Khamis, 24 Disember 2020

Takhrij Kabir Untuk Kitab Ihya' Sudah Dicetak!

 

Takhrij kabir untuk kitab Ihya' yang dikarang oleh al-Hafiz al-Iraqi sudah dicetak. Takhrij al-Hafiz al-Iraqi yang banyak tersebar selama ini adalah takhrij beliau yang paling ringkas yang beliau namakan sebagai al-Mughni 'An Haml al-Asfar. Al-Hafiz al-Iraqi mempunyai 3 jenis takhrij untuk kitab Ihya'; besar, sederhana dan ringkas. Takhrij tersebut beliau usahakan ketika berusia 20 tahun.

Takhrij Hadis Minhaj al-Wusul oleh al-Hafiz al-Iraqi


1 - Selain kitab takhrij hadis Ihya', al-Hafiz al-Iraqi (m. 806) ada juga mengarang takhrij hadis kitab Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi (m. 685 H). Terdapat 89 buah hadis yang telah ditakhrij oleh beliau. Manhaj takhrij beliau dalam kitab ini sama seperti manhaj beliau dalam kitab al-Mughni 'An Haml al-Asfar iaitu secara ringkas sahaja.

2 – Sebahagimana yang dikhabarkan oleh murid beliau iaitu Sibth ibn al-‘Ajami (m. 841 H), al-Hafiz al-Iraqi menulis kitab takhrij ini antara waktu Zohor dan Asar sahaja.

3 – Sebelum al-Hafiz al-Iraqi, Imam al-Zarkasyi (m. 794 H) telah pun menulis takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul dalam sebuah kitab yang berjudul al-Mu’tabar Fi Takhrij Ahadith al-Minhaj Wa al-Mukhtasar. Dalam kitab ini, beliau turut menggabungkan takhrij bagi kitab Mukhtasar Muntaha al-Sul Wa al-Amal karangan Imam Ibnu al-Hajib dengan takhrij kitab Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi.

4 – Sahabat al-Hafiz al-Iraqi iaitu al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin (m. 804 H) juga tidak ketinggalan mengusahakan takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul dalam sebuah kitab yang bertajuk Tazkirah al-Muhtaj Ila Ahadith al-Minhaj.



5 – Ulama moden yang menulis takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul ialah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (m. 1993 M) dengan kitab yang berjudul al-Ibtihaj Bi Takhrij Ahadith al-Minhaj. Takhrij ini lebih luas dan memuaskan berbanding takhrij al-Zarkasyi menurut Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1960 M) dalam kitab Husul al-Tafrij.

Khamis, 17 Disember 2020

Sembunyikan Amalan

Daud al-Tha’ie berpuasa sunat selama 40 tahun tetapi tiada seorang pun daripada ahli keluarganya yang mengetahuinya. Beliau berkerja sebagai pembuat manik. Beliau membawa sarapan pagi bersamanya dan akan menyedekahkannya kepada sesiapa yang beliau temui di jalanan. Beliau akan kembali kepada keluarganya untuk makan malam sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa beliau berpuasa sebelum itu.

[Tarikh Baghdad karangan al-Khatib al-Baghdadi]

_______________________

Daud bin Nusair al-Tha’ie terkenal sebagai tokoh ahli ibadat dan kezuhudan. Beliau dilahirkan di Kufah setelah beberapa tahun selepas 100 Hijrah. Beliau belajar dengan Hisyam bin ‘Urwah, al-A’masy dan beberapa guru yang lain. Beliau juga pernah mengembara ke Baghdad untuk belajar dengan Abu Hanifah. Setelah itu beliau kembali ke Kufah dan memilih untuk menyendiri dan beruzlah, memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadat sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 160 Hijrah atau 165 Hijrah.  Seseorang pernah berkata: “Kalaulah Daud al-Tha’ie hidup di kalangan umat-umat terdahulu, nescaya Allah akan mengkhabarkan tentang kisah hidupnya.”

Selasa, 15 Disember 2020

Perawi: Nu’aim bin al-Muharrar bin Abu Hurairah (نعيم بن المحرر بن أبي هريرة)

1 - Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ meriwayatkan daripada Ahmad bin Ja’far bin Hamdan daripada Abdullah bin Ahmad bin Hanbal daripada al-Hasan bin al-Sobah daripada Zaid bin al-Hubab daripada Abdul Wahid bin Musa daripada Nu’aim bin al-Muharrar bin Abu Hurairah daripada datuknya, Abu Hurairah bahawa beliau (Abu Hurairah) mempunyai seutas tali yang mempunyai 1000 simpulan. Beliau tidak tidur sehinggalah selesai bertasbih dengannya. [Hilyah al-Auliya’ (jil.1, ms. 383, c. Dar al-Fikr) atau (jil. 1, ms. 458, c. Dar al-Hadith)

2 - Menurut Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh dalam Wusul al-Tihani (ms. 69), sanadnya hasan sehinggalah Nu’aim, tetapi Nu’aim ini beliau tidak temui biografinya dalam kitab rijal yang ada pada beliau. Meskipun begitu, riwayat ini hanya digunakan sebagai sokongan (syahid) sahaja. Jadi boleh bertolak ansur dengan riwayat seperti ini.

3 - Menurut Sami Anwar Jahin (pentahqiq Hilyah al-Auliya’ cetakan Dar al-Hadith), nama Nu’aim tersebut tersilap. Yang tepatnya ialah Muslim bin Muharrar bin Abu Hurairah. Kalau Nu’aim maka ia tidak wujud. Beliau lalu menghasankan sanad riwayat ini dan mengatakan bahawa dalam riwayat ini terdapat kesyariatan menggunakan alat tasbih untuk bertasbih dan mengira.

4 - Tetapi Muslim bin Muharrar ini pun saya tidak temui biografinya. Namanya ada disebutkan dalam Tarikh Dimasyq (57/72) dan Tahzib al-Kamal (27/275) sebagai salah seorang yang meriwayatkan daripada bapanya. Wallahu ‘alam.

Selasa, 8 Disember 2020

Hadis Kelebihan Surah Yasin

Hadis Pertama

اقْرَأُوا يَس عَلَى مَوْتَاكُمْ.

“Bacalah Yasin untuk orang yang nazak di kalangan kamu.”

Takhrij Hadis

Riwayat Ahmad (no. 20301), Abu Daud (no. 3121), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (no. 10846) dan Ibnu Majah (no. 1448) daripada hadis Ma’qil bin Yasar. Hadis ini didaifkan oleh al-Daraqutni dan Ibnu al-Qathan dalam Bayan al-Wahm Wa al-Iham.

Pengajaran Hadis

1 - Sunat membaca surah Yasin di sisi orang yang sedang nazak.

Imam Ibnu Raslan (m. 844H) dalam Syarah Sunan Abu Daud menyebutkan:

“Telah berdalilkan dengan hadis ini akan sunatnya membaca al-Quran (di sisi orang yang sedang nazak) oleh sekumpulan ulama. Ia adalah pendapat mazhab al-Syafi’e dan jumhur ulama.”

Disebutkan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

“Mazhab Hanafi, al-Syafi’e dan al-Hanbali berpendapat bahawa disunatkan membaca Yasin sisi orang yang nazak berdasarkan sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: Bacalah Yasin untuk orang yang hampir mati di kalangan kamu.”

Imam Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya:

"Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berkata: Antara keistimewaan surah ini adalah tidaklah surah ini dibaca ketika suatu urusan yang sukar melainkan ia akan dimudahkan oleh Allah seperti membacanya di sisi orang yang hampir meninggal dunia supaya turun rahmat dan keberkatan dan untuk memudahkan ruh orang yang nazak tersebut keluar."

2 - Hadis ini juga menjadi dalil disunatkan membaca al-Quran untuk si mati di kuburannya.

Imam al-Suyuti dalam kitab Syarah al-Sudur menukilkan daripada Imam al-Qurtubi, beliau berkata: "Al-Qurtubi berkata tentang hadis ini: Kemungkinan bacaan al-Quran ini adalah di sisi si mati ketika hal kematiannya (hampir mati) dan kemungkinan juga di sisi kuburnya (setelah mati)." 

Imam al-Suyuti lalu berkata: "Pendapat pertama (membaca Yasin kepada orang nazak) adalah pandangan kebanyakan ulama sebagaimana yang telah lalu disebutkan di awal kitab. Pendapat kedua (membaca al-Quran di kuburnya) adalah pandangan Ibnu Abdul Wahid al-Maqdisi dalam juzuk kitab yang telah lalu diisyaratkan tentangnya. Secara umum untuk dua-dua keadaan pula adalah pendapat al-Muhib al-Tabari yang merupakan ulama terkemudian daripada ulama mazhab kita (mazhab al-Syafi'e)."

Ini kerana dalam hadis menyebut perkataan مَوْتَاكُمْ yang secara zahirnya membawa maksud "orang yang telah mati di kalangan kamu". Ulama yang menafsirkannya sebagai "orang yang hampir mati" pula telah mentakwilkan maksud perkataan مَوْتَاكُمْ tersebut.

3 - Hikmah dibacakan surah Yasin kepada orang yang nazak adalah untuk membantunya mengingati Allah, hari kiamat dan hari kebangkitan ketika saat kematiannya kerana dalam surah Yasin terkandungi perkara-perkara tersebut. Pembacaan surah Yasin juga dapat menggembirakan roh untuk segera bertemu dengan Allah kerana surah Yasin mengandungi janji syurga dan kenikmatannya bagi orang yang mati dengan kalimah tauhid.

Hadis Kedua

مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ، غُفِرَ لَهُ فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ.

“Sesiapa yang membaca Yasin pada malam hari semata-mata kerana Allah, diampunkan dosanya pada malam tersebut.”

Takhrij Hadis

Riwayat al-Darimi (no. 3460) daripada hadis Hasan al-Basri daripada Abu Hurairah. 

Dikatakan sanad ini daif kerana sanadnya terputus antara Hasan al-Basri dengan Abu Hurairah. Namun Ibnu ‘Asakir dalam Mu’jam al-Shuyukh mengatakan ia hasan gharib. Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar mengatakan ia hasan. Mungkin mereka menghasankannya (hasan li ghairih) kerana sokongan hadis yang lain. Syeikh Abdullah al-Talidi dalam al-Jawahir wa al-Laali al-Masnu’ah mengatakan bahawa hadis ini dikuatkan oleh hadis Jundub yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya (no. 2574).

Pengajaran Hadis

1 - Keistimewaan surah Yasin yang menjanjikan pengampunan dosa bagi pembacanya yang ikhlas membacanya semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dan bukan untuk tujuan lainnya.

2 - Pengampunan dosa tersebut merujuk kepada dosa-dosa kecil yang berkait dengan Allah kerana dosa-dosa besar tidak terhapus melainkan dengan taubat nasuha. Manakala dosa yang berkait dengan manusia pula perlu memohon maaf daripada orang yang dizaliminya itu. Tetapi menurut Imam Mulla Ali al-Qari dalam kitab Mirqah al-Mafatih, tidak mustahil pengampunan dosa tersebut juga meliputi dosa-dosa besar, kerana semuanya tertakluk pada kehendak Allah.

Hadis Ketiga

يس قَلْبُ الْقُرْآنِ، لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللهَ والدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ، وَاقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ.

“Yasin adalah jantung al-Quran. Tidaklah seseorang itu membacanya semata-mata kerana Allah dan hati akhirat melainkan akan diampunkan dosanya. Bacalah surah Yasin untuk orang yang hampir mati di kalangan kamu.”

Takhrij Hadis

Riwayat Ahmad (no. 20300), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (no. 10847) dan Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 1075) dan lain-lain daripada hadis Ma’qil bin Yasar. Sanadnya didaifkan oleh al-Hafiz al-Busiri dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah kerana perawinya yang majhul (tidak dikenali). 

Pengajaran Hadis

1 - Surah Yasin dianggap jantung bagi al-Quran kerana kandungan surah ini  ibarat inti ataupun sari bagi kandungan al-Quran meskipun kandungannya yang ringkas dan ayatnya yang pendek. Ini kerana surah ini membawa mesej utama Islam iaitu berkenaan al-Wahdaniyyah (keesaan Allah), al-Risalah (kerasulan Nabi Muhammad), hari kiamat, al-Hasyr (hari kebangkitan), syurga dan neraka. Begitu juga pentingnya surah Yasin ini umpama pentingnya jantung bagi badan manusia.

Hadis Keempat

مَنْ قَرَأَ يس فَكَأَنَّمَا قَرَأَ الْقُرْآنَ عَشْرَ مَرَّاتٍ.

“Sesiapa yang membaca surah Yasin maka seolah-olah dia membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.”

Takhrij Hadis

Riwayat Sa’id bin Mansur (2/283) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2232) daripada Hassan bin ‘Athiyyah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang daif. Kata al-Baihaqi: “Ini mursal.” Ini kerana Hassan bin ‘Athiyyah ialah tabi’i yang tidak sempat bertemu Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Pengajaran Hadis

1 - Ganjaran pahala yang besar yang diperolehi bagi pembaca surah Yasin, seolah-olah dia membaca keseluruhan al-Quran sebanyak sepuluh kali.

2 - Allah mengkhususkan ganjaran pahala yang lebih bagi pembacaan surah tertentu sebagaimana pahala yang besar juga disediakan bagi ibadah di masa yang khusus seperti Lailatul Qadar dan di tempat istimewa seperti Mekah.

Hadis Kelima

مَنْ قَرَأَ يس فِي صَدْرِ النَّهَارِ قُضِيَتْ حَوَائِجه.

“Sesiapa yang membaca Yasin pada permulaan siang maka akan ditunaikan hajatnya.”

Takhrij Hadis

Riwayat al-Darimi (no. 3461) daripada Atha’ bin Abi Rabah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang daif. Hadis ini mursal kerana Atha’ bin Abi Rabah ialah tabi’i yang tidak sempat bertemu Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Pengajaran Hadis

1 - Menurut Imam Mulla Ali al-Qari, zahirnya ditunaikan hajat tersebut meliputi hajatnya di dunia mahupun di akhirat.

2 - Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan dalam Fath al-Ilah Fi Syarah al-Misykah bahawa hikmah pembacaan surah ini dapat membantu menunaikan hajat pembacanya  adalah kerana sekiranya pembacanya membaca surah ini di awal harinya, disertai pula dengan pengamatan isi kandungannya yang berkaitan hal ehwal dunia, barzakh, kehidupan akhirat serta kenikmatan yang diperoleh oleh ahli syurga dan azab yang ditimpakan ke atas ahli neraka, maka semua ini akan mendorong pembacanya untuk menghidupkan hari tersebut dengan amal soleh, menjaga dirinya daripada kegelinciran dosa dan maksiat serta berusaha keras untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Hadis Keenam

Ibnu ‘Abbas berkata:

مَنْ قَرَأَ يس حِينَ يُصْبِحُ، أُعْطِيَ يُسْرَ يَوْمِهِ حَتَّى يُمْسِيَ، وَمَنْ قَرَأَهَا فِي صَدْرِ لَيْلِهِ، أُعْطِيَ يُسْرَ لَيْلَتِهِ حَتَّى يُصْبِحَ.

“Sesiapa yang membaca Yasin pada waktu pagi, akan diberi kemudahan bagi harinya sehingga petang. Sesiapa yang membacanya pada permulaan malam, akan diberi kemudahan pada malam harinya sehinggalah waktu subuh.”

Takhrij Hadis

Riwayat al-Darimi (3462) dengan sanad yang hasan.

Pengajaran Hadis

1 - Pembacaan surah Yasin antara amalan yang amat mujarat bagi mendapat kemudahan urusan kehidupan dan ditunaikan hajat. Syeikh Abdullah al-Talidi menyebutkan dalam kitab Bidayah al-Wusul: “Saya mendapati bahawa pembacaan surah Yasin mujarab untuk dipermudahkan segala kesulitan, dikabulkan hajar dan diringankan bagi orang yang nazak.”

*Saya masukkan hadis-hadis yang daif ringan kerana berdasarkan pendapat jumhur (kebanyakan) ulama sepanjang zaman yang membenarkan pengamalan hadis daif dalam fadhail al-a'mal (kelebihan amalan).

*Saya telah kemas kini semula penulisan ini dengan beberapa penambahan maklumat pada 5/9/2021. Semoga bermanfaat buat para pembaca. 

Baca juga:

Hadis Kelebihan Sedekah

Hadis Kelebihan Solat

Hadis Kelebihan Solat Sunat Rawatib

Hadis Kelebihan Zikir