1 - Menurut
Imam Ibnu al-Muqri al-Syafi’e[1], kitab al-Syifa adalah di antara kitab
yang disaksikan keberkatannya sehingga tidak akan berlaku kemudaratan di tempat
yang terdapat kitab tersebut. Begitu juga tidak tenggelam kapal yang terdapat
kitab al-Syifa. Apabila orang yang sakit membaca atau dibacakan kepadanya
kitab ini nescaya akan disembuhkan oleh Allah dan ia adalah suatu yang mujarab (berdasarkan
ujikaji/pengalaman).
2 - Kata Imam
al-Khafaji[2]: “Aku di antara orang yang merasai dan menyaksikan keberkatannya
(kitab al-Syifa).”
3 - Imam
al-Khafaji turut menukilkan: “Sesungguhnya orang-orang soleh yang terdahulu
mengatakan: Pembacaannya mujarab untuk menyembuhkan penyakit dan meleraikan
simpulan kesempitan. Di dalamnya terdapat keamanan daripada tengelam, kebakaran
dan taun dengan berkat baginda sallahu ‘aihi wasallam.”
4 - Imam
Ahmad bin Mustafa Thasy Kubri Zadah[3] mengatakan: “Aku mendengar daripada
beberapa orang syeikh bahawa menyibukkan diri dengan kitab al-Syifa pada hari-hari
berlakunya wabak adalah suatu yang bermanfaat dan berfaedah.”
5 - Imam Thasy Kubri Zadah turut menukilkan
daripada Syeikh Abdul Rahman al-Bisthami al-Hanafi[4], bahawa beliau berkata: “Sekumpulan
ulama bertabarruk dengan bacaan kitab al-Syifa’ karangan al-Qadhi ‘Iyadh ketika
berlakunya wabak.”
Sumber:
Al-Madkhal
Ila Kitab al-Syifa
karangan Imam Muhammad Abdul Hayy al-Kattani (w. 1382 H), ms. 242, cetakan: Dar
al-Hadith al-Kattaniyyah.
_______________
[1] Imam
Ibnu al-Muqri’ merupakan seorang faqih mazhab al-Syafi’e. Dilahirkan pada
tahun 765 H dan meninggal pada tahun 837 H. Berasal dari Zabid, Yaman. Antara
karangan beliau ialah kitab Irsyad al-Ghawi Ila Masalik al-Hawi, Ikhlas
al-Nawi Syarah Irsyad al-Ghawi dan Raudh al-Thalib yang merupakan
ringkasan kepada kitab Raudhah al-Thalibin karangan Imam al-Nawawi.
[2] Imam
Syihabuddin al-Khafaji lahir pada tahun 977 H di Kaherah, Mesir. Beliau
merupakan seorang yang alim dalam ilmu bahasa dan kesusasteraan Arab. Beliau
pernah menjadi Qadhi al-Qudhah di Mesir. Kitab beliau yang terkenal
ialah Nasim al-Riyadh yang mensyarahkan kitab al-Syifa. Beliau
meninggal dunia tahun 1069 H.
[3] Imam
Ahmad bin Mustafa Thasy Kubri Zadah merupakan seorang sejarawan Turki.
Dilahirkan di Bursa, Turki pada tahun 901 H. Pernah menjadi Qadhi di
Istanbul. Antara kitab beliau yang terkenal ialah Miftah al-Sa’adah Wa Misbah
al-Siyadah. Meninggal dunia pada tahun 968 H.
[4] Abdul
Rahman bin Muhammad bin Ali al-Bisthami al-Hanafi merupakan seorang sejarawan dan
ahli sufi. Dilahirkan di Antakya, Turki, belajar di Kaherah dan tinggal di
Bursa, Turki dan wafat di situ. Al-Zirikli mengatakan bahawa beliau mahir menafsirkan
mimpi. Menurut Haji Khalifah, beliau seorang yang alim dalam bidang hadis,
tafsir dan fiqh. Menurut Haji Khalifah lagi, penulisan beliau tersangatlah banyak
sehingga tidak mungkin untuk mengiranya. Beliau meninggal dunia
pada 858 H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan