkat ijazah saya
dapat mempraktikkannya dengan mudah dan dapat membantu rakan-rakan sekelas.
Pengenalan
Kitab al-Mu’jam al-Mufahras Li Alfaz al-Hadith
1 – Kitab ini
dikarang oleh sekumpulan orientalis yang diketuai Arent Jan Wensinck yang
berasal dari Belanda. Mereka juga telah dibantu oleh Syeikh Muhammad Fuad Abdul
Baqi, seorang penulis dan pengkaji hadis terkenal dari Mesir yang banyak
menyemak (tahqiq) kitab-kitab hadis dan meletakkan indeks baginya.
2 – Kitab ini
merupakan sebuah kitab indeks bagi memudahkan pencarian kedudukan hadis yang
terdapat dalam Kutub Tis’ah (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud,
Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’ie, Sunan Ibnu Majah, Muwatta’ Malik, Musnad
Ahmad bin Hanbal dan Musnad al-Darimi).
3 - Kitab
ini menyusun kalimah-kalimah penting dan ganjil/jarang digunapakai (gharib)
yang diambil daripada hadis yang berada dalam Kutub Tis’ah lalu disusun mengikut urutan huruf-huruf hijaiyah
(alif, ba, ta’…). Seterusnya dinyatakan kedudukan hadis tersebut dalam Kutub
Tis’ah.
3 – Kitab ini
terdiri daripada lapan jilid dan telah diusahakan selama 52 tahun. Jilid
pertamanya diterbitkan pada tahun 1936 dan jilid terakhirnya pada tahun 1988.
4 – Penyusun
kitab ini menggunakan beberapa huruf arab sebagai simbol kepada Kutub Tis’ah
berserta maklumat terperinci yang menunjukkan kedudukan hadis yang ingin
dicari itu dalam Kutub Tis’ah. Maklumat terperinci tersebut sama ada tajuk kitab
(bab besar) dan nombor bab (bab kecil) atau tajuk kitab dan nombor hadis atau nombor
jilid dan mukasurat. Berikut perinciannya:
Nama Kitab |
Simbol |
Maklumat Terperinci |
Sahih al-Bukhari |
خ |
Tajuk Kitab & Nombor Bab |
Sunan Abu Daud |
د |
Tajuk Kitab & Nombor Bab |
Sunan al-Tirmizi |
ت |
Tajuk Kitab & Nombor Bab |
Sunan al-Nasai’e |
ن |
Tajuk Kitab & Nombor Bab |
Sunan Ibnu Majah |
جه & ق |
Tajuk Kitab & Nombor Bab |
Sunan al-Darimi |
دي |
Tajuk Kitab & Nombor Bab |
Sahih Muslim |
م |
Tajuk Kitab & Nombor Hadis |
Muwatta’ Malik |
ط |
Tajuk Kitab & Nombor Hadis |
Musnad Ahmad |
حم & حل |
Nombor jilid & Mukasurat |
Perhatian: Sila beri perhatian kepada maklumat terperinci bagi Sahih Muslim dan Muwatta’ Malik yang menunjukkan tajuk kitab dan nombor hadis berbanding kitab lain yang menunjukkan tajuk kitab dan nombor bab. Begitu juga Musnad Ahmad yang menunjukkan nombor jilid dan mukasurat.
5 – Berikut
adalah terbitan dan edisi Kutub Tis’ah yang boleh dirujuk bagi sesiapa yang
menggunakan al-Mu’jam al-Mufahras:
a) Sahih
al-Bukhari yang telah dinomborkan kitab, bab dan hadisnya oleh Muhammad Fu’ad
Abdul Baqi. (Muat Turun)
b) Sahih
Muslim yang telah dinomborkan oleh Muhammad Fu’ad Abdul Baqi. (Muat Turun)
c) Sunan
Abu Daud yang telah dinomborkan oleh ‘Izzat ‘Ubaid al-Da’as dan ‘Adil al-Sayyid. (MuatTurun)
d) Sunan
al-Tirmizi yang telah dinomborkan oleh Ahmad Syakir, Muhammad Fu’ad Abdul Baqi
dan Ibrahim ‘Atwah. (Muat Turun)
e) Sunan
al-Nasa’ie yang telah dinomborkan oleh Abdul Fattah Abu Ghuddah. (Muat Turun)
f) Sunan
Ibnu Majah yang telah dinomborkan oleh Muhammad Fu’ad Abdul Baqi. (Muat Turun)
g) Sunan al-Darimi
yang telah dinomborkan oleh Fawaz Ahmad Zamrali dan Khalid al-Sab’ al-‘Alami. (MuatTurun)
h) Muwatta’
Malik yang telah dinomborkan oleh Muhammad Fu’ad Abdul Baqi. (MuatTurun)
i) Musnad
Ahmad yang diterbitkan oleh al-Maktabah al-Maimaniyyah. (Muat Turun)
Sebenarnya
anda boleh sahaja menggunakan terbitan yang lain asalkan penomboran kitab, bab
dan hadisnya sama seperti terbitan yang saya sebutkan di atas.
Untuk Musnad Ahmad pula situasinya sedikit berbeza kerana maklumat terperinci yang menunjukkan kedudukan hadis dicari itu adalah nombor jilid dan muka surat. Oleh itu sukar pagi penerbit baru bagi Musnad Ahmad untuk menerbitkan sebuah kitab yang mempunyai jumlah jilid dan mukasurat yang sama seperti Musnad Ahmad yang diterbitkan oleh al-Maktabah al-Maimaniyyah.
Namun anda masih boleh menggunakan Musnad Ahmad terbitan baru seperti yang ditahqiq oleh Ahmad Syakir (muat turun) atau yang ditahqiq oleh Syu’aib al-Arnaut (muat turun).
Anda hanya
perlu memastikan nombor yang telah diletakkan oleh penerbit di bahagian tepi
halaman kitab ini (lihat gambar di bawah, dalam kotak merah) sama seperti yang tertera dalam al-Mu’jam
al-Mufahras.
Cara
Menggunakan al-Mu’jam al-Mufahras
1 – Pilih perkataan
yang penting dan ganjil (gharib) daripada hadis yang anda ingin cari
kedudukannya dalam Kutub Tis’ah. Anda tidak harus berpada dengan satu perkataan
sahaja dan seharusnya memilih lebih dari satu perkataan bagi memastikan hasil
pencarian anda lebih menyeluruh.
2 – Kembalikan
perkataan tersebut kepada kata dasarnya (fa’el madhi). Contohnya jika
terdapat perkataan يكتب
dalam hadis anda perlu
kembalikannya kepada fael madhinya iaitu كتب.
3 – Cari kata dasar itu dalam al-Mu’jam al-Mufahras dan salin maklumat yang dinyatakan di bawah perkataan tersebut ke kertas kosong.
Maklumat tersebut adalah seperti
ulama yang meriwayatkan hadis tersebut (seperti al-Bukhari atau Muslim dan
lain-lain), nama kitab (contohnya kitab al-Iman, al-‘Ilm, al-Wudhu’ dan
lain-lain), nombor bab, nombor hadis, nombor jilid dan nombor mukasurat.
4 – Kumpul semua
maklumat di satu tempat di samping mengambil kira maklumat tambahan dan
mengabaikan maklumat yang berulang.
5 – Berdasarkan maklumat
tersebut rujuk kepada kitab asal (Kutub Tis’ah).
6 – Salin sanad dan
matan hadis yang diperolehi daripada kitab asal (Kutub Tis’ah).
Praktikal Menggunakan al-Mu’jam al-Mufahras
1 –
Misalnya anda ingin mentakhrij hadis berikut:
طَهُورُ إناءِ أحَدِكُمْ إذا
ولَغَ فيه الكَلْبُ، أنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاهُنَّ بالتُّرابِ.
2 - Pilih perkataan yang penting dan
ganjil dalam hadis tersebut:
a) طَهُورُ
b) ولَغَ
c) الكَلْبُ
d) يَغْسِلَهُ
e) التُّرابِ
2
– Kembalikan perkataan tersebut kepada kata dasarnya (fa’el madhi):
a) طَهُورُ – طهر
b)ولَغَ (sudah berada dalam bentuk kata dasarnya).
c) الكَلْبُ – كلب
d) يَغْسِلَهُ – غسل
e) التُّرابِ – ترب
3 – Cari perkataan
dasar itu dalam al-Mu’jam al-Mufahras dan salin maklumat yang dinyatakan:
a) Hasil carian untuk طهر (jilid 4, mukasurat 32):
b) Hasil carian untuk ولَغَ (jilid 7, mukasurat 320):
c) Hasil carian untuk كلب tidak mendapatkan hadis yang ingin dicari.
d) Hasil carian untuk غسل(jilid 4, mukasurat 499):
e) Hasil carian untuk ترب tidak mendapatkan hadis yang ingin dicari.
4 – Kumpul semua
maklumat di satu tempat di samping mengambil kira maklumat tambahan dan mengabaikan
maklumat yang berulang:
a) Al-Bukhari - kitab
wuduk, bab ke-33.
b) Muslim - kitab
taharah, nombor hadis 89,91, 92 dan 93.
c) Abu Daud - kitab
taharah, bab ke-37.
d) Al-Tirmizi - kitab
taharah, bab ke-68.
e) Al-Nasa’ie - kitab taharah, bab ke-50 sehingga 52 dan kitab miyah (المياه), bab ke-7 dan 8.
f) Ibnu Majah - kitab
taharah, bab ke-31.
g) Al-Darimi - kitab
wuduk, bab ke-59.
h) Musnad Ahmad - jilid 2 mukasurat 245, 253, 265, 271, 314, 360,
398, 424, 427, 480, 482, jilid 4 mukasurat 86 dan jilid 5 mukasurat 56.
5 & 6 - Rujuk kepada kitab asal (Kutub Tis’ah)
dan salin sanad dan matan hadis yang diperolehi:
a) Buka Sahih
al-Bukhari, cari kitab wuduk di dalamnya, lalu cari hadis tersebut di bawah bab
yang ke-33 dalam kitab wuduk tersebut:
b) Buka Sahih Muslim, cari kitab taharah, lalu cari nombor hadis 89,91, 92 dan 93:
c) Buka Sunan Abu Daud, cari kitab taharah, lalu cari bab ke-37:
d) Buka Sunan al-Tirmizi, cari kitab taharah, lalu cari bab ke-68:
e) Buka Sunan al-Nasa’ie, cari kitab taharah, lalu cari bab ke-50 sehingga 52. Buka pula kitab miyah (المياه) dan cari bab ke-7 dan 8:
*Saya tak jumpa hadis ini
dalam bab ke-50 daripada kitab taharah dan bab ke-8 daripada kitab miyah. Mungkin berlaku kesilapan pada al-Mu'jam al-Mufahras. Wallahu a'lam.
(f) Buka Sunan Ibnu
Majah, cari kitab taharah, lalu cari bab ke-31:
(g) Buka Sunan al-Darimi, cari kitab wuduk, lalu cari bab ke-59:
(h) Buka Musnad Ahmad pada jilid 2 mukasurat 245, 253, 265, 271, 314, 360, 398, 424, 427, 480, 482, jilid 4 mukasurat 86 dan jilid 5 mukasurat 56.
Oleh kerana hadis ini
ada di banyak tempat sangat dalam Musnad Ahmad saya sebutkan satu sahaja iaitu
pada jilid 2 mukasurat 245:
Musnad Ahmad cetakan
al-Matba’ah al-Maimaniyyah:
Untuk Musnad Ahmad cetakan yang lain, anda boleh semak satu persatu musnad Ahmad untuk mencari nombor di bahagian tepi kitab yang tertulis 245/2. Lihat nombor dalam kotak merah di bawah:
Setelah jumpa nombor berkenaan, lihat satu persatu hadisnya sehingga jumpa yang anda cari:
Diharapkan tulisan ini dapat membantu anda menggunakan Mu’jam Mufahras. Sebarang soalan boleh tanyakan di bawah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan