لَا دِينَ لِمَنْ لَا عَقْلَ
لَهُ
“Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal.”
Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Kuna
dan al-Daulabi dalam al-Kuna Wa al-Asma’ (no. 1719, cetakan: Dar Ibn
Hazm) daripada hadis Mujammi’ bin Jariyah daripada bapa saudaranya.
Kitab al-Kuna karangan
Imam al-Nasa’ie adalah kitab yang mafqud (hilang) dan tidak sampai ke
zaman kita pada hari ini.
Al-Daulabi menukilkan daripada
Imam al-Nasa’ie bahawa beliau mengatakan: “Hadis ini batil mungkar.”
Dalam sanadnya ada perawi yang
bernama Bisyir bin Ghalib. Menurut al-Azdi, dia adalah perawi yang majhul
(tidak dikenali). Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan (jil. 2, hlm.
305, cetakan: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah) menyenaraikan hadis ini dalam
senarai hadis yang mungkar yang diriwayatkan oleh Bisyir bin Ghalib.
Mungkin dialah pemalsu hadis ini.
Antara ulama yang menilai
hadis ini sebagai palsu selain Imam al-Nasa’ie ialah:
1 – Al-Hafiz al-Sayuthi dalam Zail
al-Laali al-Masnu’ah (jil. 1, hlm. 66, hadis no. 49, cetakan: Maktabah al-Ma’arif).
2 – Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih
al-Syari’ah al-Marfu’ah (jil. 1, hlm. 224, hadis no. 147, tahqiq: Abdullah
bin al-Siddiq al-Ghumari dan Abdul Wahab bin Abdul Latif).
3 – Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Masnu’
Fi Ma’rifah al-Hadith al-Maudhu’ (hlm. 207, tahqiq: Abdul Fattah Abu
Ghuddah).
Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan