- Nabi Adam telah disebutkan sebanyak 25 kali di dalam
al-Quran.
1 - Nasab baginda:
- Baginda adalah Abul Basyar (bapa manusia) dan
makhluk pertama di alam manusia yang diciptakan oleh Allah dengan kekuasaanNya
dan ditiupkan roh ke dalamnya.
- Baginda adalah nabi yang pertama yang Allah kisahkan
di dalam al-Quran.
- Baginda adalah manusia pertama di atas muka bumi
yang beribadat kepada Allah.
2 - Peringkat Penciptaan Nabi Adam:
- Baginda telah diciptakan tanpa bapa atau ibu dan
baginda tidak dilahirkan sebagaimana manusia biasa sebaliknya melalui beberapa
peringkat:
1 – Tanah.
2 – Tanah liat (campuran tanah dan air).
3 – Dibentuk menjadi manusia yang sempurna, ditiupkan
ruh lalu dihidupkan baginda. Tempoh masa setiap peringkat tersebut adalah selama
40 tahun. (120 tahun keseluruhannya).
3 - Perintah Supaya Bersujud Kepada Nabi Adam:
- Selepas diciptakan Adam, Allah menyuruh malaikat
supaya bersujud kepada Adam. Maka bersujudlah malaikat keseluruhannya kecuali
iblis, dia enggan untuk bersujud.
- Iblis adalah daripada golongan jin dan bukan
daripada malaikat.
- Sujud yang dimaksudkan di sini adalah sujud
penghormatan dan bukanlah sujud ibadat.
4 - Isterinya Hawa’:
- Kemudian Allah menciptakan Hawa’ yang merupakan
wanita yang pertama supaya menjadi isteri kepada Adam dan ibu kepada
anak-anaknya.
- Allah menempatkan keduanya di dalam syurga, dapat
makan dan menikmati segala apa yang terdapat di dalamnya.
- Allah memperingatkan mereka tentang syaitan yang
merupakan musuh mereka.
5 – Keluar Adam dan Hawa’ daripada syurga:
- Ketika Adam dan Hawa’ tinggal di dalam syurga, Allah
melarang mereka daripada memakan sejenis pohon yang terdapat di dalam syurga.
- Syaitan datang menghasut mereka dan dia bersumpah
demi Allah bahawa dia adalah penasihat yang amanah.
- Menurut syaitan, jikalau mereka makan pohon tersebut
mereka akan menjadi malaikat atau mereka dapat tinggal selamanya di dalam
syurga.
- Adam tidak mengetahui bahawa ada makhluk yang
sanggup berdusta apabila telah bersumpah dengan nama Allah. Mereka lalu memakan
pohoh terlarang tersebut.
- Selepas itu mereka bertaubat kepada Allah. Lalu
Allah menyuruh mereka turun ke bumi untuk mengimarahkan bumi dan beribadat
kepada Allah.
6 – Kehidupan Adam Di Bumi:
- Adam pernah tinggal di kebanyakan tempat di bumi dan
memakmurkan bumi dengan zuriat-zuriatnya.
- Hawa’ telah melahirkan 40 orang anak kembar lelaki
dan perempuan (2 orang anak kembar lelaki dan perempuan setiap kali lahir).
- Sebahagian anak-anak baginda ada yang terlibat
dengan kegiatan pertanian dan penternakan.
- Adam telah melakukan haji sebanyak 40 kali dari
negara India ke Masjidil Haram dengan berjalan kaki.
7 –
Kewafatan Adam:
- Adam hidup selama 950 tahun. Menurut pandangan yang
lain dikatakan umur baginda hanya kurang sedikit daripada 1000 tahun.
- Begitu juga terdapat perbezaan pendapat tentang
kubur baginda. Dikatakan kubur baginda di India (di tempat baginda diturunkan)
dan dikatakan juga di Mekah (di Bukit Abi Qubais).
- Baginda dimandikan dan dimakamkan oleh malaikat.
- Selepas setahun, Hawa’ pula meninggal dunia.
8 – Qabil dan
Habil:
- Mereka berdua
adalah anak Adam yang awal.
- Telah disebutkan kisah mereka dalam surah al-Maidah
(ayat 27-31).
- Ringkasannya, Qabil hendak berkahwin dengan saudara
perempuannya kerana dia lebih cantik daripada isteri yang telah ditentukan
untuknya.
- Isteri yang cantik tersebut telah ditetapkan untuk
berkahwin dengan Habil.
- Habil lalu melakukan korban biri-biri manakalah
Qabil pula melakukan korban hasil pertanian.
- Allah mengangkat korban biri-biri sebagai tanda reda terhadap Habil.
- Qabil lalu membunuh Habil dengan memukulnya dengan
sebuah batu besar.
- Allah lalu mengutuskan dua ekor gagak yang
berkelahi. Gagak yang membunuh telah menanam gagak yang dibunuhnya untuk
mengajar kepada Qabil cara melakukan pengebumian.
- Ia adalah jenayah yang pertama berlaku di atas muka
bumi.
- Selepas itu Qabil bertaubat kepada Allah atas
perbuatannya.
- Kisah ini berlaku ketika Adam berusia 125 tahun.
Beberapa Faedah:
- Asas penciptaan manusia adalah daripada tanah dan
bukan daripada monyet/beruk sebagaimana sangkaan sebahagian orang. Mereka mendakwa
bahawa manusia adalah monyet/beruk yang berevolusi.
- Tinggi Adam adalah 64 hasta dan rambut baginda
panjang.
- Syurga yang pernah didiami oleh Adam tersebut di sisi
majoriti ulama Islam ialah syurga al-Khuld. Dikatakan syurga tersebut ialah
syurga yang terdapat di bumi.
- Batilnya pandangan orang yang mengatakan bahawa
Qabil dan zuriatnya menyembah berhala bahkan dia bertaubat kepada Allah selepas
membunuh saudaranya.
- Iblis bukanlah daripada golongan malaikat sebaliknya
daripada golongan jin. Dia membesar dan dididik bersama malaikat dan dia sangat
bersungguh-sungguh beribadat sehingga digelar طاووس الملائكة (merak para
malaikat/yang paling indah di kalangan malaikat). Walau bagaimanapun dia
mengingkari perintah Allah sehingga dia digolongkan di kalangan makhluk yang direjam/dikutuk.
- Syith (شيث) adalah anak
Adam dan makna (شيث) ialah hadiah daripada Alllah. Baginda
menjadi Nabi selepas Adam dan meneruskan dakwah bapanya. Baginda dilahirkan
ketika Adam berusia 130 tahun.
- Allah mengkhabarkan kepada malaikat bahawa Dia ingin
menciptakan manusia daripada tanah. Malaikat tidaklah menentang kehendak Allah
tersebut sebaliknya memohon penjelasan daripada Allah. Allah ingin mengajarkan
kepada malaikat bahawa Adam tidaklah sebagaimana sangkaan mereka lalu Allah
mengajarkan kepada Adam nama-nama (dikatakan ia adalah nama-nama malaikat, dikatakan
nama-nama benda dan dikatakan pula nama-nama zuriat baginda). Kemudian Allah
bertanya tentang nama-nama tersebut dan mereka tidak mampu menjawabnya. Maka
Adam lalu menjawabnya. Lalu Allah melebihkan Adam ke atas malaikat dengan sebab
ilmu.
- Ka’ab al-Ahbar berkata: “Tidak ada seorang pun di
dalam syurga yang mempunyai janggut kecuali Adam. Janggut baginda berwarna hitam
yang panjangnya sehingga ke pusat. Tidak ada seorang pun di dalam syurga yang
mempunyai kunyah (gelaran) kecuali Adam. Kunyah baginda di dunia ialah Abul
Basyar dan di dalam syurga ialah Abu Muhammad.”
- Adam melakukan kerja-kerja pertanian dan baginda
merupakan manusia pertama yang menanam gandum.
Rujukan:
Khulasah al-Anba’ Fi Qasas al-Anbiya’
karangan Syeikh Dr Hisyam al-Kamil Hamid al-Syafi’e al-Azhari, hlm. 8-11.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan