Sabtu, 15 Ogos 2020

Istilah Ilmu Hadis 43: Daif (الضَعِيفُ)


Ia adalah hadis yang tidak terhimpun padanya sifat-sifat hadis sahih mahupun hadis hasan.

Sifat-sifat hadis sahih dan hasan ada enam:

1 – Bersambung sanad.

2 – Keadilan para perawi dalam sanad.

3 – Kekuatan hafalan para perawi.

4 – Bebas hadis daripada syaz (percangahan).

5 – Bebas hadis daripada ’illah (kecacatan).

6 – Hadis memerlukan kepada sokongan dan penguat, seperti hadis hasan li ghairih.

Jika sesuatu hadis tidak bersifat dengan sifat-sifat ini, maka ia dinamakan hadis daif.

Contohnya:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Humaid al-Razi, telah menceritakan kepada kami Hukam bin Sulaim dan Harun bin al-Mughirah bin ‘Anbasah, daripada Abu Hamzah, daripada Ibrahim, daripada ‘Alqamah, daripada Abdullah bin Mas’ud daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Berwaspadalah kamu sekalian daripada menyebarkan berita kematian, kerana menyebarkan berita kematian itu adalah dari perbuatan Jahiliyyah.”

Menurut al-Tirmizi berkaitan dengan sanad hadis ini:

“Abu Hamzah ialah Maymun al-A’war, dia bukanlah seorang yang kuat di kalangan ahli hadis.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata berkaitan dengan Maymun al-A’war:

“Seorang yang masyhur dengan gelarannya, dan daif.”

Hadis ini didaifkan dengan sebab perawi yang daif tersebut (Abu Hamzah) yang ada dalam sanadnya.

Hukum meriwayatkannya:

Harus di sisi ahli hadis dan selain mereka untuk meriwayatkan hadis daif, tetapi dengan dua syarat:

Pertama: Hadis daif tersebut tiada kaitan dengan aqidah, seperti sifat-sifat Allah.

Kedua: Hadis daif tersebut bukanlah menerangkan tentang hukum-hukum Syariah yang berkaitan dengan halal dan haram.

Perhatian:

Jika ada seseorang yang meriwayatkan hadis daif tanpa sanad, maka tidak seharusnya dia mengatakan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda begini...dan sebagainya dengan lafaz-lafaz yang pasti dan yakin, bahkan hendaklah dia mengatakan: Diriwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam begini...atau Telah sampai kepada kami daripada baginda sallahu ‘alaihi wasallam begini...atau dinukilkan daripada baginda sallahu ‘alaihi wasallam dan sebagainya dengan menggunakan bentuk-bentuk lafaz yang tidak pasti.

Hukum beramal dengan hadis daif:

Ulama berbeza pandangan pada hukum beramal dengan hadi daif. Menurut pandangan jumhur ulama, hukumnya adalah sunat beramal dengannya pada perkara berkaitan dengan kelebihan amalan-amalan, tetapi dengan tiga syarat iaitu:

Pertama: Daifnya tidak terlalu kuat.

Kedua: Hadis tersebut di bawah sesuatu asal (hukum) yang diamalkan.

Ketiga: Tidak beriktikad ketika beramal dengannya bahawa hadis tersebut adalah pasti dan diyakini, tetapi mengambil sikap berhati-hati dan memilih jalan yang selamat.

Jenis-jenis hadis daif:

Hadis daif mempunyai banyak jenis. Ini disebabkan kehilangan sifat-sifat penerimaan hadis (sifat sahih dan hasan) adalah merujuk kepada tohmahan yang ada para perawinya, atau keguguran yang terdapat pada sanadnya, atau perkara-perkara lain. Oleh itu, para ulama membahagikan hadis daif kepada banyak bahagian, antara yang paling masyhur ialah:

1 - Mursal.

2 - Munqati’.

3 - Mu’dal.

4 - Mu’allaq.

5 - Mudallas.

6 - Mursal Khafi.

7 - Syaz.

8 - Munkar.

9 - Mudtarib.

10 - Mudraj.

11 - Mudraj.

12 - Mu’allal.

13 - Musahhaf dan Muharraf.

14 - Mawdu’ (Ia adalah seburuk-buruk jenis daif).

Sumber-sumber hadis daif:

Banyak kitab yang telah ditulis berkaitan dengan hadis daif. Kami akan menyebutkan kitab-kitabnya yang paling penting mengikut susunan dan pembahagian berikut:

Pertama: Kitab-kitab yang diandaikan sebagai sumber hadis-hadis daif:

Ia ialah kitab-kitab yang dikatakan mengandungi banyak hadis daif dalamnya:

1 - Nawadir al-Usul Fi Ma’rifah Akhbar al-Rasul oleh al-Hakim al-Tirmizi (w. 295 H).

2 - Musnad al-Syihab Fi al-Mawa’iz Wa al-Adab oleh al-Quda’i (w. 454 H).

3 - Firdaus al-Akhbar Bi Ma’thur al-Khitab oleh Syirawaih al-Daylami (w. 509 H).

Kedua: Kitab-kitab yang memfokus salah satu daripada jenis-jenis hadis daif:

1 - Al-Marasil oleh Abu Daud al-Sijistani (w. 275 H).

2 - Al-‘Ilal oleh Ibnu Abi Hatim (w. 327 H).

3 - Al-‘Ilal al-Kubra oleh al-Daraqutni (w. 385 H).

Ketiga: Kitab-kitab umum yang menyebut hadis-hadis daif serta jenis-jenisnya:

1 - Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah Wa al-Maudhu’ah oleh Nasiruddin al-Albani (w. 1420 H).

2 - Mausu’ah al-Ahadith Wa al-Athar al-Dha’ifah Wa al-Maudhu’ah oleh ‘Ali bin Hasan al-Halabi dan selainnya.

Keempat: Kitab-kitab yang menyebut hadis-hadis daif ketika menyatakan biografi para perawi yang daif:

1 - Al-Dhu’afa’ al-Kabir oleh al-‘Uqayli (w. 322 H).

2 - Ma’rifah al-Majruhin Min al-Muhaddithin Wa al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin oleh Ibnu Hibban al-Busti (w. 354 H).

3 - Al-Kamil Fi Dhu’ara’ al-Rijal oleh Ibnu ‘Adiy (w. 365 H).

4 - Mizan al-I’tidal oleh al-Zahabi (w. 748 H).

5 - Lisan al-Mizan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani (w. 852 H).

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 327, terbitan: Darul Syakir]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan