1 – Nasab baginda: Idris bin Yard bin Mahlayil bin Qainan bin Yanish bin Syith bin Adam. Nama baginda dalam bahasa Ibrani ialah Khanukh atau Akhnukh.
2 – Baginda
sempat bertemu dengan nabi Adam ketika nabi Adam berusia 308 tahun.
3 – Baginda
telah disebutkan sebanyak dua kali dalam al-Quran. Pertama: Surah al-Anbiya’,
ayat 85-86 dan Surah Maryam, ayat 56-57.
4 – Tempat
kelahiran: Baginda dilahirkan di Babylon (Iraq) dan tinggal di Mesir.
5 – Dakwahnya:
Baginda dilantik menjadi nabi selepas nabi Syith. Al-Quran mensifatkan baginda
sebagai seorang yang benar (tutur katanya dan keimanannya). Baginda menyeru
kepada kebenaran dan melawan kemungkaran serta mengimarahkan bumi. Baginda
sangat mengambil berat untuk membina tamadun dan bandar-bandar baru. Dikatakan
telah dibina sebanyak 188 bandar-bandar baru sewaktu zaman baginda.
Beberapa
fakta menarik:
6 – Baginda
adalah orang yang pertama menulis dengan pena.
7 – Baginda
juga adalah orang yang pertama yang menjahit dan memakai pakaian berjahit.
Sebelum itu manusia memakai pakaian daripada kulit.
8 – Baginda
adalah orang yang pertama menyusun ilmu berkaitan bintang (nujum) dan
matematik dan baginda terkenal sebagai seorang yang mempunyai kebijaksanaan.
9 –
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah berjumpa dengan nabi Idris di
langit ke-4 sewaktu malam Israk dan Mikraj sebagaimana yang disebutkan dalam
hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
10 –
Menurut Syeikh Dr Muhammad Bakar Ismail, al-Quran mensifatkan baginda sebagai
seorang yang sabar. Ini menunjukkan bahawa dakwah baginda juga menghadapi
tentangan daripada kaumnya lalu baginda menghadapinya dengan sifat syukur dan
reda.
Menurut
beliau lagi, berkemungkinan nabi Idris tidaklah berumur panjang dan baginda
tidak mempunyai syariat tersendiri yang mengandungi hukum-hakam yang banyak.
Kisah baginda juga tidak terdapat banyak pengajaran sebagaimana kisah-kisah
nabi yang lain. Oleh kerana itu Allah tidak menyebutkannya.
12 – Para ulama
berbeza pendapat sama ada nabi Idris masih hidup ataupun sudah wafat. Ketika
menafsirkan ayat 57 daripada surah Maryam, ‘dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya’, Mujahid
berpendapat bahawa baginda tidak wafat dan diangkat sebagaimana diangkat nabi
Isa dan baginda berada di langit ke-4.
Ibnu ‘Abbas dan
al-Dhahhak pula berpendapat baginda diangkat ke langit ke-6 dan wafat di sana.
Namun pendapat yang
menyatakan bahawa baginda berada di langit ke-4 lebih kuat berdasarkan hadis
Israk dan Mikraj yang diriwayatkan
oleh al-Bukhari dan Muslim. Cuma tidak dapat dipastikan sama ada baginda sudah
wafat atau tidak.
Syeikh
Solah Abdul Fattah al-Khalidi cenderung mengatakan bahawa nabi Idris tidaklah
diangkat secara hakiki dengan ruh dan jasad sebagaimana nabi Isa. Sebaliknya nabi
Idris diangkat secara maknawi iaitu diangkat kedudukan dan darjat baginda.
Menurut beliau, nabi Idris wafat di bumi sebagaimana kewafatan para nabi yang
lain.
13 –
Begitu juga terdapat perbezaan pendapat tentang zaman diutuskan nabi Idris.
Jumhur ulama berpendapat bahawa baginda diutuskan selepas nabi Adam dan sebelum
nabi Nuh.
Syeikh
Solah Abdul Fattah al-Khalidi berpendapat bahawa baginda diutuskan agak
terkemudian dan baginda tergolong daripada nabi-nabi yang diutuskan kepada Bani
Israel serta berkemungkinan selepas nabi Daud dan nabi Sulaiman.
Imam Ibnu
al-‘Arabi al-Maliki juga antara yang berpendapat nabi Idris diutuskan di zaman
terkemudian dan bukan sebelum nabi Nuh.
Dalil
kepada pendapat tersebut adalah al-Quran menyebutkan tentang nabi Idris dalam
surah Maryam selepas nabi Ibrahim, Musa dan Ismail. Begitu juga dalam surah
al-Anbiya’, baginda disebutkan selepas nabi Ibrahim, Lut, Daud, Sulaiman dan
Ayub. Selepas disebutkan baginda barulah disebutkan nabi Yunus, Zakariya, Yahya
dan ‘Isa.
Ayat yang
menyebutkan tentang baginda disekalikan bersama nabi Ismail dan nabi Zulkifli.
Ini menunjukkan baginda diutuskan selepas nabi Ismail dan sebelum nabi
Zulkifli.
Dalil kedua
ialah hadis Israk dan Mikraj. Apabila Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
bertemu dengan para nabi dan memberi salam kepada mereka, hanya nabi Adam dan nabi
Ibrahim yang membalas semula dengan berkata: Selamat datang nabi yang soleh dan
anak yang soleh. Manakala nabi-nabi yang lain (Isa, Yusuf, Idris, Harun,
Musa) membalas: Selamat datang nabi yang soleh dan saudara yang soleh.
Hanya nabi
Adam dan nabi Ibrahim yang membalas ‘anak yang soleh’ kerana Adam adalah bapa
manusia manakala nabi Ibrahim adalah bapa para nabi.
Lima nabi
yang lain (termasuk nabi Idris) membalas ‘saudara yang soleh’. Ini menunjukkan
nabi Idris diutuskan pada zaman yang terkemudian. Kalau baginda diutuskan
selepas nabi Adam dan sebelum nabi Ibrahim nescaya baginda juga akan memanggil
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sebagai ‘anak yang soleh’.
Wallahu
a’lam.
Rujukan:
Al-Bidayah Wa
al-Nihayah karangan Imam Ibnu
Kathir.
Al-Qasas al-Qurani karangan Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi.
Khulasah al-Anba’ Fi Qasas
al-Anbiya’ karangan Syeikh Dr Hisyam al-Kamil Hamid al-Syafi’e
al-Azhari.
Qasas al-Quran karangan Dr Muhammad Bakar Ismail.
Tafsir al-Tabari karangan Imam al-Tabari
Baca juga:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan